Khamis, Jun 09, 2011

Betul ke kamu ini?

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera..


3 tahun yang lalu.


"Betul, kamu mahu jadi cikgu?" tanya cikgu saya tatkala saya memberitahu keputusan UPU saya adalah Universiti Pendidikan Sultan Idris.


Saya tersenyum cuma. Dalam hati, Jadi Cikgu, bulatkan semangat dan tekad, jika inilah jalannya, maka aku redha. Kalau tiada minat sekalipun, boleh dipupuk. Lama-lama bercambahlah minat tu.


Ketika itu saya ada tiga kursus yang saya kira benar-benar serius untuk mendalaminya. Sejujurnya minat terhadap kursus itu bukanlah 100%. Tapi saya kira, lama-lama bercambahlah minat itu.


Kursus pertama, komunikasi media dan massa di USM, kursus kedua, pengurusan perhotelan di UMS, kursus ketiga, pengajian Melayu dan Antropologi di UM. Ya semua kursus berkaitan kemanusiaan, sejajar dengan STPM saya aliran sastera. Jadi mana kursus Pendidikan Bahasa Melayu UPSI?


Sewaktu saya mengisi borang UPU secara online di rumah, biasalah ibu-bapa pun akan sibuk-sibuk juga melihat, dek kerana tiada senarai program pendidikan, maka ibu saya berkata, mintalah UPSI. Mungkin juga dia bekas pelajar MPSI, maka dia berkata demikian. 


Ada deretan 8 kursus yang perlu diisi. Melihat senarai kursus lain, saya pun tidak tahu menahu prospek peluang pekerjaan kursus itu melainkan pendidikan. (ibu-bapa saya guru). Maka saya letaklah satu, Program Pendidikan Bahasa Melayu UPSI. Mendapat tawaran menghadiri ujian Medsi, ibu saya paling gembira, dibeli baju kemeja formal untuk saya.


Saya mengikut sahaja tanpa bantahan. Rezeki barangkali, saya lulus ujian Medsi. Maka bila proses temuduga hampir tiba, dalam seminggu, dua baju formal dibelikan, satu saya beli sendiri- tetapi ibu tidak berkenan, katanya warna terlalu gelap, maka dibelinya baju kemeja yang terang siap dengan tali leher. Pergilah saya bertemuduga. Saya jawab sahaja apa yang mahu ditanya. Seolah-olah itu adalah soalan tipikal. 


Mungkin berkat doa Ibu, harapan keluarga dan Takdir Allah- SMS UPU saya ialah UPSI.


Jika diteliti sejarah sekolah lama saya itu, kebanyakan top student atau best student STPM sekolah itu akan melanjutkan pengajian di UPSI. Adalah satu kebanggaan jika nama kita tersenarai masuk ke UPSI dan  gambar terpampang di Majalah sekolah, papan kenyataan pejabat, bilik kaunseling dan lain-lain. 


Saya bukanlah top student sekolah itu, cuma bila nama tersenarai sebaris dengan pelajar terbaik negeri kelantan yang memasuki Universiti yang sama. Tersenyum Lebar ibu-bapa di rumah. Anaknya  yang Slow Leaners ini akhirnya menjadi manusia normal seperti orang lain.


Namun bagi cikgu saya- Betul kamu mahu jadi cikgu? Mintalah Universiti lain, asyik UPSI sahaja. Seperti Takut benar jika saya terjebak masuk ke profesion itu.


Saya sekadar senyum.. (mungkin juga cikgu-cikgu saya itu bekas pelajar KPLI-minatnya terarah lain). Saya berbisik dalam hati: Minat boleh dipupuk... minat boleh dipupuk..


Tiba-tiba teringat pula sewaktu saya tingkatan 4 dahulu- Ibu tanya, betul kamu nak ambil aliran Sains Tulen?


Saya angguk serius- Kalau susah nak belajar add math pun, boleh juga belajar secara perlahan-lahan. yang penting usaha. (saya memang lemah matematik). Dengan berat hati, ibu merelakan saya masuk tingkatan empat sains.


