Sabtu, Februari 12, 2011

Saya bercakap berlandaskan pandangan saya sahaja

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera..

Saya ini bukanlah pembersih (sangat) orangnya , saya juga bukanlah ahli persatuan hak asasi manusia yang lantang (apabila ada faedah dari segi publisiti), saya juga bukanlah anti perkhidmatan POS Malaysia. Sebab sayalah antara seorang dalam jutaan pelanggan perkhidmatan Pos Malaysia itu. Tujuan saya menulis perkara ini bukanlah untuk mencari balah dengan mana-mana pihak. Cukuplan sekadar menjadi renungan atau luahan peribadi saya sahaja.


Apa pun ingin saya tegaskan, saya ini bukanlah rumit orangnya. Saya tidak minta perkhidmatan kelas berbintang-bintang, saya juga tidak minta saya diarak dengan bunga manggar tatkala melangkah masuk ke dalam pejabat pos, malahan saya tidak ingin pun jika kertas angka giliran menunggu kepunyaan saya itu dicetak dengan tulisan emas sekilo.


Cuma saya meminta perkhidmatan di Pejabat POS Tanjong Malim ini diperbaiki dari segi infrastrukturnya sahaja. Saya akui jika dibandingkan Tanjung Malim dengan tempat saya di Negeri Tanah Rendah Sekebun Bunga itu, Tanjung Malim memang tak setanding dengan negeri saya yang dilabelkan sebagai mundur serba serbi.


Di Tempat saya tidak ada kertas angka nombor giliran bergumpal-gumpal diatas kaunter. Itu baru di atas kaunter. Di atas lantai? terkejut saya apabila melihat di sudut penjuru dinding dan di tepi meja ada sebusut kecil kertas angka nombor giliran berkeroyok tergumpal yang dicampak. Ini bukan perkara main-main.


Benar, saya kira agak bagus apabila pejabat pos memperkenal sistem menunggu mengikut angka giliran. Maka pelanggan tidak perlu berpusu-pusu beratur belok-belengkar bagai ular kena palu. Macam sistem perbankan pun ada. Namun saya kira di bank tidak ada situasi kertas nombor bergumpal-gumpal sedemikian rupa, mengapa di pejabat Pos Tanjung Malim ada?


Memang salah orang yang membuang kertas tu merata-rata. Namun jika ianya tidak dibersihkan atau dibiarkan sebegitu. Maka mentaliti masyarakat akan mula berubah menjadi sikap 'tidak mengapa'. Tidak mengapa membuang sampah merata-rata, pengurusan tidak marah. Lagipun bukan dia seorang yang buang sampah, berpuluh-puluh orang buang kertas nombor giliran itu merata-rata tahu?


Bagi saya, adakah ia menjadi satu kesalahan jika diupah makcik cleaner untuk membersihkan kertas itu? kembalikan sahajalah keceriaan pejabat pos yang sedia kusam itu. Jika tidak diambil ambil makcik cleaner, pendatang asing tiada kerja tahu?


Itu baru satu hal, dek kerana ada sistem angka giliran, maka pelanggan tidak perlu beratur panjang. Yang tua pun boleh duduk berehat atas kerusi panjang yang disediakan. Yang muda apatah lagi. Namun yang menjadi titik pertikaiannya adalah kerusi panjang yang disediakan itu sangat-sangat tidak menepati piawaian sebuah pejabat kerajaan.


Bagi saya kerusi panjang itu bukanlah tempatnya di pejabat pos, kerusi itu sepatutnya berada di stor atau dibakar sahaja. Sudahnya uzur, skrunya entah kemana, bergoyang-goyang tidak stabil, menunggu masa untuk roboh sahaja. Saya kasihan apabila ada seorang pakcik tua yang menunggu lama duduk atas kerusi panjang itu. Hampir terlelap.


