Sabtu, Julai 23, 2011

Jangan mahu berkawan dengan si Pandai sahaja.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera


Jam 6. petang. Jumaat. 22 Julai 2011


"Lah.. kenapa tak mahu main pula? nanti bulan Puasa, kita takkan turun padang dah. Belajar Teori PJK dalam Kelas sahaja. Ni cikgu dah bagi kamu semua turun main. Kenapa Athirah tak mahu main dengan kawan-kawan pulak?"


Saya bertanya. Seorang pelajar saya merajuk. Tak mahu bermain bersama dengan kawan-kawannya. Dia kelihatan serba salah.


Antara keegoan di hadapan kawan-kawan dan kepatuhan kepada guru. Dia memang pelajar yang baik dalam kelas.


Saya melihat kumpulan pelajar lelaki tingkatan 1 Ariff. Semua bersemangat bermain bola. Biasalah, waktu pendidikan Jasmani Kesihatan, kalau dibawa turun padang, bola sepak jadi igauan.


Kalau disuruh berolahraga, main bola tampar atau bola baling. Mahunya berperang saya dengan mereka. Minat mereka terhadap bola sepak, nak buat macam mana.


Kemudian saya mengalih mata. Melihat pelajar perempuan, satu persatu. Sudahlah saya kira pelajar perempuan yang hadir pada hari ini hanya enam orang sahaja. Yang lain, tak datang.


Makanya saya pecahkan kumpulan mereka menjadi dua. 3 lawan 3. Main Bola Tampar. Bola sudah berada di Tangan. Tunggu yang seorang ini sahaja.


"Entahnya dia ni, kenapa tiba-tiba tak nak main? jom laa, main sama!" sampuk Musfirah.


Athirah mengeleng-geleng kepala, protes tak mahu. Tiba-tiba muka Athirah mula berubah, air mata berjurai turun. Di tekup muka dan berlalu.


Kawan-kawan perempuan yang lain mula kaget, mengerumun Athirah. Kumpulan lelaki, masih leka bermain bola sepak, tidak menyedari langsung apakah drama yang sedang berlaku.


Saya tarik nafas dalam-dalam dan hembus. "Baik, yang perempuan mari ke dewan terbuka. Tak payah main bola tampar."


Saya atur langkah pergi ke dewan terbuka yang terletak di tepi padang. Mereka akur dan mengekori dari belakang.


Saya minta mereka duduk bersila di atas lantai, saya duduk di atas bangku. buat separa bulatan, menghadap saya.


" kamu semua tahu tak? sejak awal bulan 5 saya datang ke sekolah, saya lihat keadaan budak perempuan dalam kelas ini, suka sangat berpuak-puak, kalau cikgu pecahkan kamu dalam kumpulan yang berlainan, mesti ada yang bising tak mahu berpecah, mahu juga duduk dalam geng masing-masing." Saya bersuara.


"Tapi cikgu, memanglah kami ada geng, tapi kami berkawan dengan semua orang," jelas Diana.


"Ya, berkawan dengan semua, masalahnya sikap kamu ini akan memakan diri sendiri tahu? tengoklah, saya pecahkan kamu ke dalam kumpulan kecil untuk main bola tampar pun sudah ada masalah. Semua nak masuk geng sendiri, contohnya lah: aku tak nak kawan dengan kau sebab kau lembab, kau tak sepandai si A, aku nak kawan dengan si A je..sikap macam ini tak elok tahu!"


"Cikgu, tadi kan ada pengumuman dapat laptop 1 Malaysia. Saya, Aida dan Diana dapat laptop tu, cuma kitorang tinggal Athirah sekejap sahaja sebab dia tak dapat, tiba-tiba dia macam jauh hati dengan kitorang," Jelas Musfirah.


Saya mula dapat mengesan punca masalah, memang tadi ada pengumuman untuk mendapat notebook percuma. Tingkatan 1 Ariff  pula ada satu geng perempuan yang bijak pandai belaka, 4 orang satu kumpulan. Diana, Aida, Musfirah dan Athirah. Kemana-mana sahaja mereka akan pergi bersama seperti belangkas. Dalam Kumpulan itu, hanya seorang sahaja yang tidak mendapat notebook, iaitu Athirah.


Kemudian tadi semasa pembahagian kumpulan untuk bola tampar, seakan-akan mereka meminggirkan Athirah,


"Biar Athirah masuk kumpulan Filzah dan Farhana, biar saya dengan Aida dan Diana, jom kita kalahkan mereka!" kata si Musfirah sambil buat muka kerek.


Jadi semestinya Athirah berkecil hati, berjauh hati.Terus menjeruk rasa tidak mahu bermain. Seakan-akan tidak dapat menerima perlakuan kawan, berbaur rasa seperti terpinggir.


Saya mula bersuara, "ha, itulah bila sikap berpuak-puak ini sudah sebati dalam diri, bila ada yang rasa terpinggir, kita sendiri yang susah hati. Lain kali, Saya tak mahu kamu semua berada dalam kumpulan macam ini."


