Sabtu, Januari 22, 2011

Amaran!

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Hari Sabtu pada kebiasaannya ada Pasar Malam di Pekan Tanjung Malim. Disebabkan kereta saya rosak, maka saya ke sana dengan menaiki bas. Pasar Malam Di Tanjung Malim agak meriah dengan pelajar UPSI. Tidak perlulah saya bercerita dengan berjela-jela tentang apa yang ada di pasar malam itu. Sebab saya yakin dan percaya anda semua pernah ke pasar malam dan tahu apa yang dijual di pasar malam tersebut.


Penceritaan saya berkisar tentang situasi saya pulang dari pasar malam ke kolej kediaman. Bas yang saya naiki adalah bas Suasana Edaran dimana ia terikat secara kontrak dengan UPSI. Maka bas ini juga dikenali sebagai Bas Kitaran UPSI. Pada waktu pulang, bas ini berhenti di kawasan menunggu yang terpilih. Maka kami berpusu-pusu beratur untuk menaiki bas. Pelajar-pelajar UPSI ini, pada kebiasaannya akan membeli barang keperluan dan makanan.


Tiba-tiba pemandu bas meluru ke arah pintu bas dan menyatakan begini " kalau nak naik bas ini, minuman kena habiskan dulu di luar, lepas tu baru masuk!", pemandu itu berkata kepada pelajar-pelajar yang memegang minuman dalam gelas plastik. Maka terkocoh-kocohlah pelajar menyedut air minuman sampai habis dan dibuang ke dalam tong sampah. Saya fikir mungkin pemandu bas itu tidak mahu minuman yang dibawa oleh para pelajar itu tertumpah dalam bas. Maka Amaran sebegini pun ada ya? Larangan membawa air minuman ke dalam bas : )




Jumaat, Januari 21, 2011

Sekali Disergah.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera


Pepatah ada menyebut: Melentur Buluh biarlah dari Rebungnya. Kalau sudah jadi buluh nak buat apa? jadi buluh lemanglah jawabnya.


Saya baru pulang dari Solat Jumaat. Kebiasaaan saya akan menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Tanjung Malim, Perak. Perkara yang menarik perhatian, masjid ini terletak berhampiran dengan Sekolah rendah. Maka saya kira Pelajar-pelajar sekolah akan berduyun-duyun ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat. Ini adalah perkembangan positif. Amalan dipupuk dari kecil akan memberi hasil insaniah yang baik.


Kemudian, selesai menunaikan solat sunat masjid, saya mengambil tempat di suatu sudut yang berhampiran kipas besar. Permasalahan mula timbul apabila tempat yang saya pilih untuk duduk itu adalah kawasan budak-budak sekolah duduk. Maka anda faham sendiri bukan? bahawa mereka ini jika berkumpul, bunyi hingar bingar seperti lebah membuat sarang akan bertalu-talu bersahutan dari hujung saf kiri sampai hujung saf kanan. Sangat bising. Saya kira perkembangan positif akan merencat jika tidak dipupuk atau diberi panduan dengan baik dalam tertib datang ke Masjid.


Sehinggalah selesai azan Zohor, Seorang imam tua (kalau saya tidak silap) menegur budak-budak ini agar jangan bising. Cara Imam Tua ini betul, tidak menegur dengan jerkahan atau herdikan kata-kata kurang sopan. Beliau menyelitkan hadith: Rasullah pernah bersabda, Barang siapa yang bercakap ketika khutbah Jumaat, maka akan ditolak pahala 40 tahun. Meskipun ditegur dengan berhemah, tetap tegas dan lantang. Kalau tak, masakan semua orang berpaling kepada beliau yang sedang berdiri ketika itu.


Suasana bising bertukar menjadi senyap. Semua pelajar akur dan membatukan diri. Namun masjid ini mengalami masalah teknikal. Sistem audionya tidak berfungsi menyebabkan khutbah yang ingin disampaikan oleh Khatib menjadi perlahan sekali. Sangat perlahan sampai saya sendiri hilang tumpuan. Tertanya-tanya apa isi yang ingin disampaikan oleh khatib. Maka Budak-budak ini pun bising kembali. Saya fikir, budak-budak ini sekali disergah dengan elok memang terkesima, namun akan berulang balik perangai mereka. Bahasa apa yang lebih sesuai digunakan agaknya ya?




Khamis, Januari 20, 2011

Jualan Murah sekadar Retorik

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Baju adalah pakaian bagi manusia yakni memenuhi keperluan asas, baju juga adalah alat untuk memenuhi kehendak bagi wanita. Baju di pasar raya juga memberi hak kepada mereka untuk berilusi. Ilusi bahawa membeli belah adalah terapi yang baik. Permasalahannya adakah ianya terapi yang berkesan?


sekadar analogi

Saya mempunyai seorang kawan. Dia merupakan rakan senior saya di Universiti pendidikan Sultan Idris ini. Namanya Nadia Fitriyana, berusia setahun lebih tua daripada saya. Sangat suka membeli belah. Pernah sewaktu berada di Pusat beli belah, kumpulan kami berpecah kerana dia mahu berbelanja membeli-belah manakala kami mahu bermain bowling. 

