Sabtu, Mei 21, 2011

Curang pada Akademik

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.


Tatkala rakan-rakan seuniversiti bergembira dengan keputusan peperiksaan masing-masing, ada juga yang berduka. Mungkin ada hikmah di sebalik keputusan yang diperolehi. Teruskan rentak Perjuangan. Saya? Alhamdulillah, makin meningkat.


Berbicara mengenai peperiksaan, sekolah tempat saya berpraktikum ini juga sedang menjalankan Ujian Pertengahan Tahun. Semalam, Jumaat yang penuh rahmat, dijalankan Ujian Matematik kertas 1 dan kertas 2.


Saya masuk ke tingkatan 2 Bestari, mengawasi peperiksaan matematik kertas 2. Ada beberapa orang pelajar tengok kiri dan kanan, (sikap tipikal peperiksaan). Saya buat muka serius. Tidak senyum langsung, walaupun sekelumit. Kemudian Cikgu Rohana (merangkap rankan sepraktikum saya, bezanya dia senior saya yang selesai menjalani praktikum semalam) datang mengambil alih tugas mengawas.


Selesai mengawasi peperiksaan kelas 2 Bestari, saya lihat jadual. Baik seterusnya mengawasi tingkatan 2X.


Saya ke Kelas 2X. Kelas ini lagilah teruk. Selesai menjawab dalam masa 10 minit barangkali, masa lain yang terluang? Bising sana sini. Ganggu kawan. Saya sekadar duduk di belakang sahaja. Memerhati. Malas melayan. Makin dilayan, makin galak. Asalkan mereka tidak bising di tahap kronik dan boleh melekat duduk ditempat masing-masing, itu sudah dikira cukup bagus. 


Kalau disuruh diam, senyap, tidur sahaja tatkala sudah selesai menjawab, memang tak akan makan saman. Hobi mereka suka melawan cikgu bukan? makin dilarang, makin dibuat. Makin disuruh bising, makin jugaaa dibuat. Perkara negatif, siapa di dalam kelas itu yang tidak suka?


Perkara ini buatkan saya stress kalau masuk kelas 2X. Selesai mengawasi kelas 2X (walaupun agak caca merba-moga diampuni salah saya) saya ke kantin sekolah. Cikgu Rohana datang dan menyatakan kepada saya:


Tadi akak marahkan Budak 2B sebab ada guna kalkulator. Lepas tu tadi budak-budak kelas 2B mengadu: katanya, Tadi si Sharel (bukan nama sebenar) guna kalkulator Saintifik tapi Cikgu Fawiz Senyum sahaja.


Saya terkesima. Eh, Matematik kertas 2 tak boleh guna kalkulator ke? 

Cikgu Rohana: tak bolehh... (sambil senyum)


Saya tidak tahu pula tidak boleh. Ingatkan boleh guna kalkulator saintifik. Saya berasa agak terkilan juga, ditipu bulat-bulat depan mereka yang berkenaan, main-main sahaja mengeluarkan kalkulator depan saya. 


Satu lagi terkilan: Mereka ini suka cakap belakang, kalau sudah terang lagi berapi budak itu mengeluarkan kalkulator, laporkanlah kepada cikgu yang sedang mengawas. Bukannya cakap-cakap belakang. Kemudian dikatakan saya senyum pula.


Paling terkilan: saya sepatutnya membawa arahan kertas peperiksaan terlebih dahulu, melihat penggunaan kalkulator dibenarkan ataupun tidak. Walaupun subjek peperiksaan itu tidak berkaitan dengan saya. Moga-moga kejadian ini memberi pengajaran kepada saya.


Tindakan saya?: berjumpa dengan cikgu Matematik mereka, menyatakan apa yang berlaku.


Apalah nilai kepada keputusan peperiksaan jika berpaksikan kepada kecurangan akademik semata-mata. Biar result rendah, tapi berkat usaha sendiri Insya Allah  berjaya daripada mendapat result tinggi melangit atas usaha meniru. 




:)



Rabu, Mei 18, 2011

Solat

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.


Bagaimana ya mahu menghuraikan di sini? Begini, hari pertama saya datang ke Sekolah itu, saya sudah kebingungan dengan jadual waktu solat. Sekolah sesi petang, menumpang bangunan sekolah lain pula tu. Makanya jadual solat Zohor dan Asar bagaimana aturannya?


Mengimbas kembali ketika  saya bersekolah sesi petang dahulu, Negeri Kelantan. pelajar-pelajar perlu bergegas ambil wudhu di Surau Sekolah, tika Sesi Solat Zohor berjemaah, akan ada guru disiplin lelaki dan wanita turun memantau, lambat-lambat akan dilibas dengan rotan. 


Akan ada ustaz dan ustazah akan turun menjaga pelajar, dan Seorang Ustaz akan melantik bilal daripada kalangan pelajar. Ustaz itu juga akan bertindak mengimamkan Solat. Waktu Asar juga begitu. 


Di sini? saya kebingungan seketika. Kerana jadual solatnya tidak teratur, pelajar tingkatan 1 akan bersolat bila cikgu lepaskan, tingkatan dua dan tiga pun samalah. Akan dilepaskan mengikut arahan cikgu. Kemudian, pemantauan agak longgar, susah mahu menyuruh mereka turun solat.


