Jumaat, Mac 18, 2011

Pesta Buku

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.


Di Universiti Utara Malaysia, UUM telah berlangsungnya pesta buku secara besar-besaran. Saya kira pesta buku yang diadakan di Perpustakaan Sultanah Bahiyah telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para pelajar.


Kesungguhan mereka cuba mendapat bahan bacaan sewajarnya dipuji kerana jika dibuat unjuran komparatif antara UPSI dengan UUM, sangat berbeza.


Di UPSI, jika pesta buku diadakan di Perpustakaan, sambutannya tidaklah memberangsangkan. Keadaan ini boleh mencalar kredibiliti bakal guru. Sebagai seorang bakal guru, kita perlu memenuhi minda kita dengan ilmu. Salah satu cara untuk memperolehi ilmu adalah dengan membaca. Di UUM sangat berbeza, para pelajar memenuhi setiap ruang lingkup pesta buku. Membuat perbandingan harga, mencari bahan bacaan bernilai dan membeli buku.




di Pesta Buku UUM



Pernah suatu ketika kolej Kediaman UPSI ada membuat pesta buku, namun hasilnya, 8 buah gerai jualan buku dan gerai selebihnya menjual tudung dan makanan. Saya kira, gerai menjual makanan dan tudung lebih banyak berbanding gerai menjual buku. Keadaan ini menyebabkan pesta buku UPSI agak suram. Saya amat berharap keadaan ini tidak berlaku di masa akan datang.



Khamis, Mac 17, 2011

Sila kesali

 Assalamualaikum dan Salam Sejahtera..


Saya ini Orang Melayu, berdarah Melayu, mengamalkan adat-adat budaya keMelayuan. Tetapi saya bukanlah ahli PERKASA yang menyokong ketuanan Melayu secara kritikal. Walaupun ada Layu dalam Melayu, saya tetap berbangga menjadi saya seadanya.


Di Hari yang Mulia ini saya sebenarnya bukanlah mahu memperkecil-kecilkan bangsa Melayu, cuma saya mahu bermuhasabahkan diri saya dan kamu juga.


Selalu orang tanya dalam Melayu ada apa? mereka jawab ada subsidi. Saya terfikir juga apa perkaitan subsidi dengan orang Melayu? tapi saya malas jawab sekarang, bukan kerana saya dangkal fikiran untuk menjelaskan perkaitan itu, cuma saya fikir blog ini bukanlah tempatnya untuk saya memberitahu perkaitan subsidi sengan orang Melayu. Ataupun mungkin juga saya adalah seorang Pemalas. Sila kesali. (Melayu seringkali dikaitkan dengan sifat Malas, bukan?)


Apapun perlu diterima kenyataan. Sejak dahulu lagi, Melayu memang selalu bertongkat, tapi tongkat itu kadang kala memakan diri sendiri. Menjadikan mereka malas, manja dan layu. Oh ya kenapa saya terdetik mahu bercerita mengenai Bangsa-bangsa ini.


Tadi, saya baru pulang daripada bengkel kereta. Rupanya bumper kereta Myvi kepunyaan Tunang Timbalan YDP MPP UPSI sesi terbaru ini telah jatuh ke bawah. Saya pun tidak tahu mengapa keadaan itu terjadi. Pada masa itu, Kakak Shaiha (mantan timb YDP itulah) ada hal di kampus barangkali, maka dia meminta tolong Nina (junior saya) untuk membetulkan bumper kereta itu.


Nina pula meminta jasa baik Noraini Ahmad (bukan ahli Parlimen Parit Sulong sekarang walaupun nama mereka sama) untuk menemaninya ke bengkel. Dalam Fikiran Mereka barangkali, "Tahu sahajalah kalau perempuan ke bengkel kereta, mungkin akan diketuk harga dua kali ganda. Atau berlaku kesalah fahaman mengenai perkakas yang perlu dibaiki".


Maka Aini meminta saya menemani mereka. Atas kapisiti lelaki lebih mengetahui hal kereta. Padahal saya juga lebih suka membelek laman sesawang terlebih dahulu untuk mencari maklumat tentang kereta sebelum ke bengkel.


Dalam kereta, saya berkata kepada mereka bahawa saya lebih suka bengkel dimana taukehnya Cina berbanding Melayu. (nampak bukan? masalah Melayu ini dia suka condenm bangsa dia sendiri).


Namun saya ada rasional tertentu menyatakan sedemikian rupa, saya ini telah melalui pengalaman luas dalam perihal berurusan dengan (sesetengah) orang Melayu, Selain tidak menepati masa, janji dan waktu, saya juga lihat bahawa mereka suka melengah-lengahkan perkara.