Nadia Fitriyana bahagia di BP MALL
Dan disebabkan dia akan berpraktikum di sebuah sekolah di Melaka, maka dia telah menyewa sebuah rumah yang berhampiran dengan pusat membeli belah. Betapa dia gembira apabila rumah itu berdekatan dengan Melaka Sentral, depannya ada Mydin 24 jam. Di sebelah Tesco ada Jusco, pemandangan yang indah bagi wanita. Biasalah, dimana ada pusat beli-belah, disitulah ada jualan murah. Nadia sangat-sangat suka apabila ada jualan murah diadakan. Permasalahannya taktik jualan murah ini perlu diambil kira.


Saya perhatikan, semakin dekat musim perayaan, semakin rancak jualan murah diadakan. Pasaraya-pasaraya bersaing mengadakan jualan murah. Bayangkan dengan diskaun 80%, seronok sungguh bunyinya. Kalau harga asal barang itu RM 100, kita cuma membayar RM 20. Siapa yang tidak terliur?

Tapi timbul persoalan, adakah benar harga diskaun menjangkau 80%?

Bagi saya promosi ini adalah retorik bahasa semata-mata. Pelbagai taktik boleh ditunjukkan. Taktik pertama, harga diskaun sebenar adalah harga asal. Ini adalah eksploitasi harga. Kononya berjimat 80%, padahal harga sebenar memang harga tersebut.


Taktik kedua, taktik ekploitasi masa. Seringkali diguna oleh usahawan internet untuk 'mendesak' pembeli membuat keputusan segera bagi membeli produk mereka. Kuncinya tawaran terhad sebelum kehabisan. Maka sila membeli barangan ini sebelum kehabisan stok. Padahal, stok barangan masih berlambak dalam simpanan mereka.


Taktik ketiga, taktik ekploitasi kehendak. Semua orang mahu memiliki barangan berjenama yang mahal-mahal tapi dengan harga yang lebih murah. Maka strategi pasaraya akan memaparkan barang berjenama di ruang hadapan pasaraya / kedai. Tanda harga akan ditulis besar-besar diskaun 80%. Keadaan ini akan menarik perhatian pengunjung untuk menyinggah dan menyebabkan mereka terperangkap apabila hanya sesetengah barangan sahaja yang diberi potongan harga, manakala yang lain adalah harga asal. Maka mahu atau tidak, mereka akan terdorong untuk membeli barangan lain yang tidak perlu di dalam pasar raya terebut.


Apa yang ada dalam kepala pihak pengurusan pasaraya hanya untuk membuat untung juta-juta. Maka akan diciptakan pelbagai taktik jualan murah yang paling ketara semata-mata untuk memenangi persaingan dan seterusnya mengaut keuntungan berjuta-juta.


Sebagai pengguna, kita seharusnya bijak berbelanja. Kuncinya- berbelanja bila perlu bukan semata-mata terpengaruh dengan jualan murah yang sememangnya retorik bahasa.



Isnin, Januari 17, 2011

Partikel Kah?

Assalamulaikum dan Salam Sejahtera.


Pertanyaan, seringkali melibatkan penambahanan simbol '?'di ayat penyata. 


Saya juga seringkali bertanya kepada rakan-rakan, pensyarah dan sebagainya jika ada persoalan bermain di fikiran saya. Namun setiap pertanyaan saya majoritinya  terdapat penggunaan partikel 'kah' dan penciptaan ayat tanya songsang.

Contohnya mudah: Awak sudah makankah?, awak berada dimanakah? Buah itu sudah masakkah?

Seringkali partikel 'kah' digunakan pada ayat penyata bagi mencipta pertanyaan.

Sedar ataupun tidak keadaan ini adalah kebiasaan dek kerana penggunaan ayat itu dalam kehidupan seharian kita:

Penggunaan bahasa Pasar juga akan menyebabkan ianya menjadi kebiasaaan. Kebiasaan percakapan sehari-hari ini menyebabkan berlakunya pelbagai kesalahan bahasa tanpa saya sedari.

Contoh kebiasaan percakapan seharian:

1) Tetamu itu sudah tiba ke?
2) Buah itu sudah masak ke?
3) Mereka hendak menolong kita ke?

Yang menyebabkan kesalahan begini berlaku:

1) Tetamu itu sudah tibakah?
2) Buah itu sudah masakkah?
3) Mereka hendak menolong kitakah?

Maka ayat tanya menggunakan partikel kah yang sebetulnya adalah begini.

1) Sudah tibakah tetamu?
2) Sudah masakkah buah itu?
3) Hendak menolong kitakah mereka?


Benar dalam setiap pertanyaan atau percakapan seharian, penggunaan partikel 'kah' tidak dititik-beratkan sangat, namun keadaan ini telah menjadi kebiasaan saya lebih-lebih lagi dalam penulisan. Maka Saya perlu lebih berhati-hati dimasa hadapan.





