Jumaat, Julai 22, 2011

Harapkan Pagar, pagar roboh.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.


Semalam, semasa mengambil wuduk, saya membasuh kaki. Baru saya terperasan, ada kesan lebam-lebam merah kebiruan di pangkal betis saya. Saya sentuh dan gosok kesan itu. Tak sakit. Bila dipicit, ditekan, baru terasa sakit. Sedikit.


Usai bersolat Maghrib, saya cakap kepada rakan sebilik saya. Agak-agaklah kan, lebam ini kesan daripada apa? digigit hantu?


:)


Begini, dua hari lepas berlaku kes-kes histeria di sekolah. Sebenarnya bukan di sekolah tempat saya mengajar, tetapi sekolah di mana pihak kami menumpang berteduh.


Ya, saya mengajar di sekolah menumpang. Bangunan sekolah kami belum siap sepenuhnya untuk diduduki. Insya Allah, tahun depan, keselesaan berada di bangunan sekolah sendiri akan dirasai oleh budak-budak ini.


Untuk memudahkan cerita, sekolah yang terkena itu ialah sekolah A, manakala sekolah saya yang menumpang di bangunan sekolah A, saya namakan sebagai sekolah B.


Sekolah A memulakan sesi persekolahan pada waktu pagi, kami? pada waktu petang. Berkongsi kelas, papan hitam, kerusi meja yang sama.


Berbalik kepada cerita, Setelah beberapa kes histeria, pihak sekolah A telah memanggil seorang ustaz yang mengetahui mengenai perkara-perkara ghaib agar 'memagar' kawasan sekolah. Maka pihak sekolah A meminta jasa baik pihak sekolah B agar mengawal pelajar agar tidak keluar kelas semasa upacara memagar itu diadakan. Akur.


Keesokan harinya, jam 11 pagi, ada aktiviti kokurikulum. Kami datang awal dari kebiasaan, berkumpul di dewan terbuka.. Namun, dewan terbuka itu tiba-tiba diambil alih sekolah A.


Melihat Budak-budak sekolah A berpusu-pusu turun ke dewan sambil membawa beg. Budak-budak sekolah B tertanya-tanya juga apa yang berlaku. Serba salah, tidak tahu membawa diri ke mana.


Saya kira, tidak mengapalah, fasiliti sekolah mereka, maka kami berpindah di bangunan koperasi. Beberapa minit kemudian, selepas diselidiki, rupa-rupanya berlaku kes histeria di sekolah A.


Harapkan pagar, pagar pula roboh.


Kali ini bukan seorang dua yang  terkena, berjangkit-jangkit, Cina, India, Melayu, cukup pakej. Hampir 50 orang yang terkena histeria, jumlah spesifik?, dengar-dengar 48 orang. Semua di bawa ke surau, bacaan Yaasin berkumandang di corong-corong pembesar suara sekolah.


Kemudian, JPN pun turun padang. Pihak sekolah A di beri kebenaran cuti, Apapun perlu berganti. Sekolah B, tiada kes, jadi tidak perlu bercuti. Makanya, kami datang ke sekolah seperti biasa. Saya kira, Alhamdulillah, budak-budak sekolah kami tiada yang terkena rasukan. Pengajaran dan pembelajaran seperti biasa.


Saya kira kebanyakan mangsa tadi semuanya pelajar perempuan, mungkin ada yang 'uzur', lemah semangat dan sakit, maka dia pun terkena.


Saya ini pun sakit juga, selesema dan sakit tekak, cuma semangat itu kuat, kalau tidak, awal-awal lagi saya ke klinik, mengambil MC.. tidak perlu datang sekolah menjerit pekik meminta pelajar memberi tumpuan dalam kelas.


Cuma itulah, lebam itu, masih menjadi misteri.


:)



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tulis-Tulis, nanti saya balas.