Jumaat, Januari 28, 2011

Petikan terbaik.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera, 

Tatkala saya menerokai laman maya, saya terjumpa sesuatu yang menarik untuk dikongsi. Saya sedar bahawa saya masih tertakluk kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU 1971), namun saya bukanlah mahu bersikap kepartian, berpolitik dan sebagainya.


Cuma saya tertarik dengan frasa-frasa yang dicedok daripada laman sesawang tersebut. Isinya mudah, ia bercerita mengenai frasa-frasa Bahasa Melayu yang mungkin disalah guna oleh seorang pemimpin bukan Melayu. Mungkin kesalahan ini boleh dimaafkan disebabkan beliau tidak sengaja. Mungkin juga boleh dimaafkan kerana kesalahan ini sengaja diperbesarkan sehinggakan menjadi satu elemen dakyah politik seperti artikel pendek di bawah.


Klik gambar untuk tumbesaran yang lebih baik.


Saya fikir artikel seperti di atas boleh juga menjadi sindiran sinis tapi tipikal untuk seseorang pemimpin. Maka kita hendaklah berbahasa dengan elok. Bahasa Melayu bahasa Kebangsaan, perkara yang boleh dipelajari bukan?



Selasa, Januari 25, 2011

Bingung

Assalamualaikum dan salam sejahtera,  

Saya mempunyai beberapa orang rakan serumah di Kolej Harun Aminurashid ini, ada tujuh orang kesemuanya. Disebabkan saya dan rakan sebilik berada di semester 6 manakala rakan serumah yang lain berada dalam semester 2 dan 4, maka mereka memanggil kami sebagai 'Abang'. Walau bagaimanapun, saya bukan mahu bercerita mengenai kata ganti nama, sebaliknya bahasa badan dan hubungan mata (eye contact). Situasinya adalah begini: sebaik sahaja kelas tamat, saya pulang ke kolej kediaman. Sewaktu mahu membuka pintu bilik, ada seorang rakan serumah sedang memegang telefon bimbit di telinga. Seolah-olah dia sedang berborak dengan seseorang, kemudian terpacul ayat ini daripada mulut dia: Abang baru balik kelas ke?


Saya tengok muka dia, gayanya sedang bercakap dalam talian telefon bimbit, namun matanya sedang melihat saya. Saya bingung seketika, sama ada dia sedang bertanya kepada saya ataupun berbual dengan seseorang dalam telefon bimbit. Dalam situasi ini, bahasa tubuh berlaku melalui 'eye contact'. Jadi saya mengambil jalan selamat iaitu saya senyum dan berkata ya baru balik. Walaupun masih teragak-agak untuk menjawab soalan tersebut.


Kemudian saya terus masuk bilik dalam keadaan kebingungan, dia juga kelihatan bingung. Mungkin soalan itu memang ditujukan kepada seseorang yang dia hubungi melalui telefon bimbit dan bukannya ditujukan kepada saya.


Meskipun begitu, saya terfikir kadang kala bahasa badan seperti 'eye contact' memainkan peranan besar dalam komunikasi, apabila kita mahu bercakap atau berbual dengan seseorang memang kita akan memandang matanya (secara sedar ataupun tidak) bagi menunjukkan kita memberi perhatian ketika bercakap. Namun dalam situasi ini, keadaan tersebut tidak berlaku seperti yang sepatutnya.