Hasilnya? Add Math Lingkup, mungkin usaha saya tidak seberapa ataupun saya ini jenis lambat pick up-ketinggalan banyak formula asas:  Pelajar-pelajar seangkatan ke Matrikulasi, saya mendapat tawaran Diploma UiTM, cuma saya mengambil langkah drastik memilih STPM Aliran Kesusasteraan. Ibu memang tidak membantah langsung. 


Apa pun Naluri Ibu mungkin ada hikmah yang tersembunyi. Masuk UPSI, mungkin ada 'sesuatu' bukan?


:)



Nak bercerita mengenai Masa Depan

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera..


Tadi borak-borak dengan Musfirah Hasan, kebiasaan budak debat. Keluar malam, melepak di Restoran Mamak adalah rutin. Lagipun di Tanjung Malim, apalah yang ada. Shopping Complex lengkap dengan gelanggang Bowling, Pusat Karaoke, Pawagam? harapan akan wujud dalam masa 2 tahun ini agak tipis.


Kalau ada pun-saya tidak akan terlibat atas 3 faktor:


1) Saya tak suka main bowling


2) Saya rasa berkaraoke itu adalah aktiviti yang memerlukan daya ketahanan mental yang tinggi (saya rasa). sehinggakan saya rasa mustahil untuk saya berkaraoke dengan jayanya.


3) Saya bukan kaki Wayang, apatah lagi di Kelantan, tanah tumpah darah saya, tiada pawagam.


Maka, melepak dan berborak panjang sebegitu memang lumrah. Banyak juga perkara kami bualkan sampaikan satu isu iaitu-perancangan masa hadapan terbangkit.


Saya selalu berangan-angan- Jika sudah bekerja nanti, Di postingkan sebagai guru- di mana?


Saya terbayang 3 negeri sahaja, Kuala Lumpur, Selangor dan Johor. Kepulauan Borneo? entahlah, saya tiada rasa mahu ke sana. Biarpun ibu-bapa beriya-iya mahu saya ke sana-Elaun Sengsara tinggi barangkali.


Kelantan? Insya Allah. Dahulu belajar di sana, nanti bakal mengajar pula.


Semasa zaman  persekolahan  di Kelantan, saya lihat hampir keseluruhannya guru-guru di sekolah saya berkereta besar, berumah tangga banglo. Menyemai angan-angan anak muda untuk menjadi seperti guru mereka. Jangan persoalkan kenapa ramai sangat Budak Kelantan di UPSI. :)


Saya tahu, menjadi guru, Imbuhannya tinggi. Elaun itu, elaun ini dan yang penting, cukup senang untuk mendapatkan pinjaman dari Bank. Beli kereta besar, rumah yang selesa, gajet teknologi terkini,  pakaian dan segala-galanya. Realistiknya, semua pinjaman itu adalah hutang.


Maka? kereta yang bakal dibeli- kereta jenama tempatan sahaja, rasional betapa saya tidak mahu dibebani hutang yang tinggi dan kos penyelenggaraan yang bertimpa-timpa. Kereta besar, Petrol pun banyak digunakan. Lagipun saya optimist, kereta mudah benar susut nilainya.


Rumah, saya tidaklah kisah sangat untuk berbelanja lebih, demi keselesaan. ASET. Untuk membina rumah banglo itu agaklah tidak logik untuk cikgu bujang yang baru posting. Rumah teres, berkembar atau apartment sudah memadai untuk dilaburkan.


Cuma, perabot dan hiasan dalamannya semestinya bercorak minimalist. Lagi kurang perabot yang tidak perlu, lagi saya suka. Saya suka mengemas, cuma tidaklah sekerap mana, lagi kurang perabot, lagi kurang habuk. Cuma kalau yang berfungsi itu dibenarkan. Rumah orang bujang, apalah sangat.


10 Tahun menjadi cikgu?


Kereta sudah bertukar-kepada pacuan 4 roda-jenama import dari Jepun. Ketika itu tidak kisahlah, gaji pun sudah naik sedikit barangkali. Mungkin juga sudah 5 tahun berkahwin dan rumah pun bertukar gaya mengikut pilihan keluarga sendiri. Rumah lama dibeli ketika bujang? sewakan sahaja. Umrah sekurang-kurangnya sudah dilakukan bersama isteri sekali.