Saya menyambung,


"Ingat, kita ini sama sahaja. Ada yang pandai bab ini tapi bodoh dan lembab bab ini, kawan yang lain pun begitu. Jangan kita berkawan dengan orang pandai sahaja, yang lembab, bodoh bagi awak, kurang sedikit dari awak, dipinggirkan. Hari ini hari dia, esok lusa entahkan pula hari awak semua. Mana tahu kan?"


Semua mengangguk. Setuju. Kemudian saya menyuruh semua bersurai pulang ke rumah.


Tiba-tiba


"Cikgu, kalau cikgu bagi bimbingan dan kaunseling kepada kitorang boleh?" Diana bertanya.


(Ah, sudah.. disuruh jadi kaunselor pulak aku ni.)


Kenapa pula saya? Kaunselor sekolah kan ada? saya tersenyum..


"Alah cikgu, kami tak rapat dengan kaunselor tu, nanti cikgu bagi kaunseling kat kitorang tau!"


"Insya Allah," sekadar termampu saya jawab.


-Budak bijak dan pandai dalam kelas pun meminta sesi kaunseling. Macam-macam.


:)


Jumaat, Julai 22, 2011

Harapkan Pagar, pagar roboh.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.


Semalam, semasa mengambil wuduk, saya membasuh kaki. Baru saya terperasan, ada kesan lebam-lebam merah kebiruan di pangkal betis saya. Saya sentuh dan gosok kesan itu. Tak sakit. Bila dipicit, ditekan, baru terasa sakit. Sedikit.


Usai bersolat Maghrib, saya cakap kepada rakan sebilik saya. Agak-agaklah kan, lebam ini kesan daripada apa? digigit hantu?


:)


Begini, dua hari lepas berlaku kes-kes histeria di sekolah. Sebenarnya bukan di sekolah tempat saya mengajar, tetapi sekolah di mana pihak kami menumpang berteduh.


Ya, saya mengajar di sekolah menumpang. Bangunan sekolah kami belum siap sepenuhnya untuk diduduki. Insya Allah, tahun depan, keselesaan berada di bangunan sekolah sendiri akan dirasai oleh budak-budak ini.


Untuk memudahkan cerita, sekolah yang terkena itu ialah sekolah A, manakala sekolah saya yang menumpang di bangunan sekolah A, saya namakan sebagai sekolah B.


Sekolah A memulakan sesi persekolahan pada waktu pagi, kami? pada waktu petang. Berkongsi kelas, papan hitam, kerusi meja yang sama.


Berbalik kepada cerita, Setelah beberapa kes histeria, pihak sekolah A telah memanggil seorang ustaz yang mengetahui mengenai perkara-perkara ghaib agar 'memagar' kawasan sekolah. Maka pihak sekolah A meminta jasa baik pihak sekolah B agar mengawal pelajar agar tidak keluar kelas semasa upacara memagar itu diadakan. Akur.


Keesokan harinya, jam 11 pagi, ada aktiviti kokurikulum. Kami datang awal dari kebiasaan, berkumpul di dewan terbuka.. Namun, dewan terbuka itu tiba-tiba diambil alih sekolah A.


Melihat Budak-budak sekolah A berpusu-pusu turun ke dewan sambil membawa beg. Budak-budak sekolah B tertanya-tanya juga apa yang berlaku. Serba salah, tidak tahu membawa diri ke mana.


Saya kira, tidak mengapalah, fasiliti sekolah mereka, maka kami berpindah di bangunan koperasi. Beberapa minit kemudian, selepas diselidiki, rupa-rupanya berlaku kes histeria di sekolah A.


Harapkan pagar, pagar pula roboh.


Kali ini bukan seorang dua yang  terkena, berjangkit-jangkit, Cina, India, Melayu, cukup pakej. Hampir 50 orang yang terkena histeria, jumlah spesifik?, dengar-dengar 48 orang. Semua di bawa ke surau, bacaan Yaasin berkumandang di corong-corong pembesar suara sekolah.


Kemudian, JPN pun turun padang. Pihak sekolah A di beri kebenaran cuti, Apapun perlu berganti. Sekolah B, tiada kes, jadi tidak perlu bercuti. Makanya, kami datang ke sekolah seperti biasa. Saya kira, Alhamdulillah, budak-budak sekolah kami tiada yang terkena rasukan. Pengajaran dan pembelajaran seperti biasa.


Saya kira kebanyakan mangsa tadi semuanya pelajar perempuan, mungkin ada yang 'uzur', lemah semangat dan sakit, maka dia pun terkena.


Saya ini pun sakit juga, selesema dan sakit tekak, cuma semangat itu kuat, kalau tidak, awal-awal lagi saya ke klinik, mengambil MC.. tidak perlu datang sekolah menjerit pekik meminta pelajar memberi tumpuan dalam kelas.


Cuma itulah, lebam itu, masih menjadi misteri.


:)



Khamis, Julai 21, 2011

Lembu.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera..


Minggu Teknik dan Vokasional sedang berlangsung di sekolah. Aktiviti yang berkaitan Minggu ini diisi dalam sesi kokurikulum. Semalam, ada pertandingan memasang lampu kalimantang. Jadi pelajar yang terlibat memasang lampu itu diminta berkumpul di bilik ICTL.


