Sabtu, Julai 02, 2011

Guru sebagai Pemudah Cara

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.


Larian 1 Murid, 1 Sukan & 1 Malaysia. Saya kira, bloggers-bloggers yang terdiri daripada para guru pasti teruja untuk menulis peristiwa seperti ini.


Iyalah tepat 7.45 pagi, serentak di seluruh Malaysia lebih 4.1 juta pelajar daripada 9,980 buah sekolah, 28 buah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan 15 buah kolej Matrikulasi seluruh negara dilepaskan untuk berlari.


Mencatat Catatan Malaysia Books of Record. Saya teruja itu ada, turut sama berlari memeriahkan majlis. Meriah dengan pelbagai ragam, ada yang berlari, ada yang berjalan, ada yang berjoging. Polis trafik tiada untuk mengawal lalu lintas. Bayangkan kalau seluruh negara buat larian, bagaimana polis mahu mengawal bukan?


Usai sahaja berlari, maka sesi permainan diadakan. Seperti biasa, permainan tipikal: Bola Sepak, Bola Tampar dan Bola Jaring serta sukaneka dianjurkan. Tiada aktiviti memanah, wall climbing dan acara-acara baru.



Sebagai sekolah menumpang, kami menyertai apa sahaja Tuan Punya Bangunan Sekolah buat acara. Contoh, kalau mereka mahu anjurkan perlawanan bola sepak, manakala kami diminta anjurkan pertandingan bola jaring. Ikut sahajalah. Cari pasukan dan lawan.


Saya? saya menguruskan pasukan bola sepak. Serius saya tidak tahu menahu bagaimana peraturan dan corak permainan bola sepak ini. Namun biasalah bila guru pelatih diberi peranan, terima sahaja, bila lagi mahu belajar. Tuan rumah yang anjurkan perlawanan bola sepak, seperti perlawanan persahabatan.


Saya uruskan mana yang boleh, nak arahkan sayap ke kiri ke kanan, penyerang masuk ikut tepi- saya tak reti. Cuma saya bolehlah pantau mana-mana pemain. Nasib baik ada cikgu Haizul, tolong mana yang patut.


Sepanjang perlawanan, berdiri di tengah padang yang panas memang satu ujian. Memantau, mana yang cedera, mana yang rasa perlu dikeluarkan dan digantikan dengan pemain simpanan.


Lebih-lebih lagi apabila banyak sangat pasukan daripada Tuan rumah yang masuk bertanding, (Sekolah kami hanya hantar dua pasukan). Memang memakan masa yang lama.


Alhamdulillah, sekolah kami berjaya ke peringkat akhir namun sekadar Naib Johan. Sekurang-kurangnya perlawanan persahabatan ini tidaklah sekadar melepaskan batok di tangga.


Larian 1 Murid 1 Sukan, saya kira seakan-akan penjenamaan semula. RM 6 per kepala bagi setiap murid untuk memastikan dasar ini berjaya. Saya harap ianya benar-benar terlaksana.


Bukannya apa, saya perhatikan sebilangan pelajar saya seperti Faiz, Zulfahmi, Ateng, dan beberapa orang lagi, bila berada dalam kelas agak main-main untuk belajar, puas dilarang, dimarah, sukar untuk menyuruh mereka fokus. Tapi bila berada di padang, seriusnya dan bersungguhnya bukan main. Tak perlu disuruh-suruh.


Maknanya, potensi murid ini pelbagai, dalam kelas kalau lembab belajar, cikgu kena cari apa potensi yang ada dalam kalangan mereka, mungkin dalam sukan? kembangkanlah. Guru sebagai Pemudah cara.


:)



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tulis-Tulis, nanti saya balas.