Oh ya, sedikit duit gaji itu dipotong ke dalam akaun SSPN anak-anak, senang nanti nak belajar tidak perlu meminjam PTPTN. Kehidupan yang sudah stabil. Mungkin sudah mengenggam Sarjana? Harap-harap.


Itu semua angan-angan manusia. Mahu kehidupan yang stabil dan mampu membahagiakan diri. Itu adalah Normal bagi insan


cuma ada satu persoalan yang timbul. Sebab apa Mahu jadi pendidik?


Menjadi pendidik demi Imbuhan yang melimpah ruah?


Jadi Mana Keikhlasan mu?

:)





Bakal-bakal guru. Moga dilimpahi rasa keiklasan untuk mendidik anak-anak bangsa dan subur mekar  keikhlasan itu bertambah dalam hati setiap hari :)



Selasa, Jun 07, 2011

Dalam Setandan Pisang..

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera..


Kembali menulis.. sememangnya penulisan ini memerlukan mood. Bukan idea semata-mata. Bila diteliti kembali penulisan saya mengenai sekolah itu, seakan tiada perkara positif yang boleh saya lakarkan untuk tatapan. Seakan-akan saya ini sukar, dan tidak boleh untuk membiasakan diri dengan persekitaran baru itu.


Analoginya cukup mudah, dalam setandan pisang, mana ada yang elok-elok belaka buahnya, pasti ada satu dua yang busuk, buah yang buruk. Tapi pada kebiasaannya yang buruk itulah diberi perhatian, digembar-gemburkan. Dipetik dan diasingkan, menjadikan ianya lain dari yang lain-Istilahnya adalah 'istimewa' barangkali.


Maka perihal kes saya ini, penceritaan mengenai sekolah saya, sudah tentu akan difokuskan perkara yang menarik perhatian berganda- Namun sayangnya sisi buruk lagi negatif pula timbul. Tidak banyak, secebis pun ada palitan negatif mengenai sekolah itu.


Baiklah, sebenarnya ada keadaan positifnya- 23 Mei 2011. Sambutan Perayaan Hari Guru diadakan di sekolah itu. Tipikal Hari Guru, lagu Nyanyian Kami Guru Malaysia, Sukaneka, persembahan diadakan, seperti tradisi, perayaannya adalah begitu.


Mungkin suatu hari nanti, bakal diadakan urban shuffle? Wall Climbing trip? Explorace student-teachers, Pixie Triathlon? yang bertepatan dengan urbanisasi yang melanda dunia. Sesuai dengan jiwa murid-murid dan juga guru-guru muda belia kini?


Ah, merapu...


Yang positifnya, saya selaku guru lelaki yang garang pun mendapat hadiah daripada para pelajar. Baik, tidaklah garang, cuma agak serius dan stress sahaja wajahnya. Tidak sangka juga. Mendapat hadiah, walaupun baru 2 minggu berada di situ.





Antara hadiah yang saya terima..


Meriah bukan?



Ini hadiah daripada seorang pelajar 2x. Saya terkejut juga apabila dia menghulurkan hadiah kepada saya dan berlalu pergi. Balutan yang penuh seni, -nampak sangat dia tidak pernah membalut hadiah-namun saya hargai usahanya yang bersungguh-sungguh membalut hadiah itu.

Lihat sahaja ubat stapler di atas meja yang digunakan untuk membungkus kertas pembalut hadiah itu. :)



Dia fikir saya marah-marah dan melibas rotan dalam kelasnya maka saya akan buang hadiah dia barangkali. Mendapat sahaja hadiah daripadanya, dia berlalu pergi. Semasa waktu rehat, saya terserempak dengannya,


saya cakap: kamu bagi saya hadiah, tapi kamu tidak salam dengan cikgu ya? dia bersalam dan mencium tangan saya. Saya sedar, masih ada nilai kelembutan dalam jiwa mereka, cuma menunggu saya untuk menyentuh getarannya..


Apa pun..


Dalam setandan pisang, mana ada yang baik-baik belaka, pasti ada satu dua buah yang buruk dan busuk. yang mana akan dipetik dan dibuang. Mahu jadi macam itu?


SELAMAT BERCUTI

:)