Sabtu, Mac 05, 2011

Jelas

Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.



Saya masih bertungkus lumus menyiapkan tugasan-tugasan yang dilambakkan oleh pihak Universiti. Saya fikir, ini adalah rutin biasa, Minggu ke-8 adalah minggu deathline bagi kebanyakan warga kampus. Saya diberi satu tugasan yang agaklah menarik bagi mereka (tidak bagi saya). Esok adalah minggu ke-8, esok saya akan berkejar ke kedai printing, dan ke fakulti bagi menghantar tugasan.


Disebabkan saya DIWAJIBKAN oleh fakulti untuk mengambil Minor Kesusasteraan Melayu, (atas sebab yang saya masih tidak jelas), maka tugasan yang diberikan juga adalah pasti menyentuh nilai estetika Sastera. Saya sudah berkali-kali menerangkan, saya bukanlah seorang yang melankolik, puistisme dan estetisme orangnya.


Saya ini jenis realisme person, penulisan saya jarang mempunyai nilai konotatif (tersirat). Semuanya dinotatif (tersurat), direct to the point dan penulisan saya bersandarkan realiti. tatkala diberi tugasan membuat sajak, saya terpaksa memerah otak untuk berimaginasi, berlayar mencari ilham, Tapi nasib baik jugalah 20 buah sajak berjaya disiapkan.


Kemudian, sekali lagi diberi tugasan, menganalisis novel, mencari elemen-elemen modal insan dalam karya sastera. Mula-mula saya memilih novel Julia, kemudian saya menukar tajuk novel Lasykar Pelangi. Berkali-kali saya membaca novel itu, saya akan tertidur, ketika duduk atas kerusi, saya menguap beberapa kali, apatah lagi kalau saya baring, terlena sampai pagi.


Saya hairan kenapa ramai kawan saya menyatakan Novel Lasykar Pelangi ini best. Kemudian Nora menyatakan, mungkin keseronokan saya membaca novel apabila ianya memerlukan saya berfikir secara mendalam, menganalisis dengan lebih jelas. Novel berat? Agaknyalah.


Saya boleh membaca novel, asalkan menepati pemikiran saya. Saya suka membaca karya Shahnon Ahmad dan Fatimah Busu. Penceritaan mereka sangat realistik dan kupasannya cukup details. Bayangkan Shahnon mahu bercerita mengenai kotoran sungai Ceper, dia akan menceritakan dengan terperici, sungai tercemar dengan sisa nasi basi yang berbuih, bangkai-bangkai ayam yang diselaputi ulat bergeliut-liut dan sebagainya. Bagaimana nasi itu hamisnya bau menusuk hidung, diperincikan ulat-ulat yang berenang itu gemuk atau kurus menerokai bangkai. Cukup meloyakan saya jika dibayangkan. Umpama kita berada di atas tebing sungai itu. Maknanya Beliau telah berjaya membawa saya menerokai karyanya.






tajuknya sahaja sudah menunjukkan genre buku ini jenis yang bagaimana



Fatimah Busu? sama juga perihalnya. Cerpen Anak Bumi Tercinta telah membuat saya jatuh suka kepada dia, betapa unsur realisme cukup kuat dibangkitkan oleh Fatimah Busu, sehingga saya boleh membayangkan kesusahah hidup wataknya. Saya memerlukan karya yang penceritaannya mendalam sahaja. Isu remeh atau tidak bukanlah persoalan major.


Mungkin saya agak bermasalah dengan novel yang isunya berat, tapi kupasannya ringan bagi saya. Saya perlukan details.


Tatkala memulangkan buku Novel Karipap-karipap Cinta kepada Bloggers Temah. Telah saya menyatakan kupasan novel itu sangat ringan biarpun ceritanya menarik. Dia pun pernah menyatakan, mungkin otak saya sudah diprogramkan untuk menjadi analitikal kerana menyertai aktiviti debat.


Benar, Saya memerlukan 'details', untuk membuatkan saya berfikir.




Rabu, Mac 02, 2011

Senyum

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.


Manusia ini ada pelbagai ragamnya, ada rentaknya, ada anginnya. Cuma kadangkala saya hairan juga, walaupun ragamnya ada, susahkah kalau kita menghadiahkan senyuman?. Sekelumit senyum pun saya rasa cukup berharga buat manusia sekeliling. Hadiah itu tidak ternilai, dan agak murah. Tidak perlu membayar satu sen pun untuk menghadiahkan senyum, bukan seperti hadiah material yang lain.