Puas sahaja diajak, ditarik tangan suruh bersolat, ada yang patuh, ada yang buat lambat-lambat. Ada yang begini: ambil wudhu hampir dua, tiga kali.. kemudian masuk surau, selang seminit keluar pakai kasut.. (saya yang memerhati menggeleng kepala, mahu dimarahi. Tapi, hati.. jika bertekad mahu ponteng, dimana-mana sahaja boleh dicilok lari)


Masa saya melepaskan mereka bersolat, saya memang jaga betul-betul, maknanya saya akan iringi mereka turun ke surau, pastikan semua berwudhu, Akan ada seorang pelajar jadi imam. Susunkan saf berjemaah, pastikan teratur sampai angkat takbir, solat, seterusnya memberi salam. 


Persoalan timbul: Mengapa saya tidak bersolat sama ketika itu?  Jadi Imam?


sukar.. untuk pastikan mereka benar-benar bersolat di belakang (tanpa menganggu kawan-kawan). Perlukan pemantauan. Kadang kala ada pelajar ini pandai-pandai, katanya mahu bersolat tapi keluar poei ontah mano.


Persoalan seterusnya: Kalau begitu? mana guru-guru lain?


Saya kira pelepasan pelajar ke surau adalah atas kebenaran guru kelas ketika itu, kadang kala ada guru lepaskan awal dan kadangkala lewat, maka tidak ada susunan tetap, makanya? Kalau saya seorang sahaja guru ketika itu?


Persoalan Cepumas: Mengapa tidak dibuat aturan solat Jemaah seperti sekolah lama saya?


Penceritaannnya sebenarnya begini. Semasa berbual-bual dengan PK HEM sekolah, baru saya fahami kenapa keadaan begini berlaku. Katanya tidak dapat dilakukan seperti di sekolah lama saya kerana bilangan guru agak kurang, sekolah itu hanya ada 20 orang sahaja guru tetap, ada ketika mereka berkursus, ada kerja lain, maka agak sukar untuk mengawal semua pelajar.


Permasalahan major, keadaan surau, Paip hanya ada empat sahaja, pelajar ada 200 orang lebih. Jadi? mahu berjemaah pun terpaksa menunggu mereka semua mengambil wudhu. Keadaan sudah pasti cukup-cukup makan masa. Faham sahajalah sekolah sesi petang, masa yang singkat amat.


Masalah yang sepatutnya tidak patut wujud: Ada masa mereka main-main dan mencilokkan diri ponteng dimana-mana sepanjang perjalanan dari kelas menuju ke surau. 


Segalanya terpulang kepada hati yang dididik dari rumah.


Saya menerima jawapan itu dengan harapan (setelah melawat bangunan sekolah baru sebentar tadi). Saya fikir, cepat-cepatlah berpindah ke bangunan baru. Agar peraturan berjalan seperti sekolah normal yang lain :)



Isnin, Mei 16, 2011

Hati kalau sudah keras.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera..


16 Mei, klise dengan Sambutan Hari Guru. Saya dibesarkan dalam keluarga kecil dimana kedua-dua ibu bapa saya merupakan antara ratusan ribu guru di Malaysia. Apabila dibesarkan dalam keluarga sebegini, yakni di awal tumbesaran, kami 5 adik beradik sudah didedahkan dengan penekanan Akademik, namun biasalah. Kemampuan manusia adalah berbeza-beza bukan?


Waima didedahkan dengan penekanan akademik yang tegas sekalipun, jika anak tidak suka (belajar), maka setakat termampu sahajalah boleh diberi ilmu. Maknanya dihantar ke kelas Tuisyen Mahalan sekalipun, kalau anak tidak mahu belajar, apa lagi mampu dilakukan oleh ibu bapa bukan? (hatta mereka seorang guru sekalipun). Anak ada cita-cita tersendiri, mahu menjadi itu dan ini. Saya sahaja yang sedikit mendengar kata, mengikut jejak langkah mereka-menjadi guru.


Cuma satu sahaja, cara didikan ibu dan bapa saya apabila berkaitan dengan moral sangat-sangat dititik beratkan. Biasalah, orang Melayu kena beradab. Berjumpa yang Tua, bersalaman. Tidak meninggikan suara, dan bermacam-macam lagi agar menjadi seorang yang tertib, bersopan.


Mencarut? Pasti akan dilempang laju-laju. Menendang adik bongsu? telapak kaki wajib dirotan. Sangat tegas. Maka budak bila dididik sebegini, besar nanti mana ada terkeluar perkataan:


Bodoh~! Bangang~! Baaaa bi~! dan lain-lain carutan yang tidak wajar pun ditaip. Kami berbahasa dengan sewajarnya, bercakap dengan adik beradik, Aku-kau sama sekali tidak dibenarkan.


Maka bila terdidik sebegini, saya janggal melihat pelajar berusia antara 12 tahun-15 tahun berbahasa kasar, dengan rakan (malahan dengan guru). Bagi mereka dengan rakan- adalah perkara biasa memanggil rakan-rakan dengan perkara tidak wajar. Namun si rakan boleh pula menjawab balik dengan perkataan yang lagi kasar.


Dengan guru? tidak kisah dilabel kurang Ajar, tidak kisah tidak mendapat titik keberkatan. Contoh, andai guru menegur, di label sebagai cikgu poyo. Kalau cikgu mengamuk? dilabel sebagai cikgu sudah gila.


Hati kalau sudah keras, dimana lagi  tempat mahu mengadu kalau bukan nun di atas sana, bukan?


Selamat Menyambut Hari Guru. :)