Khamis, Jun 30, 2011

Lumrahlah.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera..


Melihat jam tangan, sudah pukul 1 tengah hari. Saya sudah terlewat 10 minit. Selesai meletak kereta, saya turun bergegas ke medan perhimpunan.  Kebiasaan perhimpunan harian sekolah sesi petang, cuaca panas membahang. Sebaik sampai sahaja di sana, saya melihat cikgu Rohaida sedang mengumumkan nama pelajar. Seorang demi seorang keluar tampil ke hadapan.


Melihat sahaja yang beratur, saya bertanya kepada Teacher Parameswary, apa yang berlaku. Katanya hari ini akan diumumkan rombakan kelas, secara rasminya pelajar-pelajar yang dipanggil ini akan naik atau turun kelas. Ada muka yang biasa-biasa sahaja, ada yang menunduk, ada yang senyum-senyum.


Yang biasa-biasa sahaja ini umpama tiada perasaan barangkali, yang menunduk-malu turun kelas, mungkin juga kerana terpaksa turun akibat keputusan merosot-hasil tidak hadir ke peperiksaan. Bukan cikgu tak berusaha menyuruh mengambil kertas itu, dia sendiri yang menjawab ala-kadar.


Yang senyum-senyum? ada dua kategori, yang naik kelas itu biasalah. Yang turun kelas tapi masih mampu tersenyum? tersenyum kerana  bakal bersama dengan rakan-rakan sekepala di kelas hujung.


Saya mengalih mata, melihat kepada pelajar tingkatan 1 Ariff. Terasa kasihan pula. Iyalah, pelajar baru mengenal dunia persekolahan menengah. Titik permulaan kehidupan awal remaja.


Kasih dan sayangnya mereka terhadap ikatan persahabatan mula terpisah disebalik tembok dinding kelas. Selalunya bersama, ke kantin bersama, ke makmal seiring, ke tandas sejalan. Kini, ada seorang dua yang turun kelas, pasti terasa seakan-akan sukar menerima. Yang turun , terasa malu dan kelu, pahitnya muka untuk tersenyum, dan yang tidak terkena pada batang hidung? pasti terkilan dipisahkan.


Saya melihat muka seorang demi seorang pelajar. Merah padam muka.. yang lelaki termenung jauh. Yang perempuan berjurai air mata.


Itulah peraturannya. Jika usaha lebih, maka lebihlah kamu dapat, kalau tidak, ketinggalan ke belakanglah. Makna katanya, andaikata hari ini kamu gagal, itulah tandanya hari permulaan untuk sebuah kejayaan. Usaha lagi!


:)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tulis-Tulis, nanti saya balas.