Tiba-tiba kerusi itu roboh ke lantai, maka jatuh terduduklah pakcik itu berkerut menahan kesakitan. Semua orang pandang, terkebil-kebil. Kemudian adalah pemuda dua orang bergegas memberi bantuan, memapah pakcik itu. seorang pergi angkat kerusi panjang yang roboh, cuba membetulkan apa yang patut. (bagi saya tidak perlu dibela kerusi itu).


Tatkala Laporan Audit 2009 sudah keluar dan banyak kemusykilan berlaku mengenai wang infrastruktur kerjaan. Saya kira, infrastuktrur sebegini perlu diambil kira. Bukannya apa, sebagai rakyat Marhaein, saya berharap sangat kerusi panjang di pejabat Pos Tanjong Malim bertukar warna. Apalah gunanya sistem angka giliran jika kerusi panjang tempat menunggu pun ibarat menunggu masa untuk rebah sahaja, walaupun ada satu yang sudah menyembah bumi.


Akhir kata, saya mohon maaf jika saya telah membuat mana-mana pihak tersinggung, walaupun singungan itu sememangnya disengajakan.





Pejabat Pos Tanjung Malim.


P/S: Bahasa Sendi Tamadun Bangsa, Budi Bahasa Budaya Kita. (terbudayakah?)


Rabu, Februari 09, 2011

Carutan yang boleh dimaafkan?

Assalamualaikum dan Salam sejahtera


Saya baru membelek-belek blog rakan-rakan saya, kebanyakan daripada mereka menceritakan situasi ataupun perkara yang hampir sama. Hampir setiap blog menceritakan perkara tersebut. Mungkin juga ianya sudah terbudaya? Mungkin juga telah menjadi kebiasaan? yang lebih parah, adakah ianya adalah lumrah?


Perkara itu adalah carutan, sumpah-menyumpah atau 'cursing' (dalam bahasa Inggeris). Banyak objek yang boleh digunakan untuk mencarut. Saya kira, tidak perlulah saya bagi contoh di sini. Kerana saya tahu anda semua boleh berfikir objek apakah yang sesuai digunakan untuk mencarut bukan?

Ini Musfirah Hasan 

Bagi saya carutan ini adalah perkataan kasar, tidak baik, dan seumpama dengannya. Boleh jadi ia terpacul daripada mulut seseorang sama ada secara sengaja ataupun tidak disengajakan. Saya tidak ingin menyentuh carutan yang disengajakan. Kerana saya fikir itu adalah perkara yang kita boleh menilai ketinggian moral dan sahsiah diri seorang manusia. Malahan dia sendiri (si pencarut tegar) juga boleh menilai sama ada dia perlu mencarut ataupun tidak sebenarnya. Maka sudah tentu saya ingin menyentuh carutan yang tidak disengajakan. Bagaimana tu? 


Begini, carutan yang tidak disengajakan ini lahir daripada tindak balas spontan iaitu latah. Selalunya apabila seseorang itu terkejut, orang akan melatah. Itu adalah tindakan spontan. Mereka akan menyebut perkataan atau meniru tingkah laku orang lain di sekelilingnya terus-menerus, berulang-ulang. Sekiranya orang yang menyakat itu semakin galak mengusik orang yang melatah, latahnya akan menjadi-jadi sehinggakan dia seperti di alam bawah sedar, hilang kawalan diri.


Parah bukan? namun aneh dan ganjil apabila masyarakat Melayu menganggap 'melatah' adalah sesuatu yang normal dan tidak perlu dihindari. Saya masih lagi mencari sebabnya, adakah ianya budaya tradisi? Maka ada sesuatu yang menarik apabila seseorang itu melatah. Pasti akan terkeluar perkataan yang memalukan, yang akan menyebabkan orang lain terdiam, tercengang-cengang. Mencarut, itulah juga dipilih untuk disebut dalam latah.


