Sabtu, Julai 02, 2011

Guru sebagai Pemudah Cara

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.


Larian 1 Murid, 1 Sukan & 1 Malaysia. Saya kira, bloggers-bloggers yang terdiri daripada para guru pasti teruja untuk menulis peristiwa seperti ini.


Iyalah tepat 7.45 pagi, serentak di seluruh Malaysia lebih 4.1 juta pelajar daripada 9,980 buah sekolah, 28 buah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan 15 buah kolej Matrikulasi seluruh negara dilepaskan untuk berlari.


Mencatat Catatan Malaysia Books of Record. Saya teruja itu ada, turut sama berlari memeriahkan majlis. Meriah dengan pelbagai ragam, ada yang berlari, ada yang berjalan, ada yang berjoging. Polis trafik tiada untuk mengawal lalu lintas. Bayangkan kalau seluruh negara buat larian, bagaimana polis mahu mengawal bukan?


Usai sahaja berlari, maka sesi permainan diadakan. Seperti biasa, permainan tipikal: Bola Sepak, Bola Tampar dan Bola Jaring serta sukaneka dianjurkan. Tiada aktiviti memanah, wall climbing dan acara-acara baru.



Sebagai sekolah menumpang, kami menyertai apa sahaja Tuan Punya Bangunan Sekolah buat acara. Contoh, kalau mereka mahu anjurkan perlawanan bola sepak, manakala kami diminta anjurkan pertandingan bola jaring. Ikut sahajalah. Cari pasukan dan lawan.


Saya? saya menguruskan pasukan bola sepak. Serius saya tidak tahu menahu bagaimana peraturan dan corak permainan bola sepak ini. Namun biasalah bila guru pelatih diberi peranan, terima sahaja, bila lagi mahu belajar. Tuan rumah yang anjurkan perlawanan bola sepak, seperti perlawanan persahabatan.


Saya uruskan mana yang boleh, nak arahkan sayap ke kiri ke kanan, penyerang masuk ikut tepi- saya tak reti. Cuma saya bolehlah pantau mana-mana pemain. Nasib baik ada cikgu Haizul, tolong mana yang patut.


Sepanjang perlawanan, berdiri di tengah padang yang panas memang satu ujian. Memantau, mana yang cedera, mana yang rasa perlu dikeluarkan dan digantikan dengan pemain simpanan.


Lebih-lebih lagi apabila banyak sangat pasukan daripada Tuan rumah yang masuk bertanding, (Sekolah kami hanya hantar dua pasukan). Memang memakan masa yang lama.


Alhamdulillah, sekolah kami berjaya ke peringkat akhir namun sekadar Naib Johan. Sekurang-kurangnya perlawanan persahabatan ini tidaklah sekadar melepaskan batok di tangga.


Larian 1 Murid 1 Sukan, saya kira seakan-akan penjenamaan semula. RM 6 per kepala bagi setiap murid untuk memastikan dasar ini berjaya. Saya harap ianya benar-benar terlaksana.


Bukannya apa, saya perhatikan sebilangan pelajar saya seperti Faiz, Zulfahmi, Ateng, dan beberapa orang lagi, bila berada dalam kelas agak main-main untuk belajar, puas dilarang, dimarah, sukar untuk menyuruh mereka fokus. Tapi bila berada di padang, seriusnya dan bersungguhnya bukan main. Tak perlu disuruh-suruh.


Maknanya, potensi murid ini pelbagai, dalam kelas kalau lembab belajar, cikgu kena cari apa potensi yang ada dalam kalangan mereka, mungkin dalam sukan? kembangkanlah. Guru sebagai Pemudah cara.


:)



Khamis, Jun 30, 2011

Lumrahlah.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera..


Melihat jam tangan, sudah pukul 1 tengah hari. Saya sudah terlewat 10 minit. Selesai meletak kereta, saya turun bergegas ke medan perhimpunan.  Kebiasaan perhimpunan harian sekolah sesi petang, cuaca panas membahang. Sebaik sampai sahaja di sana, saya melihat cikgu Rohaida sedang mengumumkan nama pelajar. Seorang demi seorang keluar tampil ke hadapan.


Melihat sahaja yang beratur, saya bertanya kepada Teacher Parameswary, apa yang berlaku. Katanya hari ini akan diumumkan rombakan kelas, secara rasminya pelajar-pelajar yang dipanggil ini akan naik atau turun kelas. Ada muka yang biasa-biasa sahaja, ada yang menunduk, ada yang senyum-senyum.


