Ahad, Ogos 10, 2014

Beranganlah sebab ianya percuma


Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera.


Menemani rakan mencari perabot di sebuah kedai, membuatkan saya pun mula berkira-kira. Sekarang sudah disahkan jawatan, pinjaman kerajaan dah boleh dibuat. Maka? rumah dah boleh dicari.


Kalau dah ada rumah nanti, nak rekaan yang macam mana? Tradisional? Minimalis? Moden kontemporari? Kalau dah pilih konsep hiasan dalaman, perlu pilih perabot yang bersesuaian. Nak yang 'ready made' atau 'custom made'? kalau 'custom made' mahal sedikit, tapi hati puas sebab menepati citarasa dan ukuran ruang. 


Tika itu, otak dah mula berkira-kira, kalau menabung sebanyak ini, dalam masa beberapa tahun dah boleh beli rak televisyen yang berharga RM 3900.00. Saya memang berkenan sebab rekaan dia cantik, kalau di Kuala Lumpur mahunya RM 8000.00 untuk rekaan sebegitu.

Kalau menyimpan sebanyak ini pula dah boleh beli sofa dan set meja makan untuk diletak di ruang tertentu. Kemudian, belek katalog, ada set bilik tidur, yang ni kos RM 6000.00. Kalau tambah dua almari, kena tambah kos sebanyak RM 1200.00 dan dapat cermin percuma.


Mencongak harga, kalau ikutkan hati mahu puluhan ribu Ringgit Malaysia habis untuk keperluan perabot sahaja. Minda saya terfikir, kalau macam ni, bermula dari sekaranglah saya perlu menabung setakat mana yang mampu. Berhutang  ribuan ringgit itu seharusnya pasti jika saya membuat pinjaman kerajaan, cuma perlu meminimunkan kos sahaja melalui tabungan khas ni.


Semua ini terhasil daripada aktiviti berangan saya sewaktu meninjau kedai perabot. Berangan ini aktiviti percuma, tak perlu bayar. Dalam bahasa Indonesia, percuma ini maksudnya sia-sia. Ya berangan ini adalah aktiviti sia-sia jika tidak sulami usaha mencapai apa yang kita idamkan melalui angan-angan itu.

Setelah berangan ini, kena ada usahalah ya? Moga-moga urusan saya, anda, kita semua dipermudahkan oleh-Nya.