Khamis, Mei 12, 2011

itu kelas yang pertama.. Ariff

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera..


Masuk ke Kelas 1A, saya melangkah mendaki tangga, tiba-tiba ada perang mulut antara seorang pelajar kelas 2X dengan pelajar kelas 1A. Macam mahu bertumbuk lelaki perempuan pun ada. Sesi itu dileraikan dengan hadiah ludahan daripada pelajar 2X kepada pelajar 1A dan beredar.


Saya masuk dan menghempaskan buku atas meja guru, nasib baik saya bawa kamus Dewan, agak menggerunkan jugalah bunyinya. Semua pelajar terpisut-pisut masuk menuju ke tempat masing-masing, menikus. Saya masamkan muka, kening tebal ini dikerutkan rapat-rapat. (semalam saya sudah bagi amaran kepada mereka, saya ni bila garang sangat menakutkan)


Setelah membaca doa Penerang Hati (mudah-mudahan). Salah seorang pelajar bercakap: Cikgu mahu pergi solat. Belum solat lagi ni.. (Mungkin ingin melarikan diri daripada tembakan saya barangkali.)


Saya bising juga, kerana kalau dikira waktu bersolat tingkatan satu adalah waktu sebelum saya masuk itu, (setelah diselidiki, memang mereka dilepaskan awal untuk bersolat tapi sengaja tak pergi ke surau!) Saya ikut mereka bersolat. Dan Naik.


Pelajaran hari itu adalah Pemahaman. Saya minta pelajar bangun membaca teks daripada buku KBSM. masa yang sepatutnya 30 minit menjadi 17 minit cuma. Sekadar sempat membacakan teks. Sambil-sambil baca teks, saya gabung jalinkan dengan Sains Hayat.


Saya lukis urat-urat pokok: saya cakap jangka hayat pokok dikira berdasarkan urat-urat pokok. Kemudian melukis peta Malaysia kawasan hutan. Tunjukkan populasi hutan di Malaysia. Mereka ternganga. Senyap.. sebab kalau bising, memang saya akan tujukan soalan.


Saya bekalkan kerja rumah dan bagi amaran sambil suruh hantar buku latihan keesokkan harinya walaupun tiada kelas BM. Mereka ada merungut tapi Ada saya kisahkah? Ingat berat buku latihan Pemahaman itu sekilo.


Baik, cara mahu tackle kelas ini? tambahkan Pengetahuan Baru.


Masuk ke kelas 2A, saya fikir cukuplah sekadar dibuat sesi perkenalan hari ini. Minggu hadapan peperiksaan bakal bermula. Saya melangkah masuk, Bising juga, tidak padan dengan kelas A. Paling menarik, ramai pelajar lelaki. 


Ada seorang pelajar perempuan cina ini seakan baru usai menangis.. saya rasa dia dibuli. Sebab ada kertas bergumpal-gumpal koyak atas lantai dan mejanya teralih menyerong dari kedudukan (baru lepas mengamuk barangkali: meja jadi mangsa). Saya buat tidak endah dahulu.


Setelah sampah dikutip dan bertenang. Saya suruh semua keluarkan kertas, tulis biodata diri. Kononnya mahu berkenalan cara baru. Mulut bising-bising juga sambil tulis. Kemudian saya mendekati pelajar cina tadi, tanya kenapa menangis. Dia cakap tidak ada apa-apa, Tidak mahu berkongsi. Maka mahu dipaksa bercerita bukan caranya. Saya sekadar menitipkan pesanan, kalau ada masalah bagi tahu sahaja cikgu.


Kelas A, tapi banyak mulut. Sambil menulis biodata pun masih lagi berborak. Bisingnya boleh tahan, saya meninggikan suara, seakan-akan tenggelam timbul. Saya kutip kertas biodata, saya cakap, bising lagi saya baca apa sahaja kamu tulis dalam biodata ini depan rakan-rakan.. Ada yang senyap (sebab tidak bersetuju) tapi ada yang bising seakan mencabar: baca sahaja cikgu~! baca!


