Selasa, Februari 01, 2011

Wang Hantaran

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.


Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik."


Hari ini, 31 Januari 2011, abang saya melangsungkan pertunangan dengan gadis pilihan hati. Seperti tradisi masyarakat Melayu yang lain, majlis ini juga akan membincangkan tarikh majlis pernikahan yang bakal dilangsungkan, jumlah wang hantaran dan sebagainya. semuanya dibincangkan oleh wakil pihak lelaki dan pihak perempuan. Walaupun tidak diserikan dengan pantun dan pelbagai adat Melayu lama yang tipikal, majlis tetap berjalan dengan lancar.


Saya tertarik dengan isu wang hantaran. Ketika majlis pertunangan dilangsungkan, penetapan wang hantaran adalah bergantung kepada pihak lelaki. Pada kebiasaannya, saya sering melihat, jumlah wang hantaran akan ditetapkan oleh pihak perempuan, namun berlainan pula di Negeri Kelahiran saya iaitu Kelantan Darul Naim.


Jawapan mudah diberikan oleh wakil pihak perempuan:

"mengenai wang hantaran itu terserahlah, kami pun bukan nak memberi harga, nanti dikatakan lain pula."

teringat frasa ini dengan kisah perbualan pertunangan yang dilalui oleh rakan saya.

''Aku kesian dengan tunang aku, ayah aku minta duit hantaran RM 15 Ribu, Mas kahwin pula suku daripada duit hantaran, barang-barang hantaran semua mahal, serba satu pula tu."


Maka setiap kali saya terdengar wang hantaran yang mencecah puluhan ribu, pasti saya akan kata, ''itu bukan kahwinkan anak, itu jual anak namanya". Apa kerelevenan meminta wang hantaran melangit? Sebab kos untuk membuat kenduri perkahwinan mahal? Walhal makanan itu apabila melepasi tekak ia menjadi tiada beza pun, yang berkhasiat jadi tenaga, yang tak berguna dibuang ke tempat yang sepatutnya. Kad undangan dan 'goodie bag' serta bunga telur yang eksklusif dan menarik? berapa kerat sahaja yang menyimpan barang-barang itu dari majlis perkahwinan,  yang saya pasti, kebanyakannya menjadi sampah.


Pada pendapat saya, perempuan tak patut meletakkan beban wang hantaran 100% kepada lelaki. Meletakkan wang hantaran biarlah berpada-pada, itu hanya adat, bukan diwajibkan dalam agama. Kadangkala adat didahulukan berbanding syarak. Namun jika pihak lelaki itu berkemampuan maka ianya tidak ada masalah. Bagi yang tidak mampu? simpanan yang belum mencukupi? maka terpaksa mencari alternatif lain dengan membuat pinjaman peribadi, berhutang dengan Ah Long dan sebagainya. Bukankah ini menyebabkan risiko kepada pasangan tersebut?


Maka apabila pihak wakil perempuan berkata sedemikian rupa, yakni wang hantaran terpulang kepada pihak lelaki, ada kerelevenan beliau berkata begitu. Dalam landskap sosial masyarakat Melayu kini, ramai perempuan yang merasakan mereka patut mendapat wang hantaran tinggi. Kadang-kadang ada yang sampai berlawan sesama sendiri. Mahu menang siapa paling tinggi. Cuba lawan standard para artis. Tanpa berfikir panjang tentang baik buruknya.


Jika diberikan harga wang hantaran pun tidak salah sebenarnya, asalkan dipersetujui kedua-dua belah pihak. Namun bila difikirkan balik keluh kesah rakan saya mengenai wang hantaran yang diminta oleh ayahnya. Saya tersenyum sendiri.


Berikut terdapat beberapa gambar kenang-kenangan pertunangan abang saya.



tema pihak lelaki, hitam, perak dan putih.

selamat bertunang. Kek pertunangan

Tepak sireh yang menjadi tempat letak cincin

abang saya Muhammad Farhan dan Bakal Kakak Ipar saya, Siti Nur Haiza.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tulis-Tulis, nanti saya balas.