Sabtu, Februari 12, 2011

Saya bercakap berlandaskan pandangan saya sahaja

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera..

Saya ini bukanlah pembersih (sangat) orangnya , saya juga bukanlah ahli persatuan hak asasi manusia yang lantang (apabila ada faedah dari segi publisiti), saya juga bukanlah anti perkhidmatan POS Malaysia. Sebab sayalah antara seorang dalam jutaan pelanggan perkhidmatan Pos Malaysia itu. Tujuan saya menulis perkara ini bukanlah untuk mencari balah dengan mana-mana pihak. Cukuplan sekadar menjadi renungan atau luahan peribadi saya sahaja.


Apa pun ingin saya tegaskan, saya ini bukanlah rumit orangnya. Saya tidak minta perkhidmatan kelas berbintang-bintang, saya juga tidak minta saya diarak dengan bunga manggar tatkala melangkah masuk ke dalam pejabat pos, malahan saya tidak ingin pun jika kertas angka giliran menunggu kepunyaan saya itu dicetak dengan tulisan emas sekilo.


Cuma saya meminta perkhidmatan di Pejabat POS Tanjong Malim ini diperbaiki dari segi infrastrukturnya sahaja. Saya akui jika dibandingkan Tanjung Malim dengan tempat saya di Negeri Tanah Rendah Sekebun Bunga itu, Tanjung Malim memang tak setanding dengan negeri saya yang dilabelkan sebagai mundur serba serbi.


Di Tempat saya tidak ada kertas angka nombor giliran bergumpal-gumpal diatas kaunter. Itu baru di atas kaunter. Di atas lantai? terkejut saya apabila melihat di sudut penjuru dinding dan di tepi meja ada sebusut kecil kertas angka nombor giliran berkeroyok tergumpal yang dicampak. Ini bukan perkara main-main.


Benar, saya kira agak bagus apabila pejabat pos memperkenal sistem menunggu mengikut angka giliran. Maka pelanggan tidak perlu berpusu-pusu beratur belok-belengkar bagai ular kena palu. Macam sistem perbankan pun ada. Namun saya kira di bank tidak ada situasi kertas nombor bergumpal-gumpal sedemikian rupa, mengapa di pejabat Pos Tanjung Malim ada?


Memang salah orang yang membuang kertas tu merata-rata. Namun jika ianya tidak dibersihkan atau dibiarkan sebegitu. Maka mentaliti masyarakat akan mula berubah menjadi sikap 'tidak mengapa'. Tidak mengapa membuang sampah merata-rata, pengurusan tidak marah. Lagipun bukan dia seorang yang buang sampah, berpuluh-puluh orang buang kertas nombor giliran itu merata-rata tahu?


Bagi saya, adakah ia menjadi satu kesalahan jika diupah makcik cleaner untuk membersihkan kertas itu? kembalikan sahajalah keceriaan pejabat pos yang sedia kusam itu. Jika tidak diambil ambil makcik cleaner, pendatang asing tiada kerja tahu?


Itu baru satu hal, dek kerana ada sistem angka giliran, maka pelanggan tidak perlu beratur panjang. Yang tua pun boleh duduk berehat atas kerusi panjang yang disediakan. Yang muda apatah lagi. Namun yang menjadi titik pertikaiannya adalah kerusi panjang yang disediakan itu sangat-sangat tidak menepati piawaian sebuah pejabat kerajaan.


Bagi saya kerusi panjang itu bukanlah tempatnya di pejabat pos, kerusi itu sepatutnya berada di stor atau dibakar sahaja. Sudahnya uzur, skrunya entah kemana, bergoyang-goyang tidak stabil, menunggu masa untuk roboh sahaja. Saya kasihan apabila ada seorang pakcik tua yang menunggu lama duduk atas kerusi panjang itu. Hampir terlelap.


Tiba-tiba kerusi itu roboh ke lantai, maka jatuh terduduklah pakcik itu berkerut menahan kesakitan. Semua orang pandang, terkebil-kebil. Kemudian adalah pemuda dua orang bergegas memberi bantuan, memapah pakcik itu. seorang pergi angkat kerusi panjang yang roboh, cuba membetulkan apa yang patut. (bagi saya tidak perlu dibela kerusi itu).


Tatkala Laporan Audit 2009 sudah keluar dan banyak kemusykilan berlaku mengenai wang infrastruktur kerjaan. Saya kira, infrastuktrur sebegini perlu diambil kira. Bukannya apa, sebagai rakyat Marhaein, saya berharap sangat kerusi panjang di pejabat Pos Tanjong Malim bertukar warna. Apalah gunanya sistem angka giliran jika kerusi panjang tempat menunggu pun ibarat menunggu masa untuk rebah sahaja, walaupun ada satu yang sudah menyembah bumi.


Akhir kata, saya mohon maaf jika saya telah membuat mana-mana pihak tersinggung, walaupun singungan itu sememangnya disengajakan.





Pejabat Pos Tanjung Malim.


P/S: Bahasa Sendi Tamadun Bangsa, Budi Bahasa Budaya Kita. (terbudayakah?)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tulis-Tulis, nanti saya balas.