Sabtu, Februari 05, 2011

Siapa yang layak!

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.


Pernah terfikir tak pasangan kamu mungkin berada dekat sahaja, mungkin berada dalam kalangan keramaian pelajar-pelajar di fakulti kamu ketika berurusan dengan kerani, atau berada di pusat membeli belah ketika kamu membelek baju dan dia melintasi belakang kamu?, atau berada di belakang kamu tatkala sedang beratur di dalam pejabat pos. Mungkin juga berada dalam bas, dia duduk di hadapan, kamu Sedang berdiri di belakang. Tapi kamu dan dia saling tidak mengenali. (Sebelum jodoh datang menemukan kamu dan dia.)


Baik.. Kamu pernah dengar cerita Turn Left, Turn Right? Lakonan Mantap Takeshi Kaneshiro dan Gigi Leung? Dalam Filem ini, Leung berperanan sebagai translator majalah manakala Kaneshiro menjadi violinist.


Jika dilihat situasi, mereka tidak akan bertemu jodoh sampai bila-bila, Telah lama masa berlalu, sering kali di tepi jalan, tangga, mahupun beranda, mereka sering melintasi antara satu sama lain, seorang limpas ke kiri, seorang lagi limpas ke kanan, sering berselisih bahu..


Sama ada mereka menyedari wajah antara satu sama lain, (kerana sering bertemu secara tidak sengaja) dan buat-buat tidak tahu ataupun boleh jadi mereka tidak pernah menyedari langsung akan aturan jodoh kepada mereka.






Jumaat, Februari 04, 2011

salah guna

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera..

Saya perlu cepat, untuk mengeringkan baju. Semalam hujan, jadi baju tak kering. Di dobi kolej hanya ada dua mesin pengering sahaja. Satu sedang digunakan, dan satu lagi sudah digunakan, namun baju masih ada di dalam. Tuan? entah ke mana.


Mahu tidak mahu, saya periksa, dan keluarkan sahaja baju dia dari mesin untuk diisi dengan baju saya. Kan saya mahu cepat. Dan saya cuba meneliti, Oh ada baju celoreng Palapes.


Kalau difikirkan, dia boleh berfikir. Atas kapasiti menjadi pelajar cerdik yang memasuki IPTA. kalau difikirkan dia boleh membanding bezakan. Tapi...


Mesin pengering baju adalah untuk keringkan baju sahajalah! bukan untuk mengeringkan kasut, tahu? Sudah terang lagi bersuluh pesanan yang ditampalkan pada mesin menyatakan bahawa ianya hanya tujuan pengeringan pakaian.


Mesin itu sudah berbau hamis dengan bau kasut. bercampur aduk dengan baju dan baju dalam sekali, ianya hanya untuk wanita... sangat pengotor bukan? Wanita pula tu.


P/S: Mungkin dia seorang PALAPES yang tegar..




Khamis, Februari 03, 2011

Laras Bahasa Debat

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.


Saya teringat kenangan ketika saya mewakili Universiti dalam Pertandingan Debat Diraja edisi 2010. Kejohanan ini merupakan kali kedua saya mewakili UPSI untuk Pertandingan Debat Diraja. Waktu Pertama kali saya mewakili UPSI adalah kejohanan debat Diraja edisi 2009 di Universiti Malaya (UM), iaitu mewakili Pasukan Muda 1 UPSI. Untuk kejohanan kali ini saya mewakili Pasukan Utama 2 UPSI. Kejohanan Debat Diraja ini di adakan di Universiti Tun Hussien Onn (UTHM), Batu Pahat, Johor pada 17 Disember  yang lalu.



Faizal, Ihtifazudeen, saya dan Noraini



Pasukan Utama 2 UPSI diwakili oleh Faizal (perdana Menteri/Ketua Pembangkang), Ihtifazudeen (simpanan), Saya (Timb.Perdana Menteri/ Timb Ketua Pembangkang) dan Noraini (Menteri Pertahanan/menteri kedua pembangkang). Peristiwa menarik saya ingin coretkan mungkin tidaklah mempunyai unsur humor yang menggila. Tapi agak menggelikan hati juga.