Maaf cakaplah ya, saya perhatikan selalunya sesetengah daripada mereka akan menyebut perkataan lucah untuk mencarut, contohnya alat genital manusia *setelah disunting*  tanpa segan silu. Bagi saya itu adalah carutan yang agak kasar dan tabu untuk diluahkan di persekitaran awam, lebih-lebih lagi di hadapan kanak-kanak. Risau juga bila mereka bertanya apa maksud  itu dan apa maksud ini? kenapa bunyi dia macam tu?. Dan yang lebih parah mereka akan meniru untuk menyebut perkataan itu.


Motif saya bercerita mengenai carutan? ya saya juga ada melatah.(ketawa). Tapi tidaklah seteruk mana, tidaklah sampai menari-nari dan berjoget sakan. Cukuplah sekadar saya menyebut beberapa perkataan sahaja.


Situasinya di kedai makan: saya ingin mengambil botol sos cili di atas meja. Kemudian sudu di tangan saya terlepas daripada genggaman, terpelanting dari meja ke lantai. Reaksi spontan, saya pun melatah:

Allahuakbar kabiro walhamdulillahi kasiroh! (benar istighfar/ takbir / tahmid ini tidak habis sebutannya).

Musfirah yang berada di depan saya terketawa melihat saya melatah sambil mata terbuntang dua tiga saat. Saya melatah tidaklah seperti terpekik melolong, tapi agak melucukan barangkali.

Saya pun berkata: why? At least Im not cursing right? = )


Saya melatah, tapi saya tidak mencarut. Ianya boleh dikawal sebenarnya, beristighfarlah bila ditimpa sesuatu kejadian, bila menjadi kebiasaan, tiada masalah, mungkin dapat pahala secara tidak sengaja, wallahuallam.



P/S: bagaimana carutan sebegini !@#$%^&* siapa yang dapat mentafsir ya? Siapalah yang tahu apa terbuku di hati bukan? Boleh dimaafkan tak? :)


Isnin, Februari 07, 2011

simpanan sahaja

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Saya terpilih untuk mewakili UPSI dalam pertandingan Debat Perdana Integriti 2011. Pertandingan ini akan diadakan di UUM. Antara yang terpilih bersama saya ialah Noraini Munawar, Hisyam Asim dan Noraini Ahmad. Sebagai pasukan, kami perlu mencatur posisi masing-masing untuk melihat siapa yang akan bertanding dan siapa yang akan menggalas posisi simpanan.


Saya dipilih untuk menjadi simpanan. Pada kebiasaannya mentaliti manusia, posisi simpanan tiada fungsi dalam pasukan, simpanan hanya goyang kaki ataupun simpanan adalah penempel. Sepanjang sejarah hidup saya yang bergelumang dalam dunia perdebatan. Termasuk Debat Perdana Integriti edisi 2011, ini adalah kali kedua saya menjadi simpanan dalam pasukan.


Yang pertama adalah Arau Open Public Speaking & Debating Championship dan yang kedua debat Perdana Integriti ini. Sepanjang saya memengang portfolio simpanan, saya cuba memberi fungsi yang terbaik ke dalam pasukan.


Bukan sekadar  memberi, mengedar kertas atau menjaga masa semata-mata, saya cuba menjana idea bagi pasukan. Keadaan ini memberi proses timbal balik. Maka simpanan itu pasti bukan kerusi kosong semata-mata.


ketika memengan posisi kedua dalam pasukan



Dalam proses kuarantin. Tempoh 30 minit itu merupakan tempoh yang mempunyai tahap tekanan yang tinggi. Hal ini demikian kerana jika kita tidak ada persediaan yang rapi, maka 30 minit tersebut dirasakan tidak cukup. Maka tugas simpanan adalah untuk mengatur siapa yang membuat konsep, membuat hujah dan mencari fakta kes dengan cepat dan efektif. Dalam keadaan ini, minda yang cerdas dan bahasa tubuh sangat penting.


Saya bernasib baik kerana  mendapat pasukan yang memahami minda, tulisan dan gerak badan saya. Maka proses kuarantin saya harap tidak akan memberi kesan kepada emosi dan momentum kami kelak.



Ahad, Februari 06, 2011

Bahasa eeeewwwwwww



Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Sahabat saya Nuraini Munawar telah memberikan 'link' video ini kepada saya. Apabila melihatnya saya kira ianya sangat bermesej walaupun agak bersahaja dan santai. Topiknya mudah iaitu bahasa eewwww. Sebelum itu dia telah memperkenalkan pelbagai laras bahasa seperti Bahasa Rempit dan Bahasa Comel yang wujud dalam persekitaran kita.


Oh ya, figura yang terdapat dalam video di atas adalah Anwar Hadi bin Azman, lahir pada tahun1990, berasal dari Alor Star, kedah dan sedang menuntut di IPGM Pulau Pinang, bakal menjadi guru Bahasa Inggeris. Pada 10 Februari ini bakal terbang ke Sydney, Australia bagi melanjutkan pelajaran di sebuah Universiti di sana.


Kembali kepada topik, mungkin beliau melihat pelbagai laras Bahasa Melayu telah dievolusikan dan dijadikan fenomena dalam aplikasi sistem pesanan ringkas, aplikasi 'chatting Yahoo Messeger' dan sebagainya. Contoh yang nyata dan jelas adalah Bahasa Eeeewwww.


Berdasarkan video, Anwar Hadi telah menyatakan bahawa bahasa eeewwww tidak mungkin digunakan untuk menjimat ruang dalam sistem pesanan ringkas (SMS) kerana bahasa ini telah mengalami beberapa proses pertambahan beberapa huruf. Contoh yang saya dapat ambil melalui pengalaman saya sendiri:


Nya = Nyeww

lah = larh

itu = too/ itew

Betul = BetooL

Kita = Kiteww


Bahasa Comel? Tidak sama sekali. Bagi Anwar Hadi, bahasa itu sebenarnya sukar untuk disebut. Cuba anda sebutkan perkataan di bawah dengan kuat:


Ah, mencik aq do cmni, ad mbr lmew tgu lmew glew x aprv2 gk aq.


melihat beliau menyebut perkataan itu pun seksa macam tercekik tulang bukan ? sangat tidak comel. Dan secara sinis Anwar Hadi mengeluarkan teori bahawa golongan sebegini mungkin kehilangan beberapa huruf di atas papan kekunci (key board) komputer ini. (Saya pun tersenyum sahaja apabila beliau menyatakan teori tersebut)


Di akhir video, beliau menegaskan bahawa pandangan dan kritikan mengenai Singkatan perkataan (short font) tidaklah dikisahkan sangat kerana beliau mengakui sendiri turut menggunakannya, (malahan saya pun menggunakan singkatan perkataan bagi menjimatkan ruang.) Namun apabila Bahasa eeewww timbul, baginya itu adalah perkara yang tidak sepatutnya berlaku kerana telah memalukan Bahasa Melayu.


Apa pun saya sangat suka pandangan Anwar Hadi kerana fenomena Bahasa Eeewwww terlalu berleluasa digunakan dalam kalangan remaja lebih-lebih lagi pelajar sekolah. Benar, sememangnya tugas cikgu Bahasa Melayu untuk memperbetulkan atau mengajar mereka dengan betul.


Namun apabila praktikaliti Untuk Bahasa Eeeeewwww ini digunakan secara konsisten melalui telefon bimbit dan Chatting, adakah ini tugas guru untuk memantau mereka 24 jam? saya katakan tidak. Semua bergantung kepada kesedaran kita untuk berbahasa dengan baik.


Anda suka Pandangan Anwar Hadi? kritikan membina dan analisis beliau? Ini facebook beliau. dan ini blog beliau. Silalah melawat sekali sekala, mencari idea dan berkongsi pandangan.