Maka? Saya suruh semua berdiri. Ketika itu Mereka ingat saya mahu keluar kelas. Buat muka macam sedih saya mahu tinggalkan kelas awal. Mereka berdiri.


Saya cakap, masa berbaki 15 minit lagi: bila masa mahu keluar kelas. Saya cakap, selagi kamu bising, kamu tidak dibenarkan duduk. Bising lagi, Semua berdiri luar kelas, lagi sekali bunyi bising, Semua bersila di depan kelas. Alhamdulillah, mereka makan saman. (Kelas 2X? lagi mencabar saya adalah... rasanya.)


Beransur-ansur senyap. Saya mula berceramah dan memberi amaran, saya ini orangnya bagaimana: kalau mahu belajar perlu belajar betul-betul.


Sambil melihat mereka tunduk beridiri, saya bercerita: saya ini kalau bertukar garang, memang garang betul-betul. Kelas 2X pun sudah boleh saya kawal, inikan pula kelas kamu! (ketika itu reaksi muka mereka memang seakan percaya, mungkin cerita saya menghalau pelajar dan melibas rotan di kelas itu tersebar luas barangkali)


menambahkan rencah Saya juga memberi amaran: Apa-apa jua keadaan, saya bagi amaran awal jangan kamu semua cuba menaikkan darah saya~!

Serentak dengan itu, guruh berdentummm...

Oh ada 'Sound Effect' rupanya.. Ngam sangatlah dengan situasi menggerunkan. Agak kelakar tapi saya kekalkan mood.


Selesai 6 minit berdiri, saya suruh duduk. Dan membuat kerja masing-masing sampai cikgu seterusnya datang 

Kelas ini: cara mahu tackle? mendekati pelajar dalam keadaan tegas barangkali.


Kelas pertama namun ragamnya sukar dijangka... SUKAR...


Rabu, Mei 11, 2011

Perbandingan dua hari .

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Setelah internet kembali, saya berkongsi cerita.

SEMALAM 10 Mei 2011

1) AKU KATA KELUAR.. KELUAR

-Saya mendapat kertas untuk relief kelas tingkatan 2X (bukan nama sebenar). Tingkatan ini pelik dan terkenal dengan kenakalan mereka. Hasilnya kelas 2X terletak di atas bilik guru dan selang dua kelas dengan bilik PK HEM.


-Dari bilik guru saya sudah terdengar bunyi bising, pekik lolong dan bunyi kerusi meja tunggang langgang di atas. Saya melangkah naik. Saya tengok, ada guru bahasa Inggeris di dalamnya. Terdetik dalam hati- kawalan kelas.. kawalan kelas...


-Guru Bahasa Inggeris meminta mereka berdiri: Stand UP.. (masih buat tak tahu.). Stand UP.. (masih berat bontot). Syazwan!~ (ketua Kelas)

Stand UPPPPPP>.. baru bangun... (itu pun beberapa orang sahaja)


-Keluar sahaja, Guru Bahasa Inggeris membekalkan rotan kepada saya. Saya ambil.


-Saya masuk, mereka masih tidak mahu bangun, ada yang keluar kelas, ada memekik, bercakap sesama mereka. Bergelak tawa lagi. Saya berdiri sahaja di hadapan, ketua suruh bangun dan bagi Salam. Di suatu sudut, ada seorang pelajar perempuan yang agak malas-malas- menjeling, dia seorang yang tidak bangun.


-Saya memandang tepat ke mukanya.. baru dia bangun..

Tindakan:
-Pertama: Saya sudah melibas rotan di atas meja apabila mereka tidak terkawal. Saya kalau boleh tidak mahu guna rotan.. tapi kalau sudah tahap melucah, mencarut, dan kurang ajar. Menjawab apatah lagi


-Kedua: saya sudah menghalau seorang pelajar keluar. Sebelum itu saya sudah memberi amaran, cakap begitu sekali lagi, Keluar. Hasilnya?


-Ketiga: sudah berbahasa Aku-Engkau dengan mereka. Mula-mula berbahasa cikgu-awak.. kemudian tidak terkawal. Diberi Motivasi, tidak makan saman. Maka saya bercakap Aku-Engkau sahaja.

