Jumaat, Januari 21, 2011

Sekali Disergah.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera


Pepatah ada menyebut: Melentur Buluh biarlah dari Rebungnya. Kalau sudah jadi buluh nak buat apa? jadi buluh lemanglah jawabnya.


Saya baru pulang dari Solat Jumaat. Kebiasaaan saya akan menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Tanjung Malim, Perak. Perkara yang menarik perhatian, masjid ini terletak berhampiran dengan Sekolah rendah. Maka saya kira Pelajar-pelajar sekolah akan berduyun-duyun ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat. Ini adalah perkembangan positif. Amalan dipupuk dari kecil akan memberi hasil insaniah yang baik.


Kemudian, selesai menunaikan solat sunat masjid, saya mengambil tempat di suatu sudut yang berhampiran kipas besar. Permasalahan mula timbul apabila tempat yang saya pilih untuk duduk itu adalah kawasan budak-budak sekolah duduk. Maka anda faham sendiri bukan? bahawa mereka ini jika berkumpul, bunyi hingar bingar seperti lebah membuat sarang akan bertalu-talu bersahutan dari hujung saf kiri sampai hujung saf kanan. Sangat bising. Saya kira perkembangan positif akan merencat jika tidak dipupuk atau diberi panduan dengan baik dalam tertib datang ke Masjid.


Sehinggalah selesai azan Zohor, Seorang imam tua (kalau saya tidak silap) menegur budak-budak ini agar jangan bising. Cara Imam Tua ini betul, tidak menegur dengan jerkahan atau herdikan kata-kata kurang sopan. Beliau menyelitkan hadith: Rasullah pernah bersabda, Barang siapa yang bercakap ketika khutbah Jumaat, maka akan ditolak pahala 40 tahun. Meskipun ditegur dengan berhemah, tetap tegas dan lantang. Kalau tak, masakan semua orang berpaling kepada beliau yang sedang berdiri ketika itu.


Suasana bising bertukar menjadi senyap. Semua pelajar akur dan membatukan diri. Namun masjid ini mengalami masalah teknikal. Sistem audionya tidak berfungsi menyebabkan khutbah yang ingin disampaikan oleh Khatib menjadi perlahan sekali. Sangat perlahan sampai saya sendiri hilang tumpuan. Tertanya-tanya apa isi yang ingin disampaikan oleh khatib. Maka Budak-budak ini pun bising kembali. Saya fikir, budak-budak ini sekali disergah dengan elok memang terkesima, namun akan berulang balik perangai mereka. Bahasa apa yang lebih sesuai digunakan agaknya ya?




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tulis-Tulis, nanti saya balas.