Ahad, Mac 13, 2011

PABM yang saya tidak hadir.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Sudah dua kali saya ketinggalan untuk melihat pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala  Perdana Menteri (PABM) secara langsung, maksudnya melihat didepan mata, bukan melalui siaran Televisyen. Pada kebiaasaannya UPSI akan menghantar dua buah bas yang dipenuhi dengan pelajar sebagai delegasi penonton pertandingan yang berprestij itu. Pidato edisi 2010, saya dibebani dengan masalah tugasan yang perlu diselesaikan secepat mungkin. Ketika itu saya perlu membuat persediaan bagi  membentangkan kertas kerja.


Jadi saya menyimpan hasrat untuk tidak melepaskan peluang melihat Pertandingan Pidato edisi 2011. Namun manusia hanya merancang, Tuhan menentukan. Edisi kali ini juga saya terpaksa membantal hasrat itu pada saat-saat akhir. Dek kerana 'junior' kelab Debat mahu membuat persediaan ke Pertandingan Debat Glokal di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) keesokan harinya. 


Sebagai Exco Latihan Kelab Debat, mahu tidak mahu saya perlu turun padang bagi melihat perkembangan. Jadi satu jam sebelum bertolak, saya menghantar sms kepada pengurus delegasi UPSI dengan berat hati bagi menyatakan ketidakhadiran saya.


PABM julung kali diadakan pada 12-16 Mac 2007. Ketika itu saya berada di Tingkatan 6. Saya hanya melihatnya melalui kaca televisyen sahaja. Kemudian untuk edisi 2009 barulah saya berpeluang melihatnya secara langsung. Ketika itu saya berada di semester dua. Perasaan teruja? Semestinya.


Keterujaan saya mengenai pidato ini adalah rata-rata peserta dari Malaysia terdiri daripada pendebat yang sangat hebat dan berkaliber. Dari edisi pidato 2007 sehingga kini, kesemua peserta yang mewakili Malaysia adalah pendebat. Sebagai contoh, peserta edisi 2007, Mohd Daud, Peserta edisi 2008, Farhan Diyana, Peserta edisi 2009, Syamsul Salleh, edisi 2010, Syazwan dan edisi 2011, Amirudin merupakan pendebat di Malaysia. Maka setiap kali ada kejohanan debat, pasti ada mereka.




Juara PABM kategori Antarabangsa



Namun disebabkan edisi kali ini juga saya tidak dapat hadir, maka saya sekadar mendengar cerita daripada rakan-rakan yang pergi sahaja. Mereka menyatakan betapa fasihnya lidah peserta menyebut satu persatu ayat demi ayat dalam Bahasa Melayu. Bagi saya ini adalah perkembangan sihat. Selain dapat menjulang Bahasa Melayu, rakyat Malaysia juga berjaya didedahkan dengan seni orator pidato.


Berikut adalah senarai nama pemenang

Kategori Nusantara

1) Aminrrudin Abd. Rahman (Malaysia)

2) Awang Abdul Rashid Awang Damit (Brunei)

3) Muhamad Izwan Othman (Singapura)


Kategori Antarabangsa

1) Halil Ibrahim (Turki)

2) Daria Kamyshnikova (Rusia)

3) Genevieve Woods (Australia)


Jika diteliti, sejak dari edisi pertama sehingga kini rata-rata peserta yang mara ke peringkat akhir bagi kategori antarabangsa adalah peserta dari Rusia, China, dan Australia. Saya terfikir juga, bagaimana kondisi Pengajian Melayu disana ya? :)




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tulis-Tulis, nanti saya balas.