Aku ni kalau dah hilang hormat memang aku bercakap aku-engkau ja dengan korang.

Ha, kau kat belakang, dari tadi bising. nama ape??

XYZ

kau tinggal di mana??

Blah-blah blah..

Etika keguruan? entah dimana. Kelas memang sudah terkawal, cuma dalam keadaan stresss.


-Keempat: Saya kira.. mereka ini kurang kasih sayang.. dan memerlukan perhatian, mereka cuba menarik perhatian dengan kelakuan sebegini..sangat ekstrem kurang ajarnya. Maka Saya pula perlu menunjukkan ketegasan yang agak ekstrem bagi kelas ini agar di masa hadapan, saya bukanlah guru yang boleh dipijak main dimata mereka.


Hari ini (11 Mei 2011)

2) TERIMA KASIH CIKGU

Waktu PJK, saya mengajar tingkatan 2X. mereka mahu bermain bola sepak, Saya lepaskan mereka bermain. Sambil-sambil itu saya perhatikan jugalah.


Melihat pelajar perempuan tidak tahu buat apa-apa, saya suruh mereka bermain bola tampar. Mereka akur, bila disuruh dengan baik. Ianya berkesan.


Ada seorang penjaga gol ini melaungkan karo-karo kepada pelajar perempuan yang agak gengster juga lagaknya.


Tiba-tiba Tiang gol tumbang, keting pahanya bengkak kebiruan, ada calar balar. Mengaduh kesakitan. Saya bawa berjumpa dengan Ketua Panitia PJK.


Ketua Panitia menasihatkan saya membawa pelajar itu ke pejabat, ambil first aid. Sebagai bekas pelajar PBSM. Saya membalut luka budak itu elok2x kemas-kemas, biarpun semalam dia menghina saya.


Diakhirnya, dia pulang dan bersalaman dengan saya sambil mencium tangan. :)


REFLEKSI:

1) Pelajar sekarang memang kurang ajar dan biadap, tahapnya? hadapilah sendiri.


2) Menjadi Guru memang memerlukan kesabaran yang tinggi dan tidak boleh berkira. Apa yang dihadapi hari ini, lupakan. Teruskan hidup untuk hari esok.


3) Kita perlu memberi ruang dan masa untuk menerima antara satu sama lain bagi menghadapi perubahan.



Pen OFF. penulisan tergesa-gesa.. saya tahu.. tapi saya cuba berkongsi.


Isnin, Mei 09, 2011

Catatan praktikum hari pertama.

Assalamulaikum dan Salam Sejahtera.


Hari pertama melapor diri di Sekolah SMKWP. Saya pergi bersama seorang lagi rakan yang sama-sama membuat latihan mengajar.


1) BEREBUT SUBJEK 

 Tatkala PK 1 bertanya boleh tak mengajar Pendidikan Jasmani & Kesihatan (PJK) dan Pendidikan Seni Visual (PSV)?


Kami berdua cakap, boleh sahaja, tak kisah.

Tatkala ditanya, jadi macam mana nak bahagi-bahagikan ya, siapa yang mahu PJK dan siapa mahu PSV?


Serentak: KAMI BOLEH MENGAJAR MELUKIS!


Akhirnya PK1 menyatakan, biar dia yang tentukanlah.. akhirnya saya mendapat kelas PJK dan mengajar Bahasa Melayu di Kelas yang pertama, manakala rakan saya mengajar di PSV dan mengajar Bahasa Melayu di Kelas kedua. Adil juga tu.


Cuma kelas PJK lebih banyak daripada kelas Major saya.. Saya fikir muka saya sesuai menjadi pelajar Program Pendidikan Kejurulatihan Sains Sukan barangkali, bukan Pelajar Program pendidikan Bahasa Melayu.



2) BERKERETA KE MEDAN PERHIMPUNAN

 Tatkala mahu ke tempat perhimpunan, Pengetua cakap, mari kita pergi bersama ke Dewan Perhimpunan. Boleh saya kenalkan kamu kepada mereka semua.


Kami ikut sahajalah.


