Khamis, Mac 13, 2014

Adilkah?


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dalam keadaan terik matahari menandakan waktu makan tengahari, saya memandu keluar dari perkarangan Universiti. Terik, sungguh terik, berpeluh dahi membasahi pipi hingga ke dagu. Tali leher saya rungkai, membenarkan udara kering masuk ke rongga kemeja.


Lampu isyarat bertukar merah, dan saya berhenti. Sambil menunggu warna merah bertukar hijau, saya memandang sekeliling. Mata terpaku, sambil membetulkan cermin mata hitam, saya memandang beberapa orang pekerja buruh binaan gigih membanting tulang membaiki jalan di sebelah kanan kiri kereta saya.


Jika saya berada di dalam kereta yang berhawa dingin ini jelas terasa panasnya, apatah lagi mereka. Bahang membakar. Saya terkedu... Adilkah?


Dengan kerja berat sebegini, mengangkat batu-bata, menyorong simen segala, kekar tangan kesakitan menahan jisim batu-batan, perit mentari membakar kulit, tapi gaji yang diberi tidak seberapa.


Adilkah? jika dibanding dengan diri saya, bekerja di dalam pejabat yang selesa, ada pendingin hawa yang nyaman tidak terkira, disediakan meja besar serba lengkap alatannya, dan kerusi empuk cantik tersedia. Hanya perlu menggunakan otak untuk menaakul dan menganalisis sesuatu perkara. Sekadar mencari masa bagi melontarkan idea dan gaji yang diberi pula berkali-kali ganda daripada mereka.

Secara logiknya adilkah?

Kemudian saya teringat ayat ini...

"Jika kamu tak tahan lelahnya belajar, maka kamu akan menanggung betapa peritnya kebodohan''. 

Petikan ini merupakan kata-kata mutiara daripada Imam Syafie. 

Benarlah, ketinggian ilmu menjanjikan hasil yang manis di kemudian hari. Lelahnya belajar menuntut ilmu sememangnya memerlukan ketahanan mental dan fizikal. Agar kejayaan yang dikecapi  memberi keselesaan hidup di kemudian hari. 


Berbanding, kebodohan kita memilih jalan hidup yang singkat, mengabaikan pelajaran, menuntut keseronokan alam remaja sehingga hanyut terleka. Amanah ibu bapa tidak diambil kira, nasihat guru hanya bebelan percuma, dan akhirnya- badan perit menderita menanggung beban kerja mencari sesuap nasi apabila diri sudah menjejak dewasa.


Wallahi...bukanlah niat saya mahu melabel bahawa pekerja buruh binaan itu adalah mereka yang golongan sebegitu, cuma petikan itu sekadar analoginya untuk keadilan itu- jika difikir secara logik, memang tidak adil untuk bebanan kerja sebegitu dibayar gaji sekian-sekian.


Namun, jika kita berpenat lelah menuntut ilmu, sudah tentu nasib kita akan mejadi lebih baik, jika tidak? nasib kita akan berakhir dengan keperitan sebegitu.

Kerana apa?

Nilai ilmu itu yang membezakan hierarki kehidupan. Semakin berilmu seseorang manusia, maka dirinya akan dipandang tinggi. Nilai sentimental yang telah ditanam semenjak kecil. Cuma itulah, selagi tidak merasainya sendiri, selagi itu kita tak reti bahasa. kan?





Rabu, Mac 12, 2014

Saya Cikgu

Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera..

Situasi 1:

"Salam Dr. bila saya boleh jumpa Dr.. Nak bincang pasal assingments."

Situasi 2:

"Encik Fawiz, encik ada di office? nak jumpa kejap"

Situasi 3:

"Salam Tuan, mohon hantar emel kepada jabatan ini dengan segera untuk penyelarasan"

Situasi 4:

Lepas kuliah, sesi bersalaman. kemudian pelajar saya berkata kepada saya "Terima Kasih Prof."