Pernah untuk membaiki sebuah kereta, dia bilang memerlukan masa dua tiga hari, sedangkan kerosakan itu boleh dibaiki dalam masa setengah sehari. Katanya ada banyak kereta untuk diperbaiki, kena ikut giliran. Masalahnya perkara ini tidak sepatutnya timbul sebenarnya.


Pasal apa? pasal ada pomen kereta ini mempunyai hobi yang eksotik, seperti menjerat burung ketitir di bukit pada waktu petang. Ada yang berehat minum di kedai kopi berlama-lama sambil bermain dam haji dan sebagainya. Jadi hal kecil pun tidak akan beres dalam masa seminit tahu? dan Kalaulah benar begini mentalitinya, bagaimana Bangsa itu mahu maju?


Maka, dipendekkan cerita Nina membawa Myvi itu ke sebuah bengkel cina di Taman Malim yang setentang dengan dewan kuliah UPSI Taman Bernam. Setelah saya berunding harga dan menyelesaikan sesi pertanyaan, Tauke cina itu terus membaiki kereta itu dengan segera. ya dengan segera. kos baik pulih pun murah.


Kemudian tauke itu meminta saya mencari 5 batang skru yang agak pelik bentuknya di sebuah kedai alat ganti kereta bagi mengukuhkan lagi bumper Myvi itu. Oh ya saya lupa nama skru itu, (lihat? baru sahaja tadi menyebut nama skru depan tauke, sekarang sudah lupa. Melayu Memang Mudah Lupa). Kedai alat ganti kereta itu terletak berhampiran, dan taukeh kedai itu berbangsa Cina juga. Lihat lagi, Cina boleh maju kerana mereka saling bantu membantu bangsa mereka. Meningkatkan ekonomi bangsa.


Jadi? saya memang mahu membantu bangsa Melayu, mahu membeli belah di kedai mereka, tapi mereka sendiri tidak mahu bantu saya. Dan secara mantiknya, mereka sendiri tidak membantu diri mereka sendiri sebenarnya. Sila kesali.


P/S: No Racism here. (lihat? berbahasa Inggeris pula tu)




Rabu, Mac 16, 2011

Yakin biarlah bertempat

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.


Bangun sahaja dari tidur sebentar tadi, perkara duniawi pertama yang saya fikir untuk diselesaikan adalah menghantar borang permohonan kolej. Kerana pada keesokkan harinya saya akan bertolak ke UUM, maka saya perlu menyelesaikan perkara ini secepat mungkin.


Untuk menghantar borang permohonan kolej, perlu disertakan dengan buku 'Sticker'. Buku ini merupakan salah satu syarat kelayakan bagi mendapatkan kolej. Dalam buku ini perlu disertakan dengan pelekat-pelekat aktiviti kolej, tanda kita menyokong aktiviti kolej. Cara mendapatkan pelekat adalah dengan turun padang menyokong aktiviti itu. 


Contoh aktiviti: senam robik, menyangkul rumput (bergotong royong), memberi tin kosong (kempen kitar semula) dan sebagainya. Hipotesisnya, semakin banyak pelekat, semakin tinggi peluang kita untuk mendapatkan penempatan di kolej kediaman.


Sebagai mahasiswa yang cakna, saya cukup sibuk dan tiada kesempatan untuk menceburi bidang aktiviti kolej. Hal ini demikian kerana, debat adalah jiwa saya dan persatuan adalah amanah saya. Maka segala aktiviti saya hanya berkaitan dengan debat dan Persatuan Bahasa Melayu (PERBAYU). 


Jadi, caranya saya hanya mendapatkan cop pengesahan daripada penasihat persatuan sahaja, sebagai tanda saya juga mahasiswa aktif, namun bagi aktiviti universiti bukan kolej semata-mata. Hasilnya saya tetap mendapat kolej. pelekat?, semester ini saya hanya ada satu. Itu pun dari kolej Aminudin Baki, kerana saya menyertai pertandingan Pidato Hari Terbuka di sana. 


klik kepada gambar untuk tumbesaran.



 Jadi sebaik sahaja bangun dan menyelesaikan rutin Subuh, saya mencari buku aktiviti kolej. Sebab saya berhajat untuk ke kampus bagi mendapatkan cop pengesahan daripada penasihat kelab. Puas saya mencari, selongkar dan menyelerakkan barang dalam bilik, buku itu tidak dijumpai. Buntu.


