Khamis, Februari 03, 2011

di bilik guru perempuan

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.


Mengimbas masa saya kecil-kecil dahulu, rumah saya ini sudah beberapa kali bertukar pengasuh, dalam konteks bahasa Melayu adalah orang gaji ataupun 'Maid'. Sejak zaman kecil abang Long saya hingga adik saya yang bongsu, telah beberapa orang pengasuh telah bertukar ganti.


Semuanya sebab ayah dan ibu saya sibuk bekerja, demi tidak mahu menyusahkan nenek-nenek saya, maka diupahkan bertele-tele orang gaji menjaga makan minum kami, cebok berak kami, dan bertempik mengalahkan raksasa yang melawan gaban kalau kami tidak mendengar kata. Kadang kadang boleh pula mencubit kami kalau kami nakal sangat, (itupun jika bapa dan ibu saya tiada di rumah, kalau ada, pijak semut pun tak berani, santun sangat).


Sehinggalah ibu saya serik apabila orang gaji terakhir rumah saya lari, dia bertindak memburuk-burukkan ibu bapa saya depan seorang doktor dan menjadi orang gaji di rumah doktor itu. Kemudian dia kantoi mencuri. Doktor itu pula ibarat kena tipu hidup-hidup sehinggalah ibu bapa saya bersemuka dan sepakat mengecop orang gaji terakhir saya memang telah banyak buat onar di rumah kami.


Maka zaman orang gaji di rumah saya telah berakhir ketika adik bongsu saya menginjak kepada umur 1 tahun setengah. Ketika itu saya darjah 2, adik saya nombor 4 baru berumur 4 tahun. Tatkala itu, memang kelam kabut ibu saya dibuatnya. Solusinya dihantar ke nursery budak-budak. Saya? takkanlah masih mahu dihantar di sana, malulah! Adik-adik saya sahaja ditempatkan di nursery itu.


Tempatnya macam pusat asuhan kanak-kanak besar, dengan buaian gantung pelbagai, kawasan taman permainan di tepi, pagar khas bagi mengelakkan kanak-kanak keluar, ada tilam dan serba sedikit susu formula dan permainan yang dibekalkan oleh ibu masing-masing. Maka Ibu saya mengajar waktu petang ketika itu, budak-budak dihantar ke sana, saya mengikut ibu saya mengajar di sekolah.




Noraini Ahmad bakal guru/kaunselor yang tegar



Ketika di sekolah, saya ada juga mengikut ibu saya masuk kelas (saya tak pasti ini perbuatan wajar atau tak, tapi selagi ibu saya mampu mengawal saya dalam kelas itu, pentadbiran ok) Namun ibu saya kan cikgu disiplin, sudah tentu kelas itu senyap sunyi. Sangat bosan! jadi saya selalu lepak bermain di tepi-tepi kolam ikan, tepi taman bunga sekolah, di kantin dan kawasan padang sekolah.


Saya juga ada lepak di bilik guru sekolah, duduk di meja emak sayalah. Sangat meriah! sebab bilik cikgu perempuan asing, cikgu lelaki pun asing. Jadi mereka boleh berkumpul sesasama mereka bercerita. Bilik guru lelaki stail dia lain, bilik guru perempuan sudah tentu lain. Kadang kala saya curi dengar juga cerita-cerita cikgu perempuan. Cerita mengenai kerajinan pelajar ini, cerita tentang cikgu lelaki yang pemalas, cerita cikgu disiplin merotan pelajar akibat merokok, tapi dia sendiri merokok dalam bilik Disiplin tidak mengapa pula, cerita tentang cara-cara nak menyedapkan masakan, cerita mengenai fesyen terkini dan omokan direct selling.


Bila diingat balik, baru Saya terfikir mungkin mereka sudah berpuluh-puluh tahun berada di dunia pendidikan, semua statik. Mengajar perkara sama di kelas yang berlainan dalam tempoh seminggu bukanlah satu kerja yang menyeronokkan. Tertekan juga, mengajar benda sama. Bosan. Sebab itu mereka berborak perkara ringan-ringan. Hal Ehwal negara dan pendidikan ada, tapi jarang.


Cerita yang paling menarik sudah tentu cemuhan dan rasa tidak puas hati dengan murid ini, dan murid itu, ceritanya pasti akan melarat sampai kepada latar belakang keluarga. Cikgu perempuan ini, kalau sudah berkumpul, sangat dahsyat juga. Sehingga saat ini Saya pernah terfikir, mahu sahaja saya menjadi pensyarah bukannya cikgu. Mungkin jadi pensyarah agak tidak membosankan, bilik pun asing-asing, tidak pening kepala dan lebih relax serta dinamik.


Tapi teringat juga dalam cerita dalam bilik guru, bila cikgu ini menyatakan Si A ini anak kepada pensyarah, tapi tak pandai punnn.. nama sahaja anak pensyarah, tapi samseng! pemalas!


Isk.. susah.. susah...


P/S: Anak cikgu pun tak semestinya pandai. Kan? sebelum kata anak orang, tengok anak sendiri dulu.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tulis-Tulis, nanti saya balas.