Yang biasa-biasa sahaja ini umpama tiada perasaan barangkali, yang menunduk-malu turun kelas, mungkin juga kerana terpaksa turun akibat keputusan merosot-hasil tidak hadir ke peperiksaan. Bukan cikgu tak berusaha menyuruh mengambil kertas itu, dia sendiri yang menjawab ala-kadar.


Yang senyum-senyum? ada dua kategori, yang naik kelas itu biasalah. Yang turun kelas tapi masih mampu tersenyum? tersenyum kerana  bakal bersama dengan rakan-rakan sekepala di kelas hujung.


Saya mengalih mata, melihat kepada pelajar tingkatan 1 Ariff. Terasa kasihan pula. Iyalah, pelajar baru mengenal dunia persekolahan menengah. Titik permulaan kehidupan awal remaja.


Kasih dan sayangnya mereka terhadap ikatan persahabatan mula terpisah disebalik tembok dinding kelas. Selalunya bersama, ke kantin bersama, ke makmal seiring, ke tandas sejalan. Kini, ada seorang dua yang turun kelas, pasti terasa seakan-akan sukar menerima. Yang turun , terasa malu dan kelu, pahitnya muka untuk tersenyum, dan yang tidak terkena pada batang hidung? pasti terkilan dipisahkan.


Saya melihat muka seorang demi seorang pelajar. Merah padam muka.. yang lelaki termenung jauh. Yang perempuan berjurai air mata.


Itulah peraturannya. Jika usaha lebih, maka lebihlah kamu dapat, kalau tidak, ketinggalan ke belakanglah. Makna katanya, andaikata hari ini kamu gagal, itulah tandanya hari permulaan untuk sebuah kejayaan. Usaha lagi!


:)

Rabu, Jun 29, 2011

ponteng kelas.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.


Walaupun saya pernah dianugerahkan hadiah pen mahal daripada Cikgu Maria, guru tingkatan saya kerana kehadiran 100% ke sekolah. Sebenarnya saya tidaklah sebaik itu. Yakni berada 100% di dalam kelas. Ada masanya saya akan ponteng kelas.


Pergi ke Perpustakaan (atas alasan buat kerja pustakawan), ke Koperasi (atas alasan cikgu koperasi panggil minta tolong), ke bilik guru (alasan sama, cikgu panggil minta tolong).


Padahal, Saya sengaja mahu ponteng, mungkin kebosanan berada di dalam kelas, tak bergerak-gerak dari tempat duduk, ataupun sengaja malas belajar. Subjek Matematik Tambahan selalu menjadi mangsa. Ketika subjek itu, saya akan keluar kelas atas pelbagai alasan-sampaikan cikgu pun tak kuasa.


Kini? apa yang kita lakukan dahulu, akan kembali kepada kita


Saya berhadapan situasi sama, pelajar yang suka ponteng kelas. Kadang kala saya baru masuk ke dalam kelas, suruh buka buku pun belum. Dah ada pelajar bangkit mohon izin keluar- mahu jumpa kaunselor, mahu jumpa cikgu ini, ada cikgu itu panggil. Macam-macam hal. Kadang kala terfikir, entah betul entah tak cikgu yang panggil. Manalah tahu, mereka buat cerita.


Kalau saya tidak bagi, mula mereka buat muka berkerut. Protes. Katanya dengan tegas, habis macam mana saya mahu selesaikan poster Anti Dadah kalau tak jumpa kaunselor cikguuuu... (nada agak kurang ajar jugalah-budak-budak yang perasan bahawa dia dah dewasa-apa sahajalah yang dia tahu)


Malas melayan, saya benarkan.. pergilah kamu mahu pergi.. (Kalau ikutkan hati, boleh sahaja saya cekak pinggang, buntangkan mata, kerutkan kening dan meninggikan suara suruh duduk dan tunggu waktu rehat untuk keluar.)


Itu satu hal, yang ponteng kelas tanpa izin? keluar suka hati mereka. Saya masuk sahaja kelas, mereka sudah lesap. Dahulu saya tidak fikir, saya ponteng kelas, sakitnya hati cikgu.


Iyalah bagaimana tak sakitnya hati. Cikgu penat-penat memikirkan apa yang perlu diajar, bersengkang mata menyiapkan bahan, menyediakankan lembaran kerja yang sesuai untuk disediakan kepada para pelajar, strategi lagi, aktiviti apa yang perlu diguna pakai.


Masuk kelas sahaja, ada lah beberapa orang yang bersedia untuk belajar, yang ponteng? ramai. Sakit hati...


Itulah apa yang disebut, dahulu kita tidak fikir apa perasaan cikgu ketika kita ponteng kelas, sekarang? saya sudah merasai.


:)