Rupa-rupanya Dewan Perhimpunan terletak jauh di bawah sana. Berdekatan dengan padang, pejabat di atas bukit. Perlu menapak turun bukit juga jika mahu ke sana.


Tak sangka pula pengetua berkereta dari tempat parking pejabat ke dewan perhimpunan, mahu ataupun tidak kami naik kereta ke Dewan. Kereta Pengetua.


Setelah perhimpunan.. perlu kembali ke pejabat, dengan kereta pengetua juga.




3) SORAKAN ALU-ALUAN

Sekolah ini, guru lelakinya tidak sampai 20 orang, sepuluh orang sahaja barangkali. Jadi bila diperkenalkan di Medan perhimpunan, Tepukan dan sorakan bertalu-talu daripada pelajar berkumandang.


Terdapat 4 orang Guru Pelatih perempuan yang sudah 4 bulan berpraktikum terlebih dahulu (senior kami juga) menyatakan:


Kamu semua memang 'MELETOPPP'


mungkin juga gender kami lelaki dan berstatus guru baru pula, yang agak kurang di sekolah itu.



4) TERKEJUT SAYA.

Makanan di Kantin agak banyak sehinggakan saya yang kuat makan ini tidak habis. Bukan tidak bersyukur, cuma memang tidak larat untuk dihabiskan.


Kemudian kelas 2C lah yang paling disebut-sebut oleh guru pelatih perempuan, guru-guru dan PK HEM yang jangan dipandang ringan. Tidak hairanlah kelas 2C itu berada berdekatan dengan pejabat HEM. Oh ya, saya mengajar PJK di Kelas 2C. Bakal bertabah-tabahlah nanti.


Setelah makan di kantin sekolah, kami berjalan di koridor menuju ke bilik guru, berjalan sambil berbual-bual dengan guru India yang mengajar Bahasa Inggeris. Ada pelajar perempuan yang berada di koridor sedang 'bergayut' di Telefon Awam.


Guru: What Are You Doing Here??

Budak: Saya call ayah saya cikgu.

Guru: Do you know what time it is? Masa untuk pergi Solat kan? Buat Apa kamu Call ayah kamu sekarang?

Budak: Don't busy Body!


Saya terpana...


Itu sahaja catatan praktikum saya untuk hari pertama :)



Ahad, Mei 08, 2011

Praktikum.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.


Kembali menulis: Saya kira blog ini sudah dinilai oleh pensyarah saya. (Mungkin.)

Disebabkan Sayang untuk biarkan ianya begitu sahaja, maka saya coretkan sahajalah apa yang saya rasa mahu coretkan dalam blog ini. Insya Allah.

Situasi 1:

Cikgu: Baik, para pelajar, sila buka buku Matematik 3, kita akan buat kiraan darab.

Pelajar 1: Buku apa?

Cikgu: matematik 3..

Pelajar 1: Buku apa?

Cikgu: buku Matematik 3..

Pelajar: 1: Buku apa?

Cikgu: Buku matematikkk 3...

Pelajar 1: Buku apa?

Cikgu: Matematikkkk..

Pelajar 1: Buku apa?

Cikgu keluar dengan hati berdarah...



Situasi dua:


Pelajar 2: Cikgu~! kertas ini nak buat apa?

Cikgu: Buat pembungkus nasik lemak.

Pelajar 2: ........ Cikgu~! kertas ni nak tampal kat mana?

Cikgu: (sambil berpaling muka, tunjuk jari di pipi)

Pelajar 2: ......

Cikgu: Awak jangan tanya soalan yang tidak perlulah (nama pelajar).. sudah banyak kali kot awak tanya soalan yang sama. Setiap kali masuk kelas, soalan sebegini sahaja ditanya.



Dua situasi berbeza, namun berlandaskan pengalaman senior-senior saya yang berpraktikum. (situasi itu saya ingat-ingat lupa, tapi lebih kurang di ataslah)

Apa yang penting Cara mengawal kelas perlu ada, Bukan bergantung kepada rancangan pengajaran harian semata-mata.

Esok saya akan mula berpraktikum di sebuah sekolah kawasan Seremban. Perasaan berbaur sekarang.