Khamis, Mac 13, 2014

Adilkah?


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dalam keadaan terik matahari menandakan waktu makan tengahari, saya memandu keluar dari perkarangan Universiti. Terik, sungguh terik, berpeluh dahi membasahi pipi hingga ke dagu. Tali leher saya rungkai, membenarkan udara kering masuk ke rongga kemeja.


Lampu isyarat bertukar merah, dan saya berhenti. Sambil menunggu warna merah bertukar hijau, saya memandang sekeliling. Mata terpaku, sambil membetulkan cermin mata hitam, saya memandang beberapa orang pekerja buruh binaan gigih membanting tulang membaiki jalan di sebelah kanan kiri kereta saya.


Jika saya berada di dalam kereta yang berhawa dingin ini jelas terasa panasnya, apatah lagi mereka. Bahang membakar. Saya terkedu... Adilkah?


Dengan kerja berat sebegini, mengangkat batu-bata, menyorong simen segala, kekar tangan kesakitan menahan jisim batu-batan, perit mentari membakar kulit, tapi gaji yang diberi tidak seberapa.


Adilkah? jika dibanding dengan diri saya, bekerja di dalam pejabat yang selesa, ada pendingin hawa yang nyaman tidak terkira, disediakan meja besar serba lengkap alatannya, dan kerusi empuk cantik tersedia. Hanya perlu menggunakan otak untuk menaakul dan menganalisis sesuatu perkara. Sekadar mencari masa bagi melontarkan idea dan gaji yang diberi pula berkali-kali ganda daripada mereka.

Secara logiknya adilkah?

Kemudian saya teringat ayat ini...

"Jika kamu tak tahan lelahnya belajar, maka kamu akan menanggung betapa peritnya kebodohan''. 

Petikan ini merupakan kata-kata mutiara daripada Imam Syafie. 

Benarlah, ketinggian ilmu menjanjikan hasil yang manis di kemudian hari. Lelahnya belajar menuntut ilmu sememangnya memerlukan ketahanan mental dan fizikal. Agar kejayaan yang dikecapi  memberi keselesaan hidup di kemudian hari. 


Berbanding, kebodohan kita memilih jalan hidup yang singkat, mengabaikan pelajaran, menuntut keseronokan alam remaja sehingga hanyut terleka. Amanah ibu bapa tidak diambil kira, nasihat guru hanya bebelan percuma, dan akhirnya- badan perit menderita menanggung beban kerja mencari sesuap nasi apabila diri sudah menjejak dewasa.


Wallahi...bukanlah niat saya mahu melabel bahawa pekerja buruh binaan itu adalah mereka yang golongan sebegitu, cuma petikan itu sekadar analoginya untuk keadilan itu- jika difikir secara logik, memang tidak adil untuk bebanan kerja sebegitu dibayar gaji sekian-sekian.


Namun, jika kita berpenat lelah menuntut ilmu, sudah tentu nasib kita akan mejadi lebih baik, jika tidak? nasib kita akan berakhir dengan keperitan sebegitu.

Kerana apa?

Nilai ilmu itu yang membezakan hierarki kehidupan. Semakin berilmu seseorang manusia, maka dirinya akan dipandang tinggi. Nilai sentimental yang telah ditanam semenjak kecil. Cuma itulah, selagi tidak merasainya sendiri, selagi itu kita tak reti bahasa. kan?





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tulis-Tulis, nanti saya balas.