Bacaan

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Jadikan dirimu bagai pohon yang rendang di mana insan dapat berteduh. Jangan seperti pohon kering tempat pungguk melepas rindu dan hanya layak dibuat kayu api.


-Mutiara kata.


Kenangan Pertandingan Debat Diraja. Pilih, antara lepak atau membaca.
Aktiviti membaca ini bukanlah satu perkara yang enteng, ianya memerlukan kesabaran dan penelitian fokus yang tinggi. Semester enam kali ini amat mencabar minda dan menguji kesabaran saya. Dek kerana saya mengambil kursus major kesusasteraan Melayu, maka tugasan semester enam kali ini menuntut saya bergelumang dengan Novel-novel Melayu. Saya perlu menganalisis Novel Melayu, menulis novel atau cerpen dan mencipta sajak. 

Maka saya ke perpustakaan untuk mencari buku. Saya lihat apa yang ada di perpustakaan adalah novel-novel Melayu yang saya kira cukup menarik jugalah untuk dikaji dan dibaca. Namun saya masih terkilan kerana tidak menjumpai novel yang saya mahu. Novel itu berjudul Tivi karya  Sasterawan Negara, Shahnon Ahmad. Apa pun Saya tidak pulang dengan tangan kosong, saya terjumpa Novel sesuai yang boleh dijadikan bahan tugasan untuk Subjek Modal Insan iaitu Renyah, karya Gunawan Mahmood.

Sekarang saya masih dalam mood membaca novel, maka analisis bahasa novel ini saya kira agak menarik untuk diketengahkan. Saya fikir penceritaan saya mengenai pemikiran penulis dan hala tuju novel ini akan meleret-leret panjang untuk ke beberapa episod seterusnya. Nantikan!




Ahad, Januari 16, 2011

Rampas balik Piala yang berhabuk dalam almari Kolej Lain?

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.


Berusahalah, jangan berpuas hati sehinga yang baik menjadi lebih baik dan yang lebih baik menjadi paling baik.
                                                                                       -Larry Bielat.

Pertandingan Debat Piala Pengetua Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) telah dilangsungkan dengan jayanya. Pertandingan ini diadakan pada 13 hingga 15 Januari 2011 sempena Pesta Insaniah Bestari (KARIB) yang dianjurkan oleh KHAR. Sebagai pendebat UPSI, saya turut melibatkan diri dalam pertandingan ini dengan menjadi hakim Saringan. (atas kapasiti saya adalah pendebat senior).

Pada pertandingan akhir Debat Piala Pengetua KHAR ini telah menemukan pasukan debat KHAR dan Pasukan Debat Kolej Aminudin Baki (KAB). Dengan Usul Pembangunan Modal Insan: Realiti bukan Fantasi, maka Pasukan Debat KAB memenangi pertandingan dengan margin tipis 1, juri 3:2.

Setelah memenangi pertandingan tersebut, saya kira ada semangat tinggi buat pasukan debat KAB untuk mengungguli pula Pertandingan Debat Piala Pengetua Kolej Aminudin Baki yang bakal dilaksanakan pada bulan Februari nanti. Ini adalah perkembangan positif bagi mencari pelapis pendebat UPSI yang bersemangat tinggi. 

Untuk pengetahuan anda, pada tahun lepas, Pertandingan Debat Piala Pengetua KAB telah dimenangi oleh pasukan debat KHAR dan disimpan dalam almari piala di hadapan pejabat Kolej. Jadi pihak KAB bertekad untuk memenangi debat Piala Pengetua KAB nanti.

Tidak percaya? lihat kenyataan melalui laman sesawang Facebook ini. Perbualan antara pendebat wakit Kolej Aminudin Baki.


gambar masih kecil? sila klik pada gambar untuk tumbesaran yang lebih baik.


Bagi saya, mempunyai semangat atau motivasi untuk mencapai sesuatu perkara yang lebih baik adalah tidak salah. Itu biasalah apabila kita gigih mahu mempertahankan atau memperjuangkan sesuatu. Sekurang-kurangnya mereka bermotivasi tinggi dan mempunyai matlamat. Saya juga menyokong kenyaataan mereka yang bersemangat. Ini adalah persaingan sihat.

Namun kadangkala kesantunan berbahasa juga perlu dijaga. Mungkin apa yang ingin disampaikan oleh wakil KAB adalah piala yang dah berhabuk itu menjustifikasikan ianya telalu lama berada di Kolej Harun Aminurashid. Ataupun boleh jadi, piala yang dah berhabuk itu disebabkan pihak KHAR tidak menjaga piala itu, cukup sekadar replika yang diselaputi sesawang dan habuk semata-mata? Siapa tahu mentafsir? Siapa yang memahami dengan jelas apa yang ingin disampaikan? Maka kesantunan berbahasa mencerminkan pemikiran kita bukan? :)


P/S: saya tidak mengintip, saya dijemput oleh Tuan punya badan untuk membaca status facebook beliau tersebut.