Selasa, Jun 07, 2011

Dalam Setandan Pisang..

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera..


Kembali menulis.. sememangnya penulisan ini memerlukan mood. Bukan idea semata-mata. Bila diteliti kembali penulisan saya mengenai sekolah itu, seakan tiada perkara positif yang boleh saya lakarkan untuk tatapan. Seakan-akan saya ini sukar, dan tidak boleh untuk membiasakan diri dengan persekitaran baru itu.


Analoginya cukup mudah, dalam setandan pisang, mana ada yang elok-elok belaka buahnya, pasti ada satu dua yang busuk, buah yang buruk. Tapi pada kebiasaannya yang buruk itulah diberi perhatian, digembar-gemburkan. Dipetik dan diasingkan, menjadikan ianya lain dari yang lain-Istilahnya adalah 'istimewa' barangkali.


Maka perihal kes saya ini, penceritaan mengenai sekolah saya, sudah tentu akan difokuskan perkara yang menarik perhatian berganda- Namun sayangnya sisi buruk lagi negatif pula timbul. Tidak banyak, secebis pun ada palitan negatif mengenai sekolah itu.


Baiklah, sebenarnya ada keadaan positifnya- 23 Mei 2011. Sambutan Perayaan Hari Guru diadakan di sekolah itu. Tipikal Hari Guru, lagu Nyanyian Kami Guru Malaysia, Sukaneka, persembahan diadakan, seperti tradisi, perayaannya adalah begitu.


Mungkin suatu hari nanti, bakal diadakan urban shuffle? Wall Climbing trip? Explorace student-teachers, Pixie Triathlon? yang bertepatan dengan urbanisasi yang melanda dunia. Sesuai dengan jiwa murid-murid dan juga guru-guru muda belia kini?


Ah, merapu...


Yang positifnya, saya selaku guru lelaki yang garang pun mendapat hadiah daripada para pelajar. Baik, tidaklah garang, cuma agak serius dan stress sahaja wajahnya. Tidak sangka juga. Mendapat hadiah, walaupun baru 2 minggu berada di situ.





Antara hadiah yang saya terima..


Meriah bukan?



Ini hadiah daripada seorang pelajar 2x. Saya terkejut juga apabila dia menghulurkan hadiah kepada saya dan berlalu pergi. Balutan yang penuh seni, -nampak sangat dia tidak pernah membalut hadiah-namun saya hargai usahanya yang bersungguh-sungguh membalut hadiah itu.

Lihat sahaja ubat stapler di atas meja yang digunakan untuk membungkus kertas pembalut hadiah itu. :)



Dia fikir saya marah-marah dan melibas rotan dalam kelasnya maka saya akan buang hadiah dia barangkali. Mendapat sahaja hadiah daripadanya, dia berlalu pergi. Semasa waktu rehat, saya terserempak dengannya,


saya cakap: kamu bagi saya hadiah, tapi kamu tidak salam dengan cikgu ya? dia bersalam dan mencium tangan saya. Saya sedar, masih ada nilai kelembutan dalam jiwa mereka, cuma menunggu saya untuk menyentuh getarannya..


Apa pun..


Dalam setandan pisang, mana ada yang baik-baik belaka, pasti ada satu dua buah yang buruk dan busuk. yang mana akan dipetik dan dibuang. Mahu jadi macam itu?


SELAMAT BERCUTI

:)




2 ulasan:

  1. wah.. banyaknya hadiah abg fawiz dapat... :)

    BalasPadam
  2. Zahora, hehehee.. nanti zahora pun aka merasa juga tu :)

    BalasPadam

Tulis-Tulis, nanti saya balas.