Isnin, Januari 31, 2011

Debat

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Setiap manusia normal mempunyai kebolehan yang sama, apa yang membezakan antara satu sama lain adalah bagaimana mereka mengasah kebolehan itu. Contohnya sukan memanah, jika diasah kemahiran dan dipelajari, mungkin kita boleh berjaya. Begitu juga dengan aktiviti-aktiviti lain seperti berenang, berbasikal, menari dan lain-lain.


Tidak ketinggalan juga dengan aktiviti debat, semua orang boleh berdebat sebenarnya, namun kemahiran itu perlu dilatih, dipelajari dan dipraktikkan. Ia juga bergantung dengan minat. Saya ini bukanlah seorang pendebat tegar, yakni yang bermula di peringkat akar umbi di sekolah lagi. Saya menyertai Kelab Debat Bahasa Melayu ketika semester 1 iaitu di Universiti Pendidikan Sultan Idris. Niat dihati hanya mahu mengenali seni orator.


Memori Pertandingan Debat Diraja 2009
Namun setelah mengikuti beberapa siri pertandingan Debat Intra dan Inter Universiti, saya mula terikat dengan latihan dan struktur perdebatan. Daripada kosong dan tidak tahu apa-apa, tergagap-gagap, terketar-ketar memegang teks perdebatan, mula belajar sedikit demi sedikit dalam aktiviti perdebatan. Saya tidak kata dan memberi jaminan bahawa dengan berdebat kita akan mahir bercakap, kadangkala apabila laras bahasa yang digunakan terlalu tinggi ianya akan menyebabkan masalah komunikasi antara kedua-dua belah pihak.


Contohnya, frasa kapasiti digunakan untuk mengantikan frasa kemampuan, kekhilafan major digunakan untuk mengantikan frasa kesalahan besar. Pelbagai bahasa yang muluk-muluk seperti landskap perdebatan, unjuran komparatif  yang digunakan bagi mengantikan unjuran perbandingan, justifikasi , analisis komparatif, unjuran positif & negatif, anjakan paradigma, dan pelbagai lagi frasa-frasa yang terdapat dalam laras bahasa perdebatan.


Kadang kala saya sering tersasul menggunakan diksi tersebut dalam pertuturan seharian, keadaan ini akan menyebabkan suasana janggal dalam perbualan seharian. Walau bagaimanapun, aktiviti perdebatan ini bukan sahaja menyebabkan kita menjadi yakin dalam pergaulan mobiliti sosial semata-mata, tapi menyebabkan pemikiran kita lebih menjadi analitikal.


Tanpa perdebatan, mungkin saya tidak tahu apa itu Perjanjian Oslo 1 dan 2, menelusuri sejarah Sidang Damai Annapolis, Meneliti kandungan Protokol Kyoto dan struktur PBB, mungkin juga saya sering diulit dengan khabar-khabar daripada media arus perdana sahaja tanpa mengambil kira pandangan daripada media alternatif. Semuanya disebabkan manipulasi bahasa dalam aktiviti debat. :)



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tulis-Tulis, nanti saya balas.