Macam-macam panggilan yang diberi. Dr, Encik, Tuan, Prof. Saya pula cuma tersenyum kelat. Kalau bab dipanggil Tuan. atau Dr. apatah lagi, Prof. (lagi kelat senyum saya- Segan campur keliru- nampak tua sangatkah saya ini?). Apapun saya selesa dipanggil sebagai CIKGU sebenarnya. Walaupun mengajar di IPTA, namun title guru bahasa itu menyebabkan saya terfikir, apa salahnya dipanggil sebagai cikgu. Gelaran itu tetap melekat di hati.


CIKGU :

Celik
Insan
Kerana
Guru
Unggul


Apatah lagi ibu dan abah saya merupakan seorang cikgu. Suasana sekolah sudah sebati dalam diri sejak dari kecil lagi. Dari kecil saya nampak kelebihan-kelebihan menjadi guru. Dari aspek nampak banyak cuti je.. macam senang je nak buat loan bank. Macam best je kerja ni, kalau lalu di kawasan sekolah atau luar sekolah, pelajar suka menyapa, hormat dan mesra. 


Bila makin dewasa, makin luas pemikiran. Pekerjaan ini tidak menjanjikan cuti yang banyak semata-mata, material yang melimpah, atau dihormati masyarakat. Namun pekerjaan ini memang pekerjaan mulia.


Benar mana-mana kerja juga mulia dan mempunyai kebaikan yang tersendiri. Begitu jugalah dengan profesion pendidik ini. Profesion ini merupakan satu kerja yang mulia seandainya nawaitu kita untuk mendidik itu ikhlas. Seikhlas yang bagaimana? saya sendiri pun tak pasti. Yang penting, rasa itu hanya kita sahaja dapat rasai. 


Teringat juga kata-kata ibu saya, kenapa dia mahu jadi cikgu? Dia cakap- jadi cikgu ini salah satunya kita dapat mengumpul saham akhirat dengan cara paling senang sekali- selagi ilmu yang diajar itu diaplikasikan oleh pelajar. (Insya Allah). Betul juga, jadi cikgu tak akan kaya. Tapi kita kaya anak murid. kaya dengan doa mereka.


Maka? Iltizam untuk mendidik kian jelas.


Saya cikgu. Sampai Bila-bila :)




P/S: Dalam hati saya aminkan sahaja panggilan Dr. dan Prof. ini moga-moga termakbul suatu hari nanti.



Selasa, Mac 11, 2014

Teruskan berdoa untuk MH370

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Saban hari berita mengenai kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) terus diperkatakan. Frasa MH370 menjadi sebutan seantero dunia. Mata dunia terfokus kembali ke sebuah negara kecil, Malaysia. Semua seakan-akan bingung. Bagaimana mungkin sebuah pesawat yang membawa 239 nyawa itu boleh hilang dari radar secara tiba-tiba.


Pesawat yang dijangka tiba di Beijing pada pukul 6.30 pagi pada 8 Mac, tiba-tiba terputus talian komunikasi pada 1.30 pagi. Terus hilang dari radar pada 2.30 pagi.


Hilang tanpa dapat dikesan jejaknya sama ada di lautan, udara mahupun daratan. Tika ini pelbagai pemikiran atau persepsi mula timbul. Apa juga kemungkinan atau spekulasi yang boleh diberi? Adakah pesawat ini dirampas oleh puak pelampau? Atau juga meletup di udara tanpa sebarang serpihan walaupun secebis ? Atau tenggelam di laut China Selatan tanpa mahu timbul-timbul lagi.


Logikkah pemikiran sebegini?


Apapun, Sains dan Logik akal perlu diiringi doa yang menjadi senjata. Keep Praying for MH370. Jika masih berada di udara mohon turunkanlah ia. Jika berada di darat, maka keluarkanlah ia. Walaupun ilmu Sains menganalisis itu dan ini, aspek kerrohaniah juga usah dilupa...

Sains dan Rohani sememangnya  dua entiti berbeda, jauhnya beza seperti bumi dan langit. Walaupun jauh, nampak rapat antara satu sama lain.

Kerana? DIA ada.. daripada-Nya kita datang dan kepada-Nya kita kembali.

Tiada yang lebih berkuasa melainkan Kuasa-Nya di sana... Justeru.. teruskanlah berdoa.



P/S: Apabila Logik akal dan Sains mula tiada jalan penyelesaian, bukankah Allah sentiasa ada untuk dijadikan tempat bergantung?