Isnin, Mei 16, 2011

Hati kalau sudah keras.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera..


16 Mei, klise dengan Sambutan Hari Guru. Saya dibesarkan dalam keluarga kecil dimana kedua-dua ibu bapa saya merupakan antara ratusan ribu guru di Malaysia. Apabila dibesarkan dalam keluarga sebegini, yakni di awal tumbesaran, kami 5 adik beradik sudah didedahkan dengan penekanan Akademik, namun biasalah. Kemampuan manusia adalah berbeza-beza bukan?


Waima didedahkan dengan penekanan akademik yang tegas sekalipun, jika anak tidak suka (belajar), maka setakat termampu sahajalah boleh diberi ilmu. Maknanya dihantar ke kelas Tuisyen Mahalan sekalipun, kalau anak tidak mahu belajar, apa lagi mampu dilakukan oleh ibu bapa bukan? (hatta mereka seorang guru sekalipun). Anak ada cita-cita tersendiri, mahu menjadi itu dan ini. Saya sahaja yang sedikit mendengar kata, mengikut jejak langkah mereka-menjadi guru.


Cuma satu sahaja, cara didikan ibu dan bapa saya apabila berkaitan dengan moral sangat-sangat dititik beratkan. Biasalah, orang Melayu kena beradab. Berjumpa yang Tua, bersalaman. Tidak meninggikan suara, dan bermacam-macam lagi agar menjadi seorang yang tertib, bersopan.


Mencarut? Pasti akan dilempang laju-laju. Menendang adik bongsu? telapak kaki wajib dirotan. Sangat tegas. Maka budak bila dididik sebegini, besar nanti mana ada terkeluar perkataan:


Bodoh~! Bangang~! Baaaa bi~! dan lain-lain carutan yang tidak wajar pun ditaip. Kami berbahasa dengan sewajarnya, bercakap dengan adik beradik, Aku-kau sama sekali tidak dibenarkan.


Maka bila terdidik sebegini, saya janggal melihat pelajar berusia antara 12 tahun-15 tahun berbahasa kasar, dengan rakan (malahan dengan guru). Bagi mereka dengan rakan- adalah perkara biasa memanggil rakan-rakan dengan perkara tidak wajar. Namun si rakan boleh pula menjawab balik dengan perkataan yang lagi kasar.


Dengan guru? tidak kisah dilabel kurang Ajar, tidak kisah tidak mendapat titik keberkatan. Contoh, andai guru menegur, di label sebagai cikgu poyo. Kalau cikgu mengamuk? dilabel sebagai cikgu sudah gila.


Hati kalau sudah keras, dimana lagi  tempat mahu mengadu kalau bukan nun di atas sana, bukan?


Selamat Menyambut Hari Guru. :)




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tulis-Tulis, nanti saya balas.