Sabtu, Julai 23, 2011

Jangan mahu berkawan dengan si Pandai sahaja.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera


Jam 6. petang. Jumaat. 22 Julai 2011


"Lah.. kenapa tak mahu main pula? nanti bulan Puasa, kita takkan turun padang dah. Belajar Teori PJK dalam Kelas sahaja. Ni cikgu dah bagi kamu semua turun main. Kenapa Athirah tak mahu main dengan kawan-kawan pulak?"


Saya bertanya. Seorang pelajar saya merajuk. Tak mahu bermain bersama dengan kawan-kawannya. Dia kelihatan serba salah.


Antara keegoan di hadapan kawan-kawan dan kepatuhan kepada guru. Dia memang pelajar yang baik dalam kelas.


Saya melihat kumpulan pelajar lelaki tingkatan 1 Ariff. Semua bersemangat bermain bola. Biasalah, waktu pendidikan Jasmani Kesihatan, kalau dibawa turun padang, bola sepak jadi igauan.


Kalau disuruh berolahraga, main bola tampar atau bola baling. Mahunya berperang saya dengan mereka. Minat mereka terhadap bola sepak, nak buat macam mana.


Kemudian saya mengalih mata. Melihat pelajar perempuan, satu persatu. Sudahlah saya kira pelajar perempuan yang hadir pada hari ini hanya enam orang sahaja. Yang lain, tak datang.


Makanya saya pecahkan kumpulan mereka menjadi dua. 3 lawan 3. Main Bola Tampar. Bola sudah berada di Tangan. Tunggu yang seorang ini sahaja.


"Entahnya dia ni, kenapa tiba-tiba tak nak main? jom laa, main sama!" sampuk Musfirah.


Athirah mengeleng-geleng kepala, protes tak mahu. Tiba-tiba muka Athirah mula berubah, air mata berjurai turun. Di tekup muka dan berlalu.


Kawan-kawan perempuan yang lain mula kaget, mengerumun Athirah. Kumpulan lelaki, masih leka bermain bola sepak, tidak menyedari langsung apakah drama yang sedang berlaku.


Saya tarik nafas dalam-dalam dan hembus. "Baik, yang perempuan mari ke dewan terbuka. Tak payah main bola tampar."


Saya atur langkah pergi ke dewan terbuka yang terletak di tepi padang. Mereka akur dan mengekori dari belakang.


Saya minta mereka duduk bersila di atas lantai, saya duduk di atas bangku. buat separa bulatan, menghadap saya.


" kamu semua tahu tak? sejak awal bulan 5 saya datang ke sekolah, saya lihat keadaan budak perempuan dalam kelas ini, suka sangat berpuak-puak, kalau cikgu pecahkan kamu dalam kumpulan yang berlainan, mesti ada yang bising tak mahu berpecah, mahu juga duduk dalam geng masing-masing." Saya bersuara.


"Tapi cikgu, memanglah kami ada geng, tapi kami berkawan dengan semua orang," jelas Diana.


"Ya, berkawan dengan semua, masalahnya sikap kamu ini akan memakan diri sendiri tahu? tengoklah, saya pecahkan kamu ke dalam kumpulan kecil untuk main bola tampar pun sudah ada masalah. Semua nak masuk geng sendiri, contohnya lah: aku tak nak kawan dengan kau sebab kau lembab, kau tak sepandai si A, aku nak kawan dengan si A je..sikap macam ini tak elok tahu!"


"Cikgu, tadi kan ada pengumuman dapat laptop 1 Malaysia. Saya, Aida dan Diana dapat laptop tu, cuma kitorang tinggal Athirah sekejap sahaja sebab dia tak dapat, tiba-tiba dia macam jauh hati dengan kitorang," Jelas Musfirah.


Saya mula dapat mengesan punca masalah, memang tadi ada pengumuman untuk mendapat notebook percuma. Tingkatan 1 Ariff  pula ada satu geng perempuan yang bijak pandai belaka, 4 orang satu kumpulan. Diana, Aida, Musfirah dan Athirah. Kemana-mana sahaja mereka akan pergi bersama seperti belangkas. Dalam Kumpulan itu, hanya seorang sahaja yang tidak mendapat notebook, iaitu Athirah.


Kemudian tadi semasa pembahagian kumpulan untuk bola tampar, seakan-akan mereka meminggirkan Athirah,


"Biar Athirah masuk kumpulan Filzah dan Farhana, biar saya dengan Aida dan Diana, jom kita kalahkan mereka!" kata si Musfirah sambil buat muka kerek.


Jadi semestinya Athirah berkecil hati, berjauh hati.Terus menjeruk rasa tidak mahu bermain. Seakan-akan tidak dapat menerima perlakuan kawan, berbaur rasa seperti terpinggir.


Saya mula bersuara, "ha, itulah bila sikap berpuak-puak ini sudah sebati dalam diri, bila ada yang rasa terpinggir, kita sendiri yang susah hati. Lain kali, Saya tak mahu kamu semua berada dalam kumpulan macam ini."


Saya menyambung,


"Ingat, kita ini sama sahaja. Ada yang pandai bab ini tapi bodoh dan lembab bab ini, kawan yang lain pun begitu. Jangan kita berkawan dengan orang pandai sahaja, yang lembab, bodoh bagi awak, kurang sedikit dari awak, dipinggirkan. Hari ini hari dia, esok lusa entahkan pula hari awak semua. Mana tahu kan?"


Semua mengangguk. Setuju. Kemudian saya menyuruh semua bersurai pulang ke rumah.


Tiba-tiba


"Cikgu, kalau cikgu bagi bimbingan dan kaunseling kepada kitorang boleh?" Diana bertanya.


(Ah, sudah.. disuruh jadi kaunselor pulak aku ni.)


Kenapa pula saya? Kaunselor sekolah kan ada? saya tersenyum..


"Alah cikgu, kami tak rapat dengan kaunselor tu, nanti cikgu bagi kaunseling kat kitorang tau!"


"Insya Allah," sekadar termampu saya jawab.


-Budak bijak dan pandai dalam kelas pun meminta sesi kaunseling. Macam-macam.


:)


6 ulasan:

  1. Salam...suka baca coretan pengalaman kalian menjadi guru.....walaupun jarang komen, cukuplah sekadar jadi silent reader kan..hehehe

    dapat bayangkan 'muka serius' abg fawiz bagi nasihat kat budak2 tu...hehehehe

    BalasPadam
  2. salam Cikgu waniey. Saya memang serius di sekolah. Jarang-jarang berketawa dengan budak-budak. Tapi Seronok bila dapat mengajar budak-budak ni. Alhamdulillah. :)

    BalasPadam
  3. tu diaa..panjang hg berleter. hehe

    BalasPadam
  4. panjang2x berleter pun, hang baca gak kan? hahaha

    BalasPadam
  5. Assalamualaikum,
    Cg.Fawiz, datang singgah kembali
    Memang pelajar tingkatan 1 macam ni... ada geng sendiri... dan kuat merajuk...
    Kita ni kena sabar ja kan...

    BalasPadam
  6. Salam, cikgu Nae.

    Geng yang macam ni masih ok lagi, yang geng perempuan yang bajet gengster suka buli, ugut pelajar lain tu yang tak tahan.

    :)

    BalasPadam

Tulis-Tulis, nanti saya balas.