Ahad, Mac 30, 2014

Belajar dari Alam.


Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera..

Peristiwa ini berlaku ketika saya sedang mengalas perut di sebuah kiosk yang terletak di Ahmad Ibrahim Kuliyyah of Laws (UIAM), ada program pidato di sana. Sambil-sambil itu saya menikmati pemandangan sekeliling. Redup, dan nyaman pagi memang mengundang rasa ketenangan. Roti dan Chicken rolls saya kunyah sambil mata melihat sekumpulan besar Merpati datang mendekati, mencari makanan barangkali.


Saya cubit sedikit roti, terus dibaling ke arah sekawan burung tersebut, seekor menyambar dan memakan roti tersebut. Seronok melihat burung yang mendapat rezeki, saya cubit lagi roti dan baling, jatuh ke tanah, seekor datang menyambar, yang lain mula terbang ke arah cebisan roti tersebut. Kali ini mula berwaspada, manalah tahu- jika ada lagi roti yang jatuh ke tanah.


Saya baling lagi roti, dan seekor mula menyambar- namun kali ini roti itu jatuh dari paruhnya. Seekor lagi Merpati mengambil peluang menyambar roti yang jatuh itu dan memakannya. Saya semakin tertarik melihat persaingan alam tersebut. Kali ini cebisan akhir roti dicubit dan dibaling ke atas tanah. Akhirnya seperti tadi, merpati mula berebut-rebut, berlumba-lumba mendapatkan cebisan itu.


Seekor merpati jantan mendapat cebisan roti namun cebisan itu jatuh ke tanah, dan akhirnya seekor merpati muda merampas roti itu. Merpati Jantan berasa tidak puas hati barangkali, mematuk-matuk kepala merpati muda dan roti itu jatuh dari paruhnya. Akhirnya, Burung Tukang yang kecil  dari tadi liar memerhati datang menyambar roti itu dan terbang setinggi mungkin. Jauh dari kawanan merpati yang kebingungan mematuk tanah mencari-cari roti tersebut.


Saya memerhati kejadian alam itu sambil tersenyum dan merumuskan bahawa tidak ada gunanya kita bergaduh sesama sendiri berebut sesuatu sehingga ada orang lain mengambil kesempatan atas pergaduhan tersebut. Sebabnya pada akhirnya diri sendiri yang rugi dan orang lain yang untung.

kan?


P/S: Jong Pecah, Yu Kekenyangan.