Saya hairan kalau kita menyapa seseorang yang kita kenal, saya mengangkat tangan dan senyum kepadanya, dengan harapan itu adalah tanda kita beramah mesra dengan seseorang, tanda kita mempunyai jaringan sosial. Namun tahukah anda apa tindakannya? hanya melihat saya tanpa mengukir senyum. Tipulah jika dia tidak nampak saya. Selain saya senyum, saya mengangkat tangan juga. Untuk memberi salam, agak jauh. Masing-masing mahu membawa hala tuju sendiri. Namun sempat sahaja untuk memberi bahasa tubuh sebagai sapaan beramah mesra.


Untuk mengukir senyum bukanlah memerlukan alat pertukangan ukiran seperti pahat dan tukul. Cukuplah sekadar mengerakkan otot wajah sahaja. Jika ada rakan kita menyapa, tidak salah bukan untuk kita senyum. Kalau kita senyum, dunia tiada 'penyakit' bukan? :)












Selasa, Mac 01, 2011

ditindih oleh Hantu

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera..


Pernah tak ditindih hantu ketika tidur? Kawan-kawan sekolah saya dahulu pernah bercerita, dengan penuh keterujaan, dengan mimik muka bersungguh-sungguh, mata dibuntangkan, kening terangkat-angkat, seiring dengan tangan ke kiri dan ke kanan. Eksperesi itu memang penuh teruja, seolah-olah betapa ruginya jika kita tak merasai alam paranormal.


Selalunya cerita mereka yang ditindih hantu, ada tandanya. Contoh seperti lidah kita akan mengeras, suara tidak beluar waima kita cuba bertempik sekalipun, badan terasa berat, dada macam ditekan-tekan, nak angkat jari pun tidak boleh, mata boleh buka separuh, kadang-kadang tidak boleh buka langsung.


untuk membuat kawan-kawan yang mendengar lebih ternganga, diberi tambahan perasa cerita, nampak wajah hudoh dahululah baru kena tindih, dengar orang terkekeh ketawa lah, nampak rambut mayang mengurai di silinglah, dengar suara bunyi nyaring, etc.


Saya yang macam bodoh-bodoh alang ini pun percaya juga (penakut mungkin), sebab saya pernah kena tindih hantu dua tiga kali ketika sekolah menengah dahulu. Mula-mula kena, minda dalam keadaaan sedar, tapi badan dalam keadaan tidur, kelopak mata tidak boleh diangkat langsung, ingatkan macam sakaratulmaut datang, tapi tak terasa sakit. Kan ustaz ada cakap, mati ini ibarat kita dicincang dengan 70 ribu mata pedang.


Jadi saya cuba bertempik segala, nak angkat jari, semua tak boleh, baca doa sahaja. 5 minit kemudian, tersedar sendiri, memang tercunggap-cunggap ketakutan. seram. Konklusi mudah, hantu datang tindih saya!


Semalam, ya semalam berlaku juga, kena tindih lagi, saya ingatkan tiada apa-apa jadi biarkan sahajalah. Seperti biasa, lidah ku kelu tapi mindaku tidak membeku, badan terasa berat di dada, nak angkat tangan tidak boleh cuma mata saya kali ini boleh terbuka separuh, sangat geram (mungkin tak nampak hantu mana datang tindih walaupun mata dah terbuka).


Tapi setelah mencari penyebab dalam internet, saya buat konklusi mudah, ini bukan sebab kena tindih. Ini adalah fenomena sleep paralysis. Jika di terjemahkan secara Bodoh Tiang ianya bermaksud 'kelumpuhan ketika tidur', lumpuh yang sementara laaaahhh.. Keadaan ini berlaku ketika kita difasa nak masuk tidur atau baru bangun dari tidur. Yakni fasa sedar ke alam mimpi ataupun sebaliknya.


waktu nak nyenyak ini, biji mata kita akan bergerak-gerak, otak akan beri tanda (elektrikal signal) suruh badan kita rehat, kalau tidur yang normal, otak akan berehat atau switch off (dipanggil reticular activating system RAS) jadi tinggal yang automatic funcition je macam degupan jantung, sistem paru-paru, sahaja yang on. Itu adalah tidur yang normal.


Tapi kadang-kadang elektrika signal tak aktifkan balik otak untuk suruh badan kita sedar balik, Ha, pada masa itulah kita akan lumpuh seketika, Tapi kadang-kadang bukan lumpuh sepenuhnya, sebahagian sahaja (sebab itu ada jari boleh digerak-gerakkan, atau kelopak mata dibuka separuh), inilah dinamakan sleep paralysis.


