Sabtu, Mac 12, 2011

Susah sangatkah?

Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Saya baru pulang dari menukar minyak hitam kereta. Ketika pulang, hujan telah turun dengan lebatnya di Tanjung Malim. Sangat lebat, sehingga jalan raya menjadi berkabus. Suasana sejuk dan berangin dengan bunyi deruan hujan adalah perkara biasa. Maka saya cepat-cepat menghala ke Kolej untuk sampai cepat ke rumah.



gambar di kampung saya, ketika hujan gerimis.



Sebelum saya pulang, saya mendapati meter petrol sudah sampai di paras kritikal. Sebelum keadaan menjadi kronik, saya terpaksa memandu kereta dari bengkel di Taman Bernam ke Stesen Minyak Petronas Tanjung Malim. Untuk ke sana, saya perlu membuat pusingan U. Hujan semakin menggila, saya terus membuka lampu kereta, sebagaimana saya pelajari dalam kelas memandu.



Semasa mahu membuat pusingan U, saya mendapati masih ada kenderaan yang tidak peka akan kepentingan untuk membuka lampu kenderaan tatkala hujan. Jika hujan gerimis seperti dalam gambar di atas, tidaklah saya ambil kisah. Namun jika hujan lebat? keadaan berkabus, sehingga penglihatan terbatas, bukankah keadaan itu agak berbahaya?


Pembukaan lampu kenderaan adalah sebagai isyarat kepada pengguna lain agar mereka lebih berhati-hati dan menandakan ada kenderaan berdekatan dengan mereka. Namun di sini, saya lihat kesedaran mengenai pemasangan lampu kenderaan masih lagi kurang. Maka saya terpaksa membuat pusingan U dalam keadaan yang sukar, dek kerana penglihatan yang terbatas dan juga mereka yang tidak mempunyai kesedaran untuk membuka  lampu kenderaan ketika hujan lebat di siang hari. :)


P/S: Membuka lampu kenderaan tidaklah sesusah membuka pemetik api untuk merokok ketika memandu bukan?



Jumaat, Mac 11, 2011

Iklan Pertama

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.


Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri akan diadakan pada hari ini iaitu 11 Mac 2011. Bertempat di Putrajaya International Convention Centre (PICC). Saya mendapat tahu pada awalnya, terdapat 59 orang peserta yang mewakili 54 buah negara. Setelah melepasi 3 saringan, hanya 51 orang sahaja yang layak. Dan kini, ada 8 orang peserta telah dipilih menjadi terbaik dalam kalangan terbaik.

Terdapat dua kategori :

Nusantara: Malaysia, Brunei, dan Singapura 

Antarabangsa: Russia, Korea, Turki, China, dan Australia.



Peserta yang layak ke peringkat akhir.



Saksikan Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri (PABM) secara langsung di RTM 1, 11 Mac 2011 pada jam 8.30 malam.


P/S: Saya akan bercerita mengenai pidato ini dengan lebih mendalam dalam penulisan saya yang seterusnya.


Isnin, Mac 07, 2011

Video sosiolinguistik

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Penceritaan Video ini sangat mudah dan ringkas. Ianya berkenaan seorang pemuda yang pekak dan bisu cuba mencari tandas. Namun setelah cuba mencarinya sendiri, tidak juga dijumpai tandas itu. Ditanya orang Iban, Wanita dan perempuan cina, mendapat pelbagai reaksi. Reaksi yang bagaimana? anda lihat sendiri dan cuba analisis, apa mesej yang ingin disampaikan.





Method:

1) 2 kamera rakaman
2) video montaj
3) Lagu kumpulan MUSE yang bertajuk 'Uprising' dan 'I belong To You'
4) Lagu latar filem 'Ocean 13'
5) Lagu 'Senyum' duet antara Malique dan Najwa


Proses rakaman mengambil masa sejam lebih, proses menyunting mengambil masa 2 hari. Hasilnya, filem pendek ini mengambil masa 5 minit lebih. Biarpun sekadar 5 minit cuma, saya masih berpuas hati dengan usaha keras kumpulan saya. Sungguh berbaloi apabila hasil kerja kita dihargai bukan?





Ahad, Mac 06, 2011

Lasykar Pelangi

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.


Dalam penulisan sebelum ini, Saya pernah menyatakan akan bercerita mengenai pembacaan sebuah novel untuk penulisan tugasan ilmiah saya. Baiklah pada permulaannya saya memilih Novel Julia, namun atas beberapa sebab tertentu, saya menukar tajuk di saat Akhir. Mungkin disebabkan saya tidak menjumpai Novel tersebut di perpustaakan. Saya memilih Novel Lasykar Pelangi, karya Andrea Hirata.




gambar sekadar hiasan.




Bagi saya, Novel Lasykar Pelangi sememangnya sarat dengan mesej yang berkualiti dan mampu membawa kita menerokai perspektif yang berbeza mengenai pendidikan di sebuah sekolah yang agak serba daif namun masih mampu mendapatkan kejayaan unggul hasil daripada kreativiti mereka.


Ianya berkisar mengenai Ikal dan 9 orang rakannya yang diberi nama Lasykar Pelangi oleh guru mereka iaitu Bu Mus, atas kesenangan mereka terhadap Pelangi. Biarpun Sekolah Muhammadiyah agak kekurangan dari segi fasiliti, namun ianya kaya dengan kasih sayang, ilmu yang bermanfaat dan ikatan persahabatan. Maka adalah tidak menghairankan apabila mereka mampu menewaskan sekolah elit lain seperti Sekolah PN, kerana mereka mempunyai iltizam yang tinggi.


Bagi saya buku ini agak menarik untuk dibaca, biarpun pada permulaannya saya agak keberatan untuk membacanya. Hal ini mungkin disebabkan sifat saya begitu teliti, sedangkan penceritaan buku ini agak ringan bagi saya. Saya memerlukan penceritaan yang spesifik mengenai sesuatu perkara, yang boleh membawa saya merasai apa-apa sahaja yang ingin diceritakan oleh pengarang. Maka bagi saya, penulis yang mempunyai daya kreativiti sebegitu adalah Shahnon Ahmad.


Walau bagaimanapun, itu adalah pendapat saya sahaja. Ianya adalah relatif. Buku ini tetap menarik untuk dibaca, untuk mengkaji tahap sosiobudaya masyarakat Indonesia yang agak berbeza dengan negara kita Malaysia. Apa pun, tugasan ilmiah saya telah berjaya disiapkan pada masanya. Alhamdulillah. :)