Khamis, Januari 20, 2011

Jualan Murah sekadar Retorik

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Baju adalah pakaian bagi manusia yakni memenuhi keperluan asas, baju juga adalah alat untuk memenuhi kehendak bagi wanita. Baju di pasar raya juga memberi hak kepada mereka untuk berilusi. Ilusi bahawa membeli belah adalah terapi yang baik. Permasalahannya adakah ianya terapi yang berkesan?


sekadar analogi

Saya mempunyai seorang kawan. Dia merupakan rakan senior saya di Universiti pendidikan Sultan Idris ini. Namanya Nadia Fitriyana, berusia setahun lebih tua daripada saya. Sangat suka membeli belah. Pernah sewaktu berada di Pusat beli belah, kumpulan kami berpecah kerana dia mahu berbelanja membeli-belah manakala kami mahu bermain bowling. 

Nadia Fitriyana bahagia di BP MALL
Dan disebabkan dia akan berpraktikum di sebuah sekolah di Melaka, maka dia telah menyewa sebuah rumah yang berhampiran dengan pusat membeli belah. Betapa dia gembira apabila rumah itu berdekatan dengan Melaka Sentral, depannya ada Mydin 24 jam. Di sebelah Tesco ada Jusco, pemandangan yang indah bagi wanita. Biasalah, dimana ada pusat beli-belah, disitulah ada jualan murah. Nadia sangat-sangat suka apabila ada jualan murah diadakan. Permasalahannya taktik jualan murah ini perlu diambil kira.


Saya perhatikan, semakin dekat musim perayaan, semakin rancak jualan murah diadakan. Pasaraya-pasaraya bersaing mengadakan jualan murah. Bayangkan dengan diskaun 80%, seronok sungguh bunyinya. Kalau harga asal barang itu RM 100, kita cuma membayar RM 20. Siapa yang tidak terliur?

Tapi timbul persoalan, adakah benar harga diskaun menjangkau 80%?

Bagi saya promosi ini adalah retorik bahasa semata-mata. Pelbagai taktik boleh ditunjukkan. Taktik pertama, harga diskaun sebenar adalah harga asal. Ini adalah eksploitasi harga. Kononya berjimat 80%, padahal harga sebenar memang harga tersebut.


Taktik kedua, taktik ekploitasi masa. Seringkali diguna oleh usahawan internet untuk 'mendesak' pembeli membuat keputusan segera bagi membeli produk mereka. Kuncinya tawaran terhad sebelum kehabisan. Maka sila membeli barangan ini sebelum kehabisan stok. Padahal, stok barangan masih berlambak dalam simpanan mereka.


Taktik ketiga, taktik ekploitasi kehendak. Semua orang mahu memiliki barangan berjenama yang mahal-mahal tapi dengan harga yang lebih murah. Maka strategi pasaraya akan memaparkan barang berjenama di ruang hadapan pasaraya / kedai. Tanda harga akan ditulis besar-besar diskaun 80%. Keadaan ini akan menarik perhatian pengunjung untuk menyinggah dan menyebabkan mereka terperangkap apabila hanya sesetengah barangan sahaja yang diberi potongan harga, manakala yang lain adalah harga asal. Maka mahu atau tidak, mereka akan terdorong untuk membeli barangan lain yang tidak perlu di dalam pasar raya terebut.


Apa yang ada dalam kepala pihak pengurusan pasaraya hanya untuk membuat untung juta-juta. Maka akan diciptakan pelbagai taktik jualan murah yang paling ketara semata-mata untuk memenangi persaingan dan seterusnya mengaut keuntungan berjuta-juta.


Sebagai pengguna, kita seharusnya bijak berbelanja. Kuncinya- berbelanja bila perlu bukan semata-mata terpengaruh dengan jualan murah yang sememangnya retorik bahasa.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tulis-Tulis, nanti saya balas.