Manakala Pelajar yang tak terlibat akan diminta melukis lukisan dimensi kejuruteraan. Sebagai pertandingan juga. Lukisan tercantik dan menepati ukuran dikira sebagai pemenang. Saya hanya memantau sahaja.


Kemudian:


Cikgu! dah siap~!


seorang budak lelaki menghulurkan kertas sambil tersengih-sengih.


Saya berkata: Ha, ok lah tu.. cantik. Eh, nama KAU tak ada ini! Tulis nama KAU di belakang kertas cepat.


Kawan dia menyampuk. Nama dia lembu cikgu!


"Kenapa pulak nama dia lembu??" saya bertanya balik.


"Sebab cikgu panggil dia COW." dia balas sambil gelak.


:)


-Kadang kala saya tersasul memanggil pelajar berdasarkan situasi-

kadang kala saya panggil nama betul pelajar itu, kadangkala awak, kamu dan kau.. bergantung kepada mood dan keadaan.


KAU = COW = LEMBU (bijaknya formula bahasa budak-budak ni)






Rabu, Julai 20, 2011

Harimau

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera..


Apabila Harimau tidak mengaum, jangan disangkakan kucing.


Hari ini saya demam selesema, hidung berair, tersumbat. Geram. Namun, saya kuatkan semangat, menyampaikan ilmu kepada mereka walaupun secebis.


Pertama kalinya Saya mengajar Pendidikan Seni Visual di Tingkatan 1 Ariff. Mengantikan guru asal yang bercuti bersalin. Suarapun sudah garau semacam. Tak kuasa nak menjerit. Kecuali kepada Isyrak. Dia ini wajib saya meninggikan suara, peritnya tekak, hanya Tuhan yang tahu.


Mesti budak-budak ini sudah muak. Asal waktu relief, muka saya sahaja yang masuk kelas mereka. Waktu Bahasa Melayu? Setiap hari ada tercatat dalam jadual,  wajib saya masuk kelas. Jumaat pula Pendidikan Jasmani dan kesihatan, muka ini juga yang masuk mengajar. Umpama ada kimia antara saya dan mereka.


Nak kata saya cikgu serba boleh? tidaklah juga. Subjek PJK dan PSV sahaja pun. Sesiapa sahaja tidak boleh mengajar kan? Lainlah kalau diberi subjek Matematik, mahunya saya meronta-ronta menolak. Yang penting, asalkan saya mampu mengajar perkara itu, saya terima apa sahaja pihak pentadbir bagi kepada saya.


(aku terima sahaja, dan kesilapanku? adalah tidak membantah-minta jauh situasi ini dikemudian hari)


Selesai mengajar,  perlu relief di tingkatan 1Bestari. Pelajar tingkatan ini bukanlah tergolong dalam golongan penjahat. Namun sikapnya yang happening (bagi mereka tapi bising bagi saya) membuatkan saya kadangkala boleh tersenyum dengan lawak mereka, kadangkala saya menyinga.


Sebab demam, saya tiada mood untuk melayan pelajar 1 Bestari. Berhajat untuk menyimpan suara. Namun biasalah, mesti ada yang melaung, menyanyi-nyanyi.


Puas digertak dan dipesan berkali-kali untuk senyap. Kemudian saya suruh mereka keluar solat Asar di Surau. Yang bukan Islam berada di dalam kelas. Suasana bertukar tenang sedikit.


Tiba-tiba Raudatul, pelajar tingkatan 1 Ariff datang ke kelas 1 Bestari. Bertanya tentang kerja rumah yang saya bekalkan  ketika kelas PSV. Saya menerangkan serba sedikit agar dia faham. Kemudian saya bertanya.


"Aik, macam mana kamu boleh tahu cikgu berada di sini?"


"Tadi, saya dengar cikgu menjerit suruh budak-budak ini diam. Jadi saya datanglah di sini" jawab Raudatul


"Oh, ye ke? kuat sangat ke? siapa yang mengajar kamu sekarang, berani keluar kelas yaa.." Saya cuba Mengalih topik.


" Cikgu June yang relief kelas saya, jadi saya mintak izin keluar jumpa cikgu, dia tidak mengajar pun sekarang" Jawab Raudatul.


Saya sekadar tersenyum. Saya terfikir juga, kuat sangat ke saya menjerkah budak-budak 1 Bestari tadi agar diam dalam kelas, sampai budak-budak kelas lain pun boleh mengesan lokasi saya berada.


Saya pun tidak perasan bila masa saya menjerkah budak-budak. Mungkin dengan hidung tersumbat lagi, berat kepala, merah muka menahan panas saya bertindak demikian.


Dan mungkin juga saya tidak kuasa untuk menjerkah budak, tapi bila terpaksa, demam-demam pun suara Rock pasti juga keluar.


Apa pun..


Janganlah menjadi Harimau di dalam kandang, mengaum sahaja kuat, tapi tiada orang peduli. Minta jauh lah situasi ini... :)