Akhirnya saya menyatakan rasa buntu saya dalam facebook. Ramai juga yang respon. Antaranya Azlina Jamal, pembantu felo kolej bertanya. Dia tanya sama ada saya pasti buku itu ada dalam simpanan?


Saya jawab, ingat-ingat lupa. Tapi selepas itu dengan yakin saya cakap, saya menulis nama atas buku baru itu. Maksudnya sewaktu hari pendaftaran kolej, saya sudah mendapatkan buku itu


Kemudian dia menyatakan, nanti dia akan cuba periksa sama ada buku itu saya sudah ambil daripada pejabat kolej ataupun tidak.


Beberapa minit kemudian, dia menelefon saya, buku itu saya belum ambil lagi, sila ambil di pejabat kolej dengan segera.


Tiba-tiba saya berasa termalu besar :)


P/S: kadang-kadang keadaan tak pasti dan situasi terdesak membuatkan kita dengan yakin memberi jawapan pasti bukan.



Ahad, Mac 13, 2011

PABM yang saya tidak hadir.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Sudah dua kali saya ketinggalan untuk melihat pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala  Perdana Menteri (PABM) secara langsung, maksudnya melihat didepan mata, bukan melalui siaran Televisyen. Pada kebiaasaannya UPSI akan menghantar dua buah bas yang dipenuhi dengan pelajar sebagai delegasi penonton pertandingan yang berprestij itu. Pidato edisi 2010, saya dibebani dengan masalah tugasan yang perlu diselesaikan secepat mungkin. Ketika itu saya perlu membuat persediaan bagi  membentangkan kertas kerja.


Jadi saya menyimpan hasrat untuk tidak melepaskan peluang melihat Pertandingan Pidato edisi 2011. Namun manusia hanya merancang, Tuhan menentukan. Edisi kali ini juga saya terpaksa membantal hasrat itu pada saat-saat akhir. Dek kerana 'junior' kelab Debat mahu membuat persediaan ke Pertandingan Debat Glokal di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) keesokan harinya. 


Sebagai Exco Latihan Kelab Debat, mahu tidak mahu saya perlu turun padang bagi melihat perkembangan. Jadi satu jam sebelum bertolak, saya menghantar sms kepada pengurus delegasi UPSI dengan berat hati bagi menyatakan ketidakhadiran saya.


PABM julung kali diadakan pada 12-16 Mac 2007. Ketika itu saya berada di Tingkatan 6. Saya hanya melihatnya melalui kaca televisyen sahaja. Kemudian untuk edisi 2009 barulah saya berpeluang melihatnya secara langsung. Ketika itu saya berada di semester dua. Perasaan teruja? Semestinya.


Keterujaan saya mengenai pidato ini adalah rata-rata peserta dari Malaysia terdiri daripada pendebat yang sangat hebat dan berkaliber. Dari edisi pidato 2007 sehingga kini, kesemua peserta yang mewakili Malaysia adalah pendebat. Sebagai contoh, peserta edisi 2007, Mohd Daud, Peserta edisi 2008, Farhan Diyana, Peserta edisi 2009, Syamsul Salleh, edisi 2010, Syazwan dan edisi 2011, Amirudin merupakan pendebat di Malaysia. Maka setiap kali ada kejohanan debat, pasti ada mereka.




Juara PABM kategori Antarabangsa



Namun disebabkan edisi kali ini juga saya tidak dapat hadir, maka saya sekadar mendengar cerita daripada rakan-rakan yang pergi sahaja. Mereka menyatakan betapa fasihnya lidah peserta menyebut satu persatu ayat demi ayat dalam Bahasa Melayu. Bagi saya ini adalah perkembangan sihat. Selain dapat menjulang Bahasa Melayu, rakyat Malaysia juga berjaya didedahkan dengan seni orator pidato.


Berikut adalah senarai nama pemenang

Kategori Nusantara

1) Aminrrudin Abd. Rahman (Malaysia)

2) Awang Abdul Rashid Awang Damit (Brunei)

3) Muhamad Izwan Othman (Singapura)


Kategori Antarabangsa

1) Halil Ibrahim (Turki)

2) Daria Kamyshnikova (Rusia)

3) Genevieve Woods (Australia)


Jika diteliti, sejak dari edisi pertama sehingga kini rata-rata peserta yang mara ke peringkat akhir bagi kategori antarabangsa adalah peserta dari Rusia, China, dan Australia. Saya terfikir juga, bagaimana kondisi Pengajian Melayu disana ya? :)