Dan lagi satu, sleep paralysis selalunya datang dengan halusinasi, sama ada dalam bentuk bunyi, visual dan tactile (sentuhan), ini kes yang mereka cakap nampak muka hodoh dan jelek itu barangkali. Saya terfikir juga, mimpi basah yang seringkali terjadi dalam remaja lelaki disebabkan halusinasi ini jugakah? Sebab ianya sama, cukup pakej, visual, sentuhan dan bunyi. Eh. :P


Baik, berhenti seketika repekan yang penuh inkuiri, berikut adalah Sebab berlakunya sleep paralysis:


1) tidur dalam posisi terlentang terlalu lama

2) Jadual tidur tidak menentu (irregular sleep clock)

3) sleep/ rest deprivation (stress tak cukup tidur)

4) stress yang banyak masalah kat otak, (masalah keluarga, kewangan, kerja etc)

5) pertukaran gaya hidup yang tiba-tiba (cuti semester relax sangat-sangat, dah masuk semester, kepenatan haih!)



Semua tanda ini saya ada dan rasai sekarang. Jadi, tak hairan pun kalau kena 'tindih lagi malam ni' ; )





Isnin, Februari 28, 2011

stupid question from Typical Malay.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.


Saya pun agak hairan kenapa kebanyakan kelas pelajar Fakulti Bahasa dan Komunikasi berada di Proton City. Kelas di Proton City agak jauh dari kampus. Lebih kurang hampir 9 KM sehala. Kami terpaksa menaiki bas untuk ke sana, kalau ada kenderaan sendiri, nasib baiklah sebab tidak perlu beratur atau berebut-rebut bas.  Disebabkan kelas di Proton City agak banyak tertera dalam jadual saya semester ini, saya terpaksa membawa kereta datang ke Tanjung Malim. Ianya satu pembaziran bukan?, jika kita sudah membayar yuran pengajian (yang termasuk dengan yuran pengangkutan), namun  pada masa yang sama turut melaburkan duit membeli petrol kereta.


Bagaimana saya boleh mengubah keadaan,  sebab saya ini kadang-kala akan terlewat bangun dari lena, dan penyelamatnya adalah kereta, memecut kereta di atas jalan raya menghala ke Proton City, sudah berjaya menjimatkan hampir 20 minit (mungkin lebih). Jika tidak, saya terpaksa beratur menunggu bas, dan berada dalam bas yang bergerak dengan perlahan.  Sabar sahajalah. Kalau pensyarah tidak kisah saya datang lambat ke kelas, saya lagilah tak kisah. Namun agak memalukan juga sikap sebegini bukan? jadi saya berusaha datang secepat mungkin.



Bangunan Proton City



Bangunan Proton City yang menjadi tempat kuliah kami ini sebenarnya adalah bangunan milik Syarikat Proton. Dengar-dengar khabar angin: UPSI telah menyewanya rentetan daripada cerita UPSI Universiti Rumah Kedai yang tempampang di dada akhbar yang cuba sedaya upaya menembus arus perdana. Sebelum di Proton City, kami berkuliah di Taman Universiti iaitu rumah kedai yang disewa oleh UPSI. Setelah tersebarnya berita itu, buka semester kemudian, kami dikejutkan akan berpindah ke Proton City.


Bangunan Proton City ini hanya ada kafe, koperasi (minimart) dan perpustakaan kecil yang agak tersorok, saya baru tahu ada perpustakaan di sana. Dan juga 26 buah kelas yang berlainan saiz.




cantik


Suatu hari sekali lagi saya terlewat dan terus memandu menuju ke Proton City. Sampai sahaja di Proton City, saya menunggu lif, tiba-tiba Lin datang. Lin adalah kawan saya, pelajar TESL.


Lin: Morning, Pergi mana? Nak pergi Ke kelas ke?

Saya: Selamat pagi, haruslah aku nak ke kelas, kau ingat aku nak buat apa je di sini? 

Lin: hahaha, betul jugak tu, stupid question from Typical Malay


Kadang kala ada soalan yang tidak perlu kita tanya, kerana soalan itu adalah tidak perlu dek kerana kita sudah tahu apa jawapannya. Saya teringat kisah lama.


Doktor: awak sakit apa?

Dia: Manalah saya tahu sakit apa, awakkan doktor, awak sepatutnya kena check dulu!



Inilah tempat saya menimba ilmu sekarang.



Ahad, Februari 27, 2011

Penjual Gadis

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera..

Saya terpandang akan kain rentang ini. Ada sesuatu yang aneh, yang ganjil. Kesalahan huruf? kesalahan tatabahasa? kesalahan wacana? atau kesalahan semantik? Anda nilailah sendiri ya.






Ini adalah kesalahan penterjemahan yang kronik dan saya kira tidak perlu ada di Malaysia. Namun kes Penjual gadis, kalau betul ada,  biarpun tiada kaitan dengan kain rentang di atas. mohon ditumpaskan dengan kadar segera.