1) Ketika bertemu pasukan UTeM

-Nak menangis saya tengok yang ketiga di seberang sana. (kata faizal kepada pembidas pihak lawan yang tersekat-sekat nafasnya macam nak menangis)

-Mereka bukanlah pendebat tapi lambakan, (kata Faizal ketika menggulung, lambakan apa? saya pun tidak tahu)


2) Ketika bertemu pasukan USM

- Tuan yang di Pertua Dewaa.. (kata menteri pertahanan USM, sepatutnya Tuan Yang di Pertuan Dewan)

3) Ketika bertemu pasukan UMT

- Disebabkan mereka terlalu tamak, maka kami tampil berlawan secara anak jantan dengan berbekalkan kertas kosong! walaupun ada sekuntum bunga di meja kami. (kata Faizal ketika bangkit selaku ketua Pembangkang)

- Respon kepada bidasan pihak pembangkang mengenai Industri Kecil besar Sederhana (IKS), katanya ada jualan daripada seorang pengusaha IKS kepada 5 orang Kampung, Tuan Yang di Pertuan Dewan, kalau setakat 5 orang, saya fikir Itu bukan jualan, itu sedekah! (kata Perdana Menteri UMT ketika menggulung).


4) Ketika bertemu Pasukan UMS

- Tuan yang Dipertuan Dewan saya kira usul pada hari ini berbunyi Keranamu ASEAN, Myanmar lebih bermakna, namun disepanjang penghujahan pihak kerajaan di seberang sana, mereka bercerita mengenai Kelebihan yang terdapat di Myanmar dan seterusnya memberi sumbangan kepada ASEAN. Maka saya kira mereka menjunjung usul Keranamu Myanmar, ASEAN lebih bermakna. Bukannya Usul asal seperti yang digagaskan oleh Perdana Menteri yang bulat orangnya diseberang sana. (bidas Aini.)


Begitulah sedikit sebanyak coretan yang saya ingat mengenai Pertandingan Debat Diraja 2010. Laras Bahasa Debat sangat tajam dan penuh retorik. Namun itulah seni perdebatan. :)


Oh ya, pasukan Muda UPSI berjaya ke peringkat separuh akhir, manakala pasukan utama menang 3 daripada 6 saringan.


di bilik guru perempuan

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.


Mengimbas masa saya kecil-kecil dahulu, rumah saya ini sudah beberapa kali bertukar pengasuh, dalam konteks bahasa Melayu adalah orang gaji ataupun 'Maid'. Sejak zaman kecil abang Long saya hingga adik saya yang bongsu, telah beberapa orang pengasuh telah bertukar ganti.


Semuanya sebab ayah dan ibu saya sibuk bekerja, demi tidak mahu menyusahkan nenek-nenek saya, maka diupahkan bertele-tele orang gaji menjaga makan minum kami, cebok berak kami, dan bertempik mengalahkan raksasa yang melawan gaban kalau kami tidak mendengar kata. Kadang kadang boleh pula mencubit kami kalau kami nakal sangat, (itupun jika bapa dan ibu saya tiada di rumah, kalau ada, pijak semut pun tak berani, santun sangat).


Sehinggalah ibu saya serik apabila orang gaji terakhir rumah saya lari, dia bertindak memburuk-burukkan ibu bapa saya depan seorang doktor dan menjadi orang gaji di rumah doktor itu. Kemudian dia kantoi mencuri. Doktor itu pula ibarat kena tipu hidup-hidup sehinggalah ibu bapa saya bersemuka dan sepakat mengecop orang gaji terakhir saya memang telah banyak buat onar di rumah kami.


Maka zaman orang gaji di rumah saya telah berakhir ketika adik bongsu saya menginjak kepada umur 1 tahun setengah. Ketika itu saya darjah 2, adik saya nombor 4 baru berumur 4 tahun. Tatkala itu, memang kelam kabut ibu saya dibuatnya. Solusinya dihantar ke nursery budak-budak. Saya? takkanlah masih mahu dihantar di sana, malulah! Adik-adik saya sahaja ditempatkan di nursery itu.


Tempatnya macam pusat asuhan kanak-kanak besar, dengan buaian gantung pelbagai, kawasan taman permainan di tepi, pagar khas bagi mengelakkan kanak-kanak keluar, ada tilam dan serba sedikit susu formula dan permainan yang dibekalkan oleh ibu masing-masing. Maka Ibu saya mengajar waktu petang ketika itu, budak-budak dihantar ke sana, saya mengikut ibu saya mengajar di sekolah.




Noraini Ahmad bakal guru/kaunselor yang tegar



Ketika di sekolah, saya ada juga mengikut ibu saya masuk kelas (saya tak pasti ini perbuatan wajar atau tak, tapi selagi ibu saya mampu mengawal saya dalam kelas itu, pentadbiran ok) Namun ibu saya kan cikgu disiplin, sudah tentu kelas itu senyap sunyi. Sangat bosan! jadi saya selalu lepak bermain di tepi-tepi kolam ikan, tepi taman bunga sekolah, di kantin dan kawasan padang sekolah.


Saya juga ada lepak di bilik guru sekolah, duduk di meja emak sayalah. Sangat meriah! sebab bilik cikgu perempuan asing, cikgu lelaki pun asing. Jadi mereka boleh berkumpul sesasama mereka bercerita. Bilik guru lelaki stail dia lain, bilik guru perempuan sudah tentu lain. Kadang kala saya curi dengar juga cerita-cerita cikgu perempuan. Cerita mengenai kerajinan pelajar ini, cerita tentang cikgu lelaki yang pemalas, cerita cikgu disiplin merotan pelajar akibat merokok, tapi dia sendiri merokok dalam bilik Disiplin tidak mengapa pula, cerita tentang cara-cara nak menyedapkan masakan, cerita mengenai fesyen terkini dan omokan direct selling.


Bila diingat balik, baru Saya terfikir mungkin mereka sudah berpuluh-puluh tahun berada di dunia pendidikan, semua statik. Mengajar perkara sama di kelas yang berlainan dalam tempoh seminggu bukanlah satu kerja yang menyeronokkan. Tertekan juga, mengajar benda sama. Bosan. Sebab itu mereka berborak perkara ringan-ringan. Hal Ehwal negara dan pendidikan ada, tapi jarang.


Cerita yang paling menarik sudah tentu cemuhan dan rasa tidak puas hati dengan murid ini, dan murid itu, ceritanya pasti akan melarat sampai kepada latar belakang keluarga. Cikgu perempuan ini, kalau sudah berkumpul, sangat dahsyat juga. Sehingga saat ini Saya pernah terfikir, mahu sahaja saya menjadi pensyarah bukannya cikgu. Mungkin jadi pensyarah agak tidak membosankan, bilik pun asing-asing, tidak pening kepala dan lebih relax serta dinamik.


Tapi teringat juga dalam cerita dalam bilik guru, bila cikgu ini menyatakan Si A ini anak kepada pensyarah, tapi tak pandai punnn.. nama sahaja anak pensyarah, tapi samseng! pemalas!


Isk.. susah.. susah...


P/S: Anak cikgu pun tak semestinya pandai. Kan? sebelum kata anak orang, tengok anak sendiri dulu.



Selasa, Februari 01, 2011

Wang Hantaran

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.


Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik."


Hari ini, 31 Januari 2011, abang saya melangsungkan pertunangan dengan gadis pilihan hati. Seperti tradisi masyarakat Melayu yang lain, majlis ini juga akan membincangkan tarikh majlis pernikahan yang bakal dilangsungkan, jumlah wang hantaran dan sebagainya. semuanya dibincangkan oleh wakil pihak lelaki dan pihak perempuan. Walaupun tidak diserikan dengan pantun dan pelbagai adat Melayu lama yang tipikal, majlis tetap berjalan dengan lancar.


Saya tertarik dengan isu wang hantaran. Ketika majlis pertunangan dilangsungkan, penetapan wang hantaran adalah bergantung kepada pihak lelaki. Pada kebiasaannya, saya sering melihat, jumlah wang hantaran akan ditetapkan oleh pihak perempuan, namun berlainan pula di Negeri Kelahiran saya iaitu Kelantan Darul Naim.


Jawapan mudah diberikan oleh wakil pihak perempuan:

"mengenai wang hantaran itu terserahlah, kami pun bukan nak memberi harga, nanti dikatakan lain pula."

teringat frasa ini dengan kisah perbualan pertunangan yang dilalui oleh rakan saya.

''Aku kesian dengan tunang aku, ayah aku minta duit hantaran RM 15 Ribu, Mas kahwin pula suku daripada duit hantaran, barang-barang hantaran semua mahal, serba satu pula tu."


Maka setiap kali saya terdengar wang hantaran yang mencecah puluhan ribu, pasti saya akan kata, ''itu bukan kahwinkan anak, itu jual anak namanya". Apa kerelevenan meminta wang hantaran melangit? Sebab kos untuk membuat kenduri perkahwinan mahal? Walhal makanan itu apabila melepasi tekak ia menjadi tiada beza pun, yang berkhasiat jadi tenaga, yang tak berguna dibuang ke tempat yang sepatutnya. Kad undangan dan 'goodie bag' serta bunga telur yang eksklusif dan menarik? berapa kerat sahaja yang menyimpan barang-barang itu dari majlis perkahwinan,  yang saya pasti, kebanyakannya menjadi sampah.


Pada pendapat saya, perempuan tak patut meletakkan beban wang hantaran 100% kepada lelaki. Meletakkan wang hantaran biarlah berpada-pada, itu hanya adat, bukan diwajibkan dalam agama. Kadangkala adat didahulukan berbanding syarak. Namun jika pihak lelaki itu berkemampuan maka ianya tidak ada masalah. Bagi yang tidak mampu? simpanan yang belum mencukupi? maka terpaksa mencari alternatif lain dengan membuat pinjaman peribadi, berhutang dengan Ah Long dan sebagainya. Bukankah ini menyebabkan risiko kepada pasangan tersebut?


Maka apabila pihak wakil perempuan berkata sedemikian rupa, yakni wang hantaran terpulang kepada pihak lelaki, ada kerelevenan beliau berkata begitu. Dalam landskap sosial masyarakat Melayu kini, ramai perempuan yang merasakan mereka patut mendapat wang hantaran tinggi. Kadang-kadang ada yang sampai berlawan sesama sendiri. Mahu menang siapa paling tinggi. Cuba lawan standard para artis. Tanpa berfikir panjang tentang baik buruknya.


Jika diberikan harga wang hantaran pun tidak salah sebenarnya, asalkan dipersetujui kedua-dua belah pihak. Namun bila difikirkan balik keluh kesah rakan saya mengenai wang hantaran yang diminta oleh ayahnya. Saya tersenyum sendiri.


Berikut terdapat beberapa gambar kenang-kenangan pertunangan abang saya.



tema pihak lelaki, hitam, perak dan putih.

selamat bertunang. Kek pertunangan

Tepak sireh yang menjadi tempat letak cincin

abang saya Muhammad Farhan dan Bakal Kakak Ipar saya, Siti Nur Haiza.





Isnin, Januari 31, 2011

Debat

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Setiap manusia normal mempunyai kebolehan yang sama, apa yang membezakan antara satu sama lain adalah bagaimana mereka mengasah kebolehan itu. Contohnya sukan memanah, jika diasah kemahiran dan dipelajari, mungkin kita boleh berjaya. Begitu juga dengan aktiviti-aktiviti lain seperti berenang, berbasikal, menari dan lain-lain.


Tidak ketinggalan juga dengan aktiviti debat, semua orang boleh berdebat sebenarnya, namun kemahiran itu perlu dilatih, dipelajari dan dipraktikkan. Ia juga bergantung dengan minat. Saya ini bukanlah seorang pendebat tegar, yakni yang bermula di peringkat akar umbi di sekolah lagi. Saya menyertai Kelab Debat Bahasa Melayu ketika semester 1 iaitu di Universiti Pendidikan Sultan Idris. Niat dihati hanya mahu mengenali seni orator.


Memori Pertandingan Debat Diraja 2009
Namun setelah mengikuti beberapa siri pertandingan Debat Intra dan Inter Universiti, saya mula terikat dengan latihan dan struktur perdebatan. Daripada kosong dan tidak tahu apa-apa, tergagap-gagap, terketar-ketar memegang teks perdebatan, mula belajar sedikit demi sedikit dalam aktiviti perdebatan. Saya tidak kata dan memberi jaminan bahawa dengan berdebat kita akan mahir bercakap, kadangkala apabila laras bahasa yang digunakan terlalu tinggi ianya akan menyebabkan masalah komunikasi antara kedua-dua belah pihak.


Contohnya, frasa kapasiti digunakan untuk mengantikan frasa kemampuan, kekhilafan major digunakan untuk mengantikan frasa kesalahan besar. Pelbagai bahasa yang muluk-muluk seperti landskap perdebatan, unjuran komparatif  yang digunakan bagi mengantikan unjuran perbandingan, justifikasi , analisis komparatif, unjuran positif & negatif, anjakan paradigma, dan pelbagai lagi frasa-frasa yang terdapat dalam laras bahasa perdebatan.


Kadang kala saya sering tersasul menggunakan diksi tersebut dalam pertuturan seharian, keadaan ini akan menyebabkan suasana janggal dalam perbualan seharian. Walau bagaimanapun, aktiviti perdebatan ini bukan sahaja menyebabkan kita menjadi yakin dalam pergaulan mobiliti sosial semata-mata, tapi menyebabkan pemikiran kita lebih menjadi analitikal.


Tanpa perdebatan, mungkin saya tidak tahu apa itu Perjanjian Oslo 1 dan 2, menelusuri sejarah Sidang Damai Annapolis, Meneliti kandungan Protokol Kyoto dan struktur PBB, mungkin juga saya sering diulit dengan khabar-khabar daripada media arus perdana sahaja tanpa mengambil kira pandangan daripada media alternatif. Semuanya disebabkan manipulasi bahasa dalam aktiviti debat. :)



Ahad, Januari 30, 2011

Masuk atau Minggu Suai Kenal? (MSK)

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dalam laman sesawang Facebook ada aplikasi chatting. Pada kebiasaannya, pengguna akan menggunakan singkatan perkataan dalam aplikasi ini bagi menjimatkan ruang. Maka terpulang kepada otak untuk mentafsir sama ada perkataan itu sampai maksudnya ataupun tidak.

Oh ya, saya teringat kisah ini, ketika itu adalah cuti hujung semester 2010. Saya tidak pulang ke kampung disebabkan saya terikat dengan komitmen pertandingan Debat Diraja edisi 2010. Maka saya hanya tinggal di Kolej Kediaman.


Pada hari itu, iaitu sehari sebelum bermulanya minggu suai kenal (MSK) bagi pelajar ambilan Disember UPSI 20011. Konotasinya dengan chatting? ini dia.

Imran: Salam

Saya: Salam

Imran: PT Dah MSK?

Saya: Esk baru start MSK (saya tidak tahu apa maksud PT sebenarnya, mungkin PT itu adalah 'Patut' atau nama orang)

Imran: PTPTN msk esk? 'confirm' ke?

Saya: adoi, MASUK rupanya, aku ingatkan MSK itu MINGGU SUAI KENAL. Aku tak tahulah PTPTN masuk bila. (ketawa).

Imran: Hahahaha Tak dengar-dengar khabar berita ke masuk bile??

Kemudian borak-borak bertanya khabar mengenai keputusan peperiksaan.


Lihat, MSK bagi Imran adalah masuk, iaitu mahu kepastian wang PTPTN sudah dimasukkan ke dalam akaun atau belum, manakala bagi saya pula mentafsirkan MSK itu adalah Minggu Suai Kenal, sesuai dengan mood ketika itu iaitu program MSK UPSI bagi ambilan Disember sedang berlangsung.


P/S: Terpulang kepada otak untuk